KONSEP BBA

Konsep al-bai’ bithaman ajil dan istisna’ dalam pembelian rumah

Author: admin | Files under Dunia Yang Berkait, Ekonomi, Info

Akad jual beli hanya sempurna apabila penjual serah barang kepada pelanggan

Pengalaman berurusan dengan Cawangan Perbankan Islam sebuah institusi perbankan terbesar negara bagi menyelesaikan urusan pembelian rumah baru-baru ini, sedikit sebanyak mengundang persoalan sejauh mana Skim Perbankan Islam (SPI) di Malaysia menepati perbankan berlandaskan syariah yang bebas daripada unsur riba dan unsur lain yang dilarang Islam.

Di Malaysia, bagi pembiayaan perumahan, majoriti bank menggunakan konsep al-bai’ bithaman ajil (BBA) atau jual harga tangguh, manakala dalam penentuan kadar keuntungan pula, ada dua pendekatan digunakan, iaitu sama ada menggunakan kadar tetap atau kadar berubah-ubah yang mempunyai kadar siling tertentu yang ditetapkan pada awal kontrak.

Dalam amalan BBA sekarang, pelanggan perlu menandatangani Perjanjian Jual Beli (S&P) dengan pemaju/penjual dan membayar lima hingga 10 peratus wang pendahuluan sebelum mendapatkan pembiayaan bank.

Jika diluluskan, bank akan membeli hak pelanggan menerusi S&P dan kemudian membayar keseluruhan harga aset kepada pihak pemaju/pembeli sebelum menjualnya kembali kepada pelanggan pada harga tangguh dan kadar untung tertentu.

Persoalannya, jika rumah itu masih dalam pembinaan, apa yang dibeli oleh bank dan apa dijualnya kembali kepada pelanggan?

Dalam Islam, sesuatu yang ingin dijual itu perlu wujud dan ada dalam pemilikan penjual ketika akad dilakukan.

Jika barang yang diakad tidak wujud ketika akad, ia boleh mewujudkan unsur ketidaktentuan mengenai kemampuan penjual menyerahkan aset itu kepada pembeli.

Dalam perundangan Islam, kontrak jual beli boleh menjadi akad fasid jika penjual gagal menyerahkan barang yang diakad ketika akad dibuat.

Dalam kes BBA (jika benar ia bersandarkan konsep jual beli Islam), kontrak itu sepatutnya terbatal jika rumah gagal disiapkan atau gagal diserahkan kepada pembeli dalam tempoh ditetapkan.

Hakikat sebenar yang berlaku di Malaysia, walaupun sesuatu projek itu gagal disiapkan atau terbengkalai, pelanggan tetap perlu membayar ansuran bulanan atau membayar kadar keuntungan ke atas bayaran yang sudah dibuat pihak bank kepada pemaju/penjual.

Jika benar rumah itu milik bank (kerana ia sudah beli daripada pemaju/penjual sebelum menjualnya kepada pelanggan), bukankah ini sesuatu yang tidak menepati semangat syariah yang berpaksikan konsep adil dan ihsan?

Katakan rumah itu berjaya disiapkan, bagaimanapun ini belum menjamin pelanggan sudah boleh menarik nafas lega kerana dalam sesetengah kes, kelewatan bank menjelaskan baki harga rumah kepada pemaju (selepas di tolak bayaran pendahuluan biasanya 10 peratus daripada harga rumah) ada kala boleh menyebabkan pelanggan dikenakan kadar faedah (riba) mencecah lapan hingga 10 peratus setahun oleh pemaju/penjual.

Kunci tidak akan diberikan oleh pemaju selagi bayaran faedah tidak dilunaskan pembeli. Bukankah itu adalah tanggungjawab bank untuk menyerahkan kunci kepada pelanggan kerana dalam BBA, bank adalah penjual atau pemilik kepada aset berkenaan?

Begitu juga denda oleh pemaju. Sepatutnya kos itu ditanggung bank bukan pelanggan jika terbukti kelewatan pendokumentasian dan pembayaran berlaku di pihak bank.

Apa terkandung dalam S&P sebenarnya lebih mirip konsep istisna’ iaitu tempahan. Istisna’ adalah akad jual beli di mana pembeli menempah atau memesan kepada penjual untuk membuat sesuatu barang yang dikehendakinya supaya disiapkan dalam masa tertentu dengan harga dan cara bayaran ditetapkan.

Akad jual beli itu adalah atas barang yang dibuat oleh penjual. Dalam kontrak istisna’ akad hanya akan sempurna apabila penjual menyerahkan barang tempahan kepada pelanggan.

Oleh sebab itu, bagi mengelak kekeliruan dari segi penggunaan konsep dalam pembiayaan perumahan, kebanyakan bank Islam dari Timur Tengah mengamalkan konsep Istis’na dan Ijarah Muntahiya bi al-Tamlik atau Musharakah Muntaniqisah.

Secara ringkasnya melalui konsep Istisna’ dan Ijarah Muntahiyah bi al Tamlik, bank akan membeli rumah daripada pemaju dengan menggunakan konsep istisna’. Kemudian bank akan memajak rumah (yang masih dalam pembinaan) kepada pelanggan untuk suatu tempoh dan kadar sewa tertentu.

Jika rumah gagal disiapkan pemaju, kontrak akan dibatalkan dan lebihan sewa (jika ada) akan dipulangkan kepada pelanggan. Jika rumah disiapkan, kontrak akan berterusan dengan pelanggan membayar sewa bulanan kepada bank. Pada akhir tempoh kontrak, bank akan memindahkan pemilikan rumah kepada pelanggan melalui kontrak jualan atau sebagai pemberian.

Melalui konsep Musyarakah Mutanaqqisah, bank dan pelanggan akan menjadi rakan kongsi dalam pemilikan sesebuah rumah. Bank biasanya akan menjadi pemilik saham terbesar, manakala pelanggan menjadi pemilik minoriti.

Contohnya, bank akan membayar 90 peratus daripada harga rumah, manakala baki 10 peratus lagi ditanggung pelanggan. Pelanggan akan secara beransur-ansur menguasai saham yang dimiliki bank ke atas rumah melalui bayaran ansuran bulanan (sewa) dan pada akhir tempoh kontrak, rumah itu akan menjadi milik penuh pelanggan.

Bagaimana pula dengan syarat lain yang diwajibkan bank kepada pelanggan seperti mengambil perlindungan takaful terhadap diri dan aset? Biasanya bank akan mensyaratkan pelanggan menyertai takaful gadai janji dan takaful pemilik rumah atau takaful kebakaran yang biasanya disediakan secara automatik oleh bank dan perlu dibayar pelanggan.

Begitu juga alat pemasaran dan maklumat iklan yang digunakan untuk memberitahu pelanggan mengenai produk ditawarkan seharusnya betul dan tidak mengelirukan.

SPI diwujudkan bagi menyediakan satu ruang bagi masyarakat Islam bermuamalat dalam ruang lingkup dibenarkan syariah dan yang paling utama ialah muamalat tadi bebas daripada unsur riba.

Bagaimanapun, tahap pematuhan kepada kehendak syariah adalah perkara yang tidak dilihat dari segi konsep semata-mata. Islam melihatnya secara keseluruhan.

Begitu juga dalam kes SPI, walaupun konsep yang diguna pakai seperti al-wadiah, al-mudharabah, bai al-inah, bai bithaman ajil dan al-ijarah adalah konsep yang ada dalam buku fiqh, ia tidak semestinya menjadikan produk itu 100 peratus menepati syariah.

KES BBA

Kes mahkamah terbaru mengenai kontrak pembiayaan Bai Bitahamin Ajil (BBA) merupakan asas (1) bagi artikel ini. Dalam kes berkenaan, mahkamah telah membuat penghakiman di luar jangkaan dalam sejarah perbankan Islam di Malaysia – bahawa kontrak di bawah BBA untuk membiayai pembelian rumah adalah terbatal (2).

Sekurang-kurangnya di Malaysia, keputusan itu bermakna kontrak BBA kini menjadi dokumen yang boleh dibatalkan dan bank-bank Islam hanya boleh memungut jumlah pokok pembiayaan yang dibuat di bawah kontrak BBA yang dikeluarkannya. Selain itu, ia juga bermakna, semua keuntungan yang tersirat di dalam kontrak BBA adalah terhapus (3).

Namun begitu, lebih pelik lagi ialah hakikat bahawa berita mengenai penghakiman ini tidak diberi liputan oleh akhbar-akhbar kita. Barangkali dunia perbankan Islam menunggu masa dan berharap mahkamah yang lebih tinggi akan membatalkan penghakiman tersebut. Ini kerana, menurut sumber, rayuan terhadapnya telahpun dibuat.

Justeru, sebelum rayuan itu diputuskan, berita yang amat mengganggu ini ditangguhkan daripada disiarkan. Atau apakah wujud helah untuk menutup isu ini kerana perbankan Islam kini merupakan sebuah industri yang sedang pesat berkembang di seluruh dunia?

Kesan keputusan tersebut ke atas konsep BBA yang lumrah digunakan kini – dan anggap sebagai tonggak kaedah pembiayaan industri perbankan Islam – adalah jauh lebih besar dan luas daripada kesediaan kita menerimanya.

Malah bencana yang dibawanya ke atas kaedah pembiayaan yang banyak digunakan ini adalah subjek kontroversi yang timbul sejak dari mula Bank Islam (M) Bhd mula beroperasi pada 1983 lagi.

Pertama, kaedah pembiayaan ini tidak diiktiraf di bahagian-bahagian dunia lain yang mengamalkan perbankan Islam kerana mereka lebih suka menggunakan kaedah pembiayaan lain, iaitu kaedah ‘Murabahah”- yang diterima dengan meluas sebagai mekanisme ‘tokok kos’.

Kita akan melihat isu ini dari beberapa sudut.

Pertama, sebagai antara peneroka perbankan Islam, saya mahu menjelaskan kefahaman saya sendiri mengapa kami memilih kaedah pembiayaan atau terminologi ini bagi menggantikan kaedah sistem pembiayaan hutang yang diamalkan oleh bank-bank konvensional.

Kemudian saya akan meneliti BBA dari perspektif yang lebih makro, iaitu betapa tidak memadainya kerangka undang-undang yang memayungi dokumentasi BBA dalam batas-batas sebuah ekonomi kapitalis’

Kita juga akan melihat industri perbankan itu sendiri, impaknya ke atas dunia perbankan vis-à-vis bank konvensional dan apakah ertinya kepada umat Islam, terutamanya dalam mencari penyelesaian, yang bukan sahaja mematuhi Syariah, tetapi juga merupakan kaedah pelaburan yang praktikal dan sesuai dengan kerangka undang-undang sebuah masyarakat kapitalis yang menjadi persekitaran kita hari ini.

Akhirnya, saya akan mengemukakan cadangan bagi mengatasi bencana yang dihadapi oleh perbankan Islam.

Dalam sistem perbankan Islam, kaedah pembiayaan BBA dianggap sebagai kaedah pembiayaan yang boleh menggantikan ‘kaedah pembiayaan’ berdasarkan ‘pinjaman’ yang diamalkan oleh sistem perbankan konvensional.

Masih jelas pada ingatan saya hujah yang diketengahkan oleh Pengarah Urusan BIMB ketika itu, Dato Abdul Halim Ismail. Beliau memetik ayat 282 Surah Al Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk tempoh yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya…”(Al-Quran: 2:282)

‘Apabila kamu bermuamalah untuk tempoh yang ditentukan’ dengan perkataan lain adalah ‘urus niaga hutang’ atau ‘jualan tertangguh’. Dalam bahasa Arab, frasa ‘urus niaga hutang’ diwakili oleh perkataan ‘dayn’. Justeru, hutang yang terhasil daripada ‘jualan’ yang tertangguh dikenali sebagai ‘dayn’, manakala hutang yang terhasil daripada hutang wang dikenali sebagai ‘qardhun’.

Beliau berpendapat, di dalam ayat inilah terletaknya penyelesaian alternatif bagi mengatasi masalah perbankan Islam kepada kaedah pembiayaan hutang sistem perbankan konvensional.

Seolah-olah ayat al-Quran ini merujuk secara langsung kepada penyelesaian ini, iaitu membenarkan ‘kaedah jualan bayaran tertangguh’ sebagai penyelesaian bagi masalah yang dihadapi!

Ini adalah hujah asas yang dikemukakan oleh dunia perbankan Islam bagi menyokong kaedah pembiayaan BBA sejak BIMB membuka pintunya kepada orang awam pada 13 Mei 1983.

Sistem perbankan Islam beroperasi di atas metodologi sistem ‘kontrak jualan bayaran tertangguh’ bagi menggantikan metodologi pembiayaan hutang sistem berasaskan faedah/riba konvensional.

Kaedah pembiayaan ini bukan sahaja merupakan antara produk utama BIMB, tetapi jiga merupakan batu asas dunia perbankan Islam. Di Malaysia sekurang-kurangnya, ini merupakan kaedah pembiayaan paling popular dan merangkumi 70% (4) daripada jumlah aset pembiayaan industri perbankan Islam.

Pada asasnya, struktur pembiayaan di bawah BBA melibatkan dua jualan yang berbeza.

Jualan pertama ialah antara pemaju atau pemilik aset dengan bank sendiri, sementara jualan kedua pula adalah antara bank dengan pembeli aset tersebut.

Melalui pembelian pertama, aset tersebut dibeli daripada pemaju atau penjual asal pada harga yang dipersetujui bank. Maka aset itu kini menjadi aset bank.

Aset ini kemudiannya dijual terus oleh bank kepada pembeli berdasarkan ‘jualan bayaran tertangguh’ tanpa apa-apa jurang masa antara jualan pertama dengan yang kedua.

Dalam rekod bank, ‘jualan bayaran tertangguh’ yang terhasil daripadanya adalah dikenali sebagai kaedah ‘pembiayaan’ oleh bank-bank Islam atas sebab dan alasan yang hanya diketahui oleh mereka.

Dalam sistem perbankan konvensional, ‘pembiayaan’ berlaku daripada ‘pinjaman’ yang dibuat bagi membeli aset oleh pembeli dan bank kemudiannya mengenakan ‘faedah’ bagi pinjaman yang diambil untuk pembiayaan tersebut.

Walau bagaimanapun, bolehkah kita menjustifikasikan apa-apa bentuk ‘pembiayaan’ yang berlaku dalam tindakan bank membeli aset melalui pembelian pertama hanya untuk menjualnya semula kepada pihak lain atas asas ‘bayaran tertangguh’?

Maksud saya, bagaimanakah aktiviti ‘pembiayaan’ boleh berlaku, sama ada daripada ‘jualan pertama’ oleh pemaju, iaitu antara bank dengan penjual/pemaju atau daripada ‘jualan kedua’ oleh bank kepada pembeli atas asas ‘bayaran tertangguh’?

Saya bersetuju dengan pendapat Yang Arif Hakim dalam kes ini ketika beliau menyimpulkan bahawa dokumen BBA hanyalah kontrak ‘jualan bayaran tertangguh’ antara bank dengan pembeli, bukannya dokumen pembiayaan.

Namun, kenapakah ia diistilahkan sebagai dokumen pembiayaan?

Untuk menjawab soalan ini, pertamanya kita harus bertanya kepada para peguam yang merupakan orang pertama yang merangka dokumen tersebut ketika kami mengemukakan BBA sebagai satu kaedah pembiayaan.

Dari sudut yang lain pula, jika sistem perbankan Islam mengkelaskan semua portfolio ‘pembiayaan’ mereka sebagai ‘kontrak jualan tertangguh’, maka urus niaga perbankan mereka dapat dibezakan daripada pesaing mereka, iaitu bank konvensional.

Maksud saya, jika bank Islam tidak menawarkan atau terlibat dalam apa-apa aktiviti ‘pembiayaan’, maka tentulah mereka sendiri seolah-olah tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti perbankan sama sekali! Ini sudah tentu mempunyai kesan yang besar, iaitu ia membuktikan betapa tidak relevannya dunia perbankan Islam vis-à-vis sistem perbankan konvensional.

Lebih jauh lagi, hatta sejak hari pertama tercetusnya idea perbankan Islam, urus niaga perbankan, seperti yang didefinisikan dalam Akta Bank dan Institusi Kewangan 1965 (Banking and Financing Act 1965) atau BAFIA adalah amat kompleks.

Kita tidak harus lupa bahawa BAFIA adalah akta asas yang menjadi sandaran Akta Bank Islam 1983 itu sendiri.

Saya mahu mengemukakan pemerhatian berikut: bahawa institusi perbankan dan kewangan adalah institusi-institusi yang unik, hatta dalam ideologi kapitalis mereka, dan berbeza daripada institusi kapitalis lain yang pernah diwujudkan.

Saya mahu menegaskan bahawa, hatta dalam masyarakat demokratik-kapitalis moden, keunikan institusi perbankan dan kewangannya terletak pada urus niaga perbankannya yang diluluskan atau dibenarkan untuk menggunakan ‘deposit orang lain’ yang diamanahkan kepada mereka untuk manfaat diri mereka sendiri!

Dengan perkataan lain, bank bukan sahaja dibenarkan menggunakan wang pendeposit untuk keperluan perniagaan mereka, iaitu penjelasan baki harian antara bank, tetapi juga dibenarkan memberi ‘pembiayaan’ menggunakan dana pendeposit yang dipegang sebagai amanah oleh mereka!

Ia secara sah boleh menggunakan dana pendeposit lain (dibenarkan oleh Akta ini) bagi memenuhi keperluan perniagaan perbankan mereka sendiri. Ini bermakna, institusi perbankan boleh menjana kredit secara dalaman daripada dana pendeposit dengan mematuhi nisbah tertentu (yang dikenali sebagai Nisbah Kecukupan Modal) yang ditetapkan oleh Bank Pusat masing-masing.

Fenomena ini dikenali sebagai ‘sistem perbankan rizab sebahagian’ di mana hanya peratusan kecil deposit kekal mudah tunai (kini kira-kira 6.75% di Malaysia).

Tertakluk kepada peraturan dan penyeliaan Bank Pusat; baki dana pendeposit bebas digunakan oleh bank untuk memberi ‘kredit’ atau ‘pinjaman’ sehingga ke paras (100/6.75) kali ganda’, iaitu kira-kira 20 kali ganda jumlah deposit sebenar di bank.

Kegiatan ‘penciptaan kredit’ ini merupakan fenomena unik isntitusi istimewa ini. Jika ini sudah merupakan keistimewaan khas yang diberikan kepada bank, maka kita harus ingat bahawa jika institusi ini gagal juga, bank pusat akan menyelamatkan mereka.

Dalam konteks ini, bukankah kita sering diberitahu bahawa deposit kita di bank dijamin oleh kerajaan? Institusi-institusi lain tidak mempunyai keistimewaan ini. Bukankah bank merupakan institusi yang unik?

Sememangnya bank diberikan kebebasan untuk menggunakan dana pendeposit dalam akaun semasa, akaun simpanan dan lain-lain. Biasanya mereka menggunakan dana ini setiap hari bagi menjelaskan kurangan dalam pembayaran cek antara bank.

Pembayaran cek ini bukan sahaja melibatkan bayaran cek pendeposit sebagai pindahan dana antara bank, tetapi sejumlah besar cek adalah kredit yang terhasil daripada pinjaman dan pembiayaan bank.

Jika ini tampak pelik, maka kini kita diberitahu bahawa dana pendeposit diinsuranskan oleh bank dengan bayaran premiumnya dikeluarkan oleh bank sendiri sehingga RM60,000 bagi setiap pendeposit.

Ironinya ialah pendeposit diberitahu melalui iklan bahawa bank amat menghargai mereka dan kerana itu diberi jaminan sekiranya berlaku serbuan-bank, maka jumlah deposit mereka dijamin sehingga sebanyak RM60,000.

Bagaimana jika deposit anda melebihi angka RM60,000? Ini bermakna tidak ada jaminan bagi jumlah selebihnya. Isu ini tidak berakhir di sini. Hakikatnya, bukankah bank itu sendiri merupakan PEMEGANG AMANAH dana pendeposit?

Bagi bank-bank Islam pula, kita tertanya-tanya sekiranya Majlis Penasihat Syariahnya diberi makluman tentang apakah ‘perniagaan perbankan’ itu sendiri. Kita juga tertanya-tanya jika urus niaga bank yang sedemikian bakal diluluskan oleh Syariah sekiranya majlis tersebut diberikan kefahaman yang mendalam tentangnya.

Bagi mereka yang arif mengenai BAFIA, ‘perniagaan perbankan’ tidaklah ditakrifkan dengan jelas oleh akta itu sendiri. Bagi memahami ‘perniagaan perbankan’ kita sebenarnya harus melihat keseluruhan aktiviti yang dilakukan oleh bank, bukan sekadar bergantung kepada takrifnya semata-mata.

Sisi-sisi licik dan penuh helah jelas tergambar bagi mereka yang dapat mengesan implikasi peraturan dan undang-undang yang bertaburan dalam seluruh amalan ‘perniagaan perbankan’, bukan sahaja dalam kaedah pembiayaan pinjamannya, tetapi juga dalam pelbagai ‘kertas-kertas bank’ yang dikeluarkan oleh urus niaga perbankan dan institusi kewangan hari ini.

Kembali kepada perbincangan awal kita tadi; walaupun sekiranya kaedah pembiayaan BBA dikemukakan sebagai bahagian penting daripada fungsi ‘penciptaan kredit’ oleh ‘perniagaan perbankan’ seperti yang digariskan oleh BAFIA itu diubah kepada kontrak ‘jualan bayaran tertangguh’, maka kita masih perlu bertanya sama ada ia mematuhi ketetapan Syariah?

Apakah Majlis Penasihat Syariah dimaklumkan tentang masalah ini, atau jika ia baru dikenal pasti, maka apakah bank-bank Islam bersedia mengemukakannya kepada majlis tersebut untuk diteliti dan diambil kelulusannya?

BAFIA atau akta senamanya, Akta Bank dan Kewangan Islam 1983, adalah kerangka undang-undang yang mesti dipatuhi. Tanpanya, keseluruhan dunia perbankan dan kewangan akan kacau bilau.

Jadi sebelum kita menyelami dunia ‘keadilan’ yang kononnya terkandung dalam BAFIA, adalah lebih baik kita meneliti BBA itu sendiri terlebih dahulu.

Jelas bahawa langkah menempatkan urus niaga perbankan Islam yang mematuhi Syariah dalam kerangka perundangan kapitalis merupakan satu bencana yang nyata.

Seperti yang disebut oleh Yang Arif Hakim dalam kes dokumentasi BBA di atas, ‘perjanjian jualan’ tidak boleh menjadi ‘perjanjian pembiayaan’. Tindakan mengahwinkan ‘pinjaman’ dengan ;perjanjian pembiayaan’ mungkin dibenarkan di bawah BAFIA, tetapi untuk menyatukan ‘perjanjian jualan’ dengan ‘perjanjian pembiayaan’ adalah tidak mungkin sama sekali.

Walaupun BAFIA menerima, membenarkan dan mengesahkan faedah/riba dalam perjanjian pembiayaan, namun ia tidak meliputi ‘untung’ yang tertanam dalam ‘perjanjian jualan’ ke dalam kerangka ‘perjanjian pembiayaan’ yang sama, walaupun jika Akta Bank Islam 1983, yang dimodelkan menurut BAFIA, digunakan kerana ia hanya menyerupai kaedah ‘pembiayaan Islam’ yang sama seperti pesaingnya.

Ini kerana ‘perjanjian jualan’, sama ada secara tunai atau bayaran tertangguh, adalah sebuah kontrak yang sempurna dan berdiri sendiri. Saya percaya bahawa Yang Arif Hakim adalah tepat dalam penghakiman dan kesimpulannya itu.

Justeru, dokumentasi BBA yang digunakan kini mestilah diperbaharui dari segi keseluruhan dokumentasinya. Akan tetapi, sebelum berbuat demikian, adalah wajar kita melihat kembali Akta Bank Islam 1983 itu sendiri.

Adalah jelas bahawa mencontohi BAFIA dan memperbaharui Akta Bank Islam 1983 menurut jalur perjanjian ‘jualan tertangguh’ mempunyai pelbagai implikasi undang-undang dan pematuhan Syariah. Selain itu, ia juga bakal melibatkan takrif ‘perniagaan perbankan’ itu sendiri.

Malah adalah wajar dunia perbankan Islam memperbaharui keseluruhan ‘perniagaan perbankan’ mereka dari sudut dimensi praktisnya, dan lebih-lebih lagi aspek pematuhan Syariahnya.

Peniagaan perbankan yang menggunakan peraturan fekah Syariah dianggap sebagai esoterik, bid’ah atau rekaan zaman moden. Ulama kini bebas untuk menggunakan ijmak ulama atau ijtihad bagi membenarkan idea inovatif itu kerana ia sememangnya dibenarkan oleh Syariah.

Malah, ijtihad di kalangan ulama kita telah membenarkan penubuhan institusi perbankan Islam hari ini.

Namun begitu, saya percaya bahawa para ulama negara ini (kalaupun tidak seluruh dunia) telah tidak dimaklumkan sepenuhnya mengenai ‘perniagaan perbankan’ atau institusi licik ini yang telah memperdaya pengamalnya sejak sekian lama. Dengan menjadikannya sedemikian rumit, licik dan kabur ia juga telah berjaya memperdaya sebegitu ramai orang sehingga tidak ramai yang berani bersuara terhadapnya.

Sesungguhnya berdasarkan pengalaman saya berhubung dengan para ulama kita, saya percaya dan yakin bahawa kebanyakan mereka adalah golongan yang terpelajar dan bijak.

Namun mereka dan juga kita, sebagai pengamal perbankan, telah terpedaya oleh ‘perniagaan perbankan’ yang sedemikian licik. Ironinya, di sebalik imej Malaysia sebagai sebuah negara yang subur pengajian Islamnya, namun, begitu sedikit ulama atau intelektual kita yang berupaya membawa umat mengatasi masalah yang dihadapi mereka.

Pengakuan jujur seorang alim kepada saya – ‘kami para ulama hari ini telah meninggalkan bidang muamalah dalam Syariah selama beberapa ratus tahun. Kami seolah-olah berada dalam hutan tebal sehingga kami sendiri tidak tahu arah keluarnya, apatah lagi memberi pedoman kepada orang lain’ – jelas menggambarkan bencana yang dihadapi oleh umat Islam hari ini.

Kita boleh merumuskan bahawa sebarang usaha untuk melakukan kompromi ke atas tuntutan Syariah dalam bidang ini tidak akan membuahkan penawar yang positif kepada dunia yang kacau kini.

Umat Islam perlu diingatkan bahawa sebagai agama, kesempurnaan Islam hanya boleh dicapai melalui pematuhan dan penerimaan keseluruhan prinsip yang didokong oleh undang-undang Islam, iaitu Syariah dan usul fiqh dalam bidang muamalah.

Prinsip usul fiqh memerlukan orang yang benar-benar memahami perundangan Islam. Islam adalah agama amalan, bukan teori. Amal Madinah, yang mewakili prinsip-prinsip Islam yang diamalkan pada zaman Nabi SAW mestilah diteladani sebaik mungkin.

Sebagai langkah awal, ‘Mata wang Syariah’ mestilah sesuatu yang mengandungi nilai intrinsik, bukannya sekadar mata wang kertas yang wujud kini.

Al-Quran telah memberi amaran keras kepada umat Islam tentang kegagalan umat kini menjadi hamba Allah SWT yang patuh, iaitu jika mereka enggan mematuhi perintah-Nya melarang aktiviti riba. Jika itu berlaku, maka Allah SWT akan mengiytiharkan PERANG terhadap mereka.


(1) Malaysian Reserve, 11 September 2008. Dunia perbankan Islam berkemungkinan dilanda bencana ekoran keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini bahawa aplikasi kaedah Bai Bithaman Ajil (BBA), yang banyak digunakan dalam kontrak pembiayaan pembelian rumah Islam, adalah bertentangan dengan Akta Bank Islam 1983.

(2) Oleh sebab mahkamah memutuskan kontrak ini batal dan tidak sah, maka Seksyen 66 Akta Kontrak adalah terpakai”, kata peguam. Seksyen 66 akta tersebut menetapkan ‘apabila sesebuah perjanjian didapati tidak sah atau apabila sesebuah kontrak batal, maka mana-mana individu yang mendapat manfaat daripada perjanjian atau kontrak itu hendaklah mengembalikannya atau membuat ganti rugi terhadapnya kepada individu yang daripadanya ia diambil.

(3) Intipati penghakiman bertulis Yang Arif Hakim Datuk Abdul Wahab Patail ialah; oleh sebab sesetengah kontrak BBA adalah silap dari segi strukturnya, maka peminjam mungkir tidak perlu membayar lebih daripada jumlah pembiayaan pokok yang mereka terima, sekali gus membatalkan untung yang seharusnya diperoleh oleh bank daripada urus niaga itu. Bank-bank juga khuatir jika penghakiman tersebut turut bermakna pelanggan pembiayaan BBA semasa hanya perlu membayar amaun fasiliti yang diterima, sekali gus terlepas daripada membayar bahagian untungnya.

(4) Pakar industri menganggarkan hampir 70% pembiayaan Islam diberikan di bawah konsep BBA, yang pada asasnya merupakan jualan dengan bayaran tertangguh (jualan barangan berdasarkan bayaran tertangguh) pada harga jualan yang dipersetujui

Pembiayaan Perumahan Secara

Islam Semakin Inovatif

Oleh

Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Bagi memperolehi sesuatu keuntungan, Islam tidak membenarkan pinjaman kewangan dijadikan sebagai instrument bagi memperolehinya. Cara yang diterima Islam bagi memperoleh sebarang keuntungan hanyalah melalui kontrak jual beli. Oleh kerana itu, Perbankan Islam di seluruh dunia tidak di benarkan sama sekali untuk meraih sebarang keuntungan dari pinjaman. Hasilnya mereka telah mencipta seluruh konsep produk mereka kepada pelbagai jenis konsep jual beli di dalam Islam bagi meraih keuntungan yang sah di sisi Islam.

Bai Bithaman Ajil (BBA) atau Jual beli secara tangguh pembayaran adalah salah sebuah instrumen atau produk yang digunakan oleh kebanyakan bank-bank Islam di Malaysia. Konsep ini telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Shariah Kebangsaan yang berpusat di Bank Negara Malaysia dan juga kebanyakan bank-bank Islam di Malaysia. Menurut statistik, konsep BBA ini amat popular dan digunakan dengan cukup meluas di Malaysia. Sehingga Disember 2005, konsep BBA digunakan sebanyak 52.9 % dalam penerbitan Bon Islam (Sukuk) berbanding konsep-konsep lain. Manakala sepanjang tahun 2005 juga konsep ini digunakan sekitar 41 % pula di dalam produk pembiayaan kewangan pelanggan. Kedua-dua angka ini menunjukkan betapa konsep ini amat selesa diaplikasikan oleh perbankan Islam Malaysia. Malah ia juga amat popular di Brunei dan Bangladesh.

Bagaimanapun, konsep ini tidak diterima oleh bank-bank Islam di Timur Tengah termasuk Pakistan dan beberapa Negara lain. Ini adalah kerana majoriti ilmuan dan cendiakawan Shariah di rantau Timur Tengah tidak menerima konsep itu yang dianggap tidak menepati konsep tulen BBA, malah konsep BBA versi Malaysia juga dilihat sebagai gabungan dua konsep iaitu Bai’ Inah (Jual dan beli semula) dan Bai Muajjal ( Jualan dengan bayaran bertangguh dan secara ansuran). Justeru, ini menyebabkan pihak Bank-bank Islam di sebelah Timur Tengah lebih suka untuk mengutamakan konsep-konsep lain yang lebih menepati objektif Shariah menurut ijtihad mereka seperti Ijarah, Musharakah dan lain-lain.

Secara mudahnya BBA versi Malaysia berfungsi seperti berikut; Apabila seorang pelanggan ingin membeli sebuah rumah berharga RM 200,000, maka si pelanggan akan membayar sejumlah wang kepada penjual / pemaju sebagai ‘booking’ dan kemudiannya membayar 10 % pula kepada pemaju/penjual sebagai wang pendahuluan (deposit).

Setelah iu, berbekalkan perjanjian jual beli (S&P agreement) antara si pembeli dan penjual, maka si pelanggan akan mula mencari bank Islam yang oleh memberikan pembiayaan perumahan kepadanya. Setelah menepati seluruh syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak Bank. Pihak Bank bersetuju untuk membeli rumah itu daripada pelanggan tadi dengan harga RM 180,000 (iaitu sama jumlahnya setelah di tolak deposit) dengan bayaran tunai. Dengan itu, rumah itu akan menjadi milik bank dan tanda pemilikan bank ke atas rumah itu adalah melalui satu surat ‘declaration of trust’ dan sebuah ‘charge’ sebagai tanda hak bank ke atas rumah tersebut. Bagaimanapun nama pemilik atas geran tidak akan ditulis nama Bank kerana ini bukanlah syarat dalam pemilikan Islam dan hanyalah bersifat urusan rasmi ‘formality’. Setelah pemilikan ini sah di sisi undang-undang Negara dan diiktiraf oleh Shariah, maka pihak bank Islam akan menjualkan rumah (yang telah dibelinya tadi) itu kepada pelanggan yang sama dengan harga baru ( merangkumi modal beserta kadar keuntungan yang di tetapkan) iaitu RM 350,000 yang boleh dibayar oleh pelanggan secara ansuran bulanan selama 25 tahun atau lebih, bergantung kepada perjanjian.

Itulah gambaran ringkas bentuk pelaksanaan BBA di Malaysia yang merupakan sebuah produk yang dibina atas konsep jual beli dan bukannya pemberian pinjaman kepada pelanggan. Tidak dinafikan, walaupun konsep BBA ini telah hampir disepakati keharusannya oleh kebanyakan cendiakawan Shariah di dalam Negara. Semakin banyak isu-isu Shariah kelihatan timbul hasil dari cara pelaksanaan atau ‘implementasi’ BBA yang kerap tersilap akibat kurang pemantauan oleh individu Shariah di dalam Bank atau tidak difahami sebaiknya oleh para pegawai bank yang mengaplikasikan konsep ini di dalam produk mereka.

Hasilnya, pelbagai pihak yang menyedarinya tampil membuat teguran, pertanyaan dan pelbagai tuntutan penjelasan dibuat. Tambahan itu, konsep ini juga dianggap menjadi satu imej perbankan Islam yang sedikit kurang inaovatif di Malaysia di mata pihak antarabangsa, lalu kemungkinan menjadi salah satu faktor kurang minat pelabur Arab yang kaya untuk turut serta memeriahkan perbankan Islam di Malaysia dengan lebih hebat. Tidak dinafikan, kewujudan beberapa Bank Islam antarabangsa dari Kuwait ( Kuwait Finance House), Saudi (Ar-Rajhi Investment Bank) dan Qatar ( Asian Finance Bank) menampakkan penerimaan  Timur Tengah terhadap Malaysia, tetapi perlu diingat bahawa ketiga-tiga bank Islam antarabangsa ini tidak mengamalkan sebarang konsep BBA di dalam operasi mereka.

Kini, timbul satu fenomena yang agak sihat di kalangan cendiakawan Shariah tempatan dan pengamal perbankan Islam di Malaysia.  Mereka dilihat semakin inovatif dan kreatif dengan mengutarakan pelbagai konsep baru yang lebih ‘mampu’ diterima oleh para ulama sedunia dan pengamal perbankan Islam antarabangsa. Sebagai contoh, produk BBA yang sering menjadi teras bagi pembiayaan perumahan kini sudah semakin kurang popular tambahan pula dengan isu-isu Shariah yang masih lagi berlegar di sekitarnya.  Kini konsep pembiayaan perumahan sudah mula di tukar kepada konsep baru yang lebih baik seperti Musharakah Mutanaqisah (Pemilikan berkongsi secara menurun) dan Ijarah Muntahiyah Bit Tamleek (sewaan yang berkahir dengan pemilikan). Pelbagai Bank Islam dan jendela Perbankan Islam ‘Islamic Banking window’ sudah mula melakukan kajian terhadap kesesuaian konsep ini dengan perundangan Negara. Malah sebahagiannya telah pun mengaplikasikan produk pembiayaan perumahan dengan cara ini. Setakat ini, ia terbukti lebih berkesan selain diterima oleh Ulama sedunia.

Apa yang diharapkan adalah masyarakat Islam di Malaysia khasnya dapat memberikan sokongan tanpa berbelah-bagi terhadap operasi perbankan Islam ini dari masa ke semasa sehinggalah ia dapat mencapai tahap terbaik bagi manfaat dunia akhirat.  Tidak dinafikan masih terdapat pelbagai kelemahan dikenalpasti dalam operasi dan harga yang di tawarkan. Bagaimanapun adalah tidak adil untuk menuding jari terhadap perbankan Islam sahaja tanpa mengetahui bahawa bank-bank Islam ini terhalang dan dihalang oleh pelbagai sebab dan sudut yang diluar bidang kuasanya.

~ oleh ANUAR AHMAD di Februari 28, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: