BAI’AH SEMASA STUDY QAWAID FIQHIAH

Bersama ustaz Ridhwann Mat Norimg_0017

 

BAI’AH SEMASA STUDY QAWAID FIQHIAH

 

Jam di skrin PC aku telah menunjukkan angka 3.13 pagi.. esok aku akan menghadapi exam Qawaid Fiqhiah, banyak lagi yang belum aku baca dan hafaz.. tapi otak dah rasa tepu sangat.. ku capai keyboard untuk mencatit sedikit detik-detik mengenai hidup ini… Takkala ini, masa yang sesuai untuk pencuri masuk kerumah yang dia kehendaki, para penzina sedang racak melakukan perzinaan dek merasakan pencegah maksiat telah tidur, para penghibur sedang menghiburkan manusia di night club, yang kaki dangdut sedang rancak menari-nari, pemabuk arak pula sedang meneguk air najis itu dengan giannya, penagih dadah pula sedang menyuntik jarum kebadannya, para pelacur sedang member service first class pada pelanggannya, musuh-musuh islam sedang merancang untuk menghancurkan islam, takkala ini juga masih ramai yang tidur nyeyak tanpa menunaikan solat isyak, masa ini juga para gerombolan syaitan sedang merayau-rayau mencari mangsanya, bomoh-bomoh sedang memuja syaitannya, sihir-sihir sedang berterbangan mencari mangsanya, hantu-hantu sedang merayau-rayau dan pelbagai lagi perkara jahat sedang aktif disaat ini..

Walaupun demikian.. takkala ini juga para abid sedang bermunajat dengan Tuhannya, para ulama sedang mengkaji ilmu-ilmu, para hamba sedang bermuhasabah dengan dosa-dosanya, para tawabbin sedang teresak-esak menangis mengenangkan kejahatanya, para pejuang sedang bertempur dengan musuh, para mujahidin sedang merancang jihad yang akan dilancarkan, para wanita sedang khidmat untuk suaminya yang tercinta, para ibu sedang menidurkan anaknya yang tersedar dari tidur, para ayah sedang mencari rezeki untuk menampung keluarganya, para huffaz sedang tasmi’ bacaannya, para pelajar sedang mengulangkaji pelajarannya, para auliya sedang suluk dengan Rabbnya, para sufi sedang berzikir pada Illahnya, para pendakwah sedang merancang tanzim dakwahnya dan pelbagai lagi aktivit-aktiviti mulia yang dijalankan oleh manusia yang beriman ketika ini..

Kita melihat kelompok diatas dengan tugas mereka masing-masing, ada jemaah yang berbai’ah dengan nafsu dan syaitan, ada pula jemaah yang berbai’ah dengan Allah dan Islam. Yang berbai’ah dengan nafsu syaitan ialah golongan yang sentiasa menjauhi Allah dan mereka tak pernah melihat Allah didadalam kehidupan mereka, yang berbai’ah dengan Allah dan Islam pula sentiasa melakukan perkara yang mendekati dirinya dengan Allah dan sentiasa berfikir untuk meninggikan Agama Islam.

Aku teringat pada tulisan Ustaz Fathi Yakan didalam Kitabnya yang bernama ‘Maza ya’ni fi ihtiman Islam’. Ustaz Fathi Yakan telah menulis tentang syarat-syarat bai’ah dan keanggotaan para jemaah Allah. Tapi sayangnya, tak ramai yang menghayati tulisan ini, ada juga yang diskus didalam usrah tentang kitab ini tapi tak mengerti dengan kefahaman yang betul tulisan ini, sehingga mereka menyakini bahawa jemaah mereka sahaja yang betul dan memulau semua orang yang tidak bersama jemaah dan usrah mereka.. alangkah indahnya jika mereka memahami erti sebenar tentang Bai’ah, wala wal bara, sir wal hazar fi tanzim wa la fi dakwah, ukhwah maal ikhwan muslimin, husnul zhan maa nas dan macam-macam lagi. Ada yang taasub dengan jemaah mereka sehingga menafikan individu lain didalam gerakan dakwah. Sentiasa mencari aib saudaranya sendiri yang tidak menyertai jemaah mereka dan usrah mereka. Tidakkah mereka mengerti apa yang ditafsirkan oleh para mufassirun mengenai jemaah didalam Alquran dan di huraikan oleh para muhadissin didalam wurudul hadis mengenai jemaah yang terkandung didalah Hadis Assyarif.

Aku nukilkan kembali nukilan Ustaz Fathi Yakan mengenai Syarat-syarat Bai’ah dan keanggotaan didalam gerakan harakah islamiah.

 

Sebenarnya setiap orang Muslim mampu membantu Harakah Islamiyah dalam menunaikan tanggungjawab beramal dan bekerja untuk menegakkan Islam. Ini dapat dilakukan dengan cara mereka menyertai barisan harakah setelah mereka memiliki sifat-sifat yang telah disebutkan iaitu mereka merasai dan menyedari kepahitan yang sedang dideritai oleh umat Islam hari ini dan mereka mengetahui sebab-sebab yang membawa kepada penderitaan tersebut. Kemudian mereka juga yakin kepada kemampuan dan keampuhan Islam untuk bangun semula dan menyelamatkan umat ini, mampu mengangkat mereka kepada martabat yang tinggi dari sudut keinsanan, akhlak dan peradaban, di samping melaksanakan tuntutan iman yang mengarahkan manusia supaya tunduk patuh secara menyeluruh kepada hukum-hakam Islam dan dasar-dasarnya dalam seluruh urusan hidup.

Kualiti dan Kuantiti.

Adalah menjadi kebiasaan Harakah Islamiyah mempelbagaikan cara dalam usaha meningkatkan mutu saff jama’ah dan memperbanyakkan ahli-ahlinya dengan cara-cara yang dibenarkan oleh Islam. Namun demikian kerja-kerja menghimpun atau memperbanyakkan ahli-ahli ini janganlah sampai ia menghimpun apa saja jenis manusia yang ditemui, kerana kualiti (mutu) itu lebih penting dari bilangan. Jama’ah selalunya berusaha berdakwah dengan bersungguh-sungguh mengorbankan tenaga dan waktu untuk mendapat seorang anggota baru dengan harapan anggota baru ini dapat memikul sebahagian dari tanggungjawab dan tugas jama’ah. Tetapi sekiranya diambil anggota secara sembarangan tentulah harakah tidak mampu menanggung beban dari anggota-anggota sedemikian sepanjang umur mereka. Jika ini terjadi rugilah tenaga yang dicurahkan dan sia-sialah usaha.

Seorang manusia adakalanya menjadi satu umat tetapi ada kalanya ia menjadi bebanan yang merosakkan orang lain malah tidak berguna sama-sekali. Orang seperti ini adalah lebih baik tidak diambil kira. Dalam hal seperti ini banyak pengajaran yang dapat dijadikan I’tibar. Allah menceritakan:


وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ

Maksudnya:

“Dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”
(Surah Al-Taubah 9: Ayat 25

 

Sebenarnya bilangan yang banyak bukanlah menjadi perhitungan yang utama, tetapi yang utama ialah anggota yang benar-benar mengenal Allah, teguh pendirian dan benar-benar memperjuangkan kebenaran. Bilangan yang banyak ada kalanya menjadi sebab membawa kepada kekalahan kerana sebahagian yang ikut serta itu terdiri dari mereka yang tidak berpegang teguh dengan ajaran Islam. Apabila menghadapi saat-saat genting dan getir, pendirian mereka ini akan mudah goncang dan goyah. Dengan sifat demikian mereka ini menyebabkan kelemahan jiwa para anggota dan ketewasan di dalam medan jihad.

Oleh yang demikian membuat penilaian dan pembahagian terhadap anggota-anggota merupakan satu amalan yang membawa kebaikan kerana dengan cara itu jama’ah dapat menilai dan mengetahui sejauh mana kemampuan dan kemanusiaan para anggota sebelum sesuatu tugas itu dimulakan. Pembahagian yang dilakukan tidaklah bermakna harakah membiarkan sebahagian anggota yang lain, malah terhadap mereka juga harakah mestilah mengambil perhatian berat dengan cara memberi kesedaran dan tarbiah sehingga mereka juga akan menjadi individu-individu yang setia kepada jama’ah.


Baiah dan Hukumnya Di Sisi Syarak.

Baiah ialah perjanjian untuk memberi ketaatan. Orang yang berbaiah ialah seolah-olah ia membuat janji setia untuk menyerahkan dirinya dan urusan kaum Muslimin kepada amir atau ketuanya. Ia tidak akan melanggar kepada janji-setianya terhadap amir dalam urusan tersebut malah ia mestilah mentaati apa yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sama ada ia suka ataupun ia benci.

Baiah ialah suatu perbuatan sunnah Nabi yang pernah diberikan oleh kaum Muslimin beberapa kali kepada Rasulullah s.a.w semasa baginda masih hidup seperti Baiatul Aqabah pertama, Baiatul Aqabah kedua, Baiatul Ridhwan. Selepas kewafatan baginda para sahabat terus berbaiah kepada Ulil-Amri mereka.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Junadah bin Abu Umayyah dari ‘Ubadah bin Al-Samit yang menyatakan: “Rasulullah s.a.w telah memanggil kami, lalu kami pun memberi baiah kepada baginda… kemudian ‘Ubadah berkata: “Di antara perkara yang diminta kami berjanji ialah; Kami berjanji mendengar dan mentaati (Rasulullah s.a.w) dalam perkara yang kami sukai dan kami benci, dalam keadaan kami susah dan senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah terhadap ketua dalam urusan-urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas.” (Dari Sahih Al-Bukhari-Bab Al-Fitan)

Dalam bukunya “Fi Al-Din Al-Khalis” Sadiq hasan Khan berkata: “Di dalam hadis ini terdapat dalil bahawa tuntutan berbaiah ke atas para sahabat adalah satu sunnah, demikian juga baiah yang diberikan oleh para sahabat kepada Rasulullah s.a.w adalah sunnah. Menunaikan adalah wajib manakala mencabulinya adalah maksiat.”

Di dalam tafsirannya terhadap hadis ini Ibnu Hajar menyatakan: “Dalam keadaan yang kita sukai atau dalam keadaan yang kita benci, iaitu dalam keadaan kita merasa cergas (serta bersemangat) dan dalam keadaan kita merasa lemah untuk melakukan apa yang diperintahkan”. Al-Daudi pula berkata: “Maksudnya ialah sesuatu yang kamu membencinya.” Manakala Ibn Al-Tin pula berkata: “Yang jelas apa yang dimaksudkan ialah pada waktu malas dan kesusahan.” (Fathul-Bari Jil 13, ms 6)

Abnul Juzi Al-Maliki pula berkata: “Kita tidak harus menentang kerajaan (yakni kerajaan Islam) sekalipun (pimpinannya) melakukan kezaliman sehinggalah ternyata pada mereka kekufuran yang jelas, ketaatan mestilah diberikan kepada mereka sama ada dalam perkara yang disukai mahupun dibenci kecuali mereka memerintahkan supaya mengerjakan maksiat, maka dalam keadaan demikian tidak ada ketaatan kepada makhluk yang bermaksiat kepada Allah.” (Qawaniyyah Fikhiyyah 14)

Seorang saudara petugas yang jujur wajiblah berpegang dengan kewajipan yang diamanahkan ke atas dirinya dalam mua’malah dengan mas’ul dan pimpinan dakwah. Saudara petugas mestilah mengelakkan diri mencari-cari kecacatan dan keaiban saudaranya, kerana sikap berbaik sangka terhadap seorang saudara yang lain adalah dasar asal yang mesti diikuti, bukannya mengikuti cara-cara kepartian yang jauh dari sifat takwa dan semangat keagamaan dan ingatlah setiap bidaah itu adalah sesat.


Taat dan Hukum Syarak.

Taat ertinya menurut perintah. Apabila taat tidak berlaku maka maksiat dan fitnah akan menggantikan tempatnya. Bagi sesorang Mukmin bibit-bibit fitnah itu pada mula mungkin tidak begitu jelas sehingga ia tidak merasai kewujudan fitnah itu kecuali setelah ia benar-benar terjadi. Oleh yang demikian ia wajib berhati-hati dalam segala tutur katanya, perbuatannya dan tindak-tanduknya supaya semua perbuatan-perbuatan tersebut tidak mendatangkan fitnah kepada orang-orang yang beriman.

Memberi ketaatan (kepada yang berhak) adalah wajib selama ia tidak termasuk dalam perkara maksiat atau perkara yang boleh membawa maksiat sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”
(Surah Al-Nisa’ 4: ayat 59)

Diriwayatkan dari Abu Hurar.a bahawRasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Barangsiapa yang mentaatiku bererti ia telah mentaati Allah s.w.t. Barangsiapa yang menderhakaiku bererti ia telah menderhakai Allah s.w.t. Barangsiapa yang mentaati amirku bererti ia taat kepadaku dan barangsiapa yang menderhakai amir-amirku bererti ia derhaka terhadapku”.
(Hadis)

Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadis dari Anas bin Malik yang berkata Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Dengarlah dan taatlah sekalipun yang dilantik untuk menjadi ketuamu itu seorang hamba Habsyi (yang hitam).”

Satu riwayat yang lain dari Ibnu ‘Abbas menyebut bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibencinya pada amirnya, maka hendaklah ia bersabar kerana sesungguhnya tidak seorang pun yang memisahkan diri dari jama’ah walaupun sekadar sejengkal kecuali ia mati dalam keadaan jahiliyah.”

Dalam satu riwayat disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang memisahkan dirinya dari ikatan jama’ah sekadar sejengkal sesungguhnya ia telah menanggalkan ikatan Islam dari tengkuknya.”

Imam Bukhari juga meriwayatkan hadis dari Abdullah bin Umar yang menyebabkan Rasulullah s.a.w bersabda:

“Dengar dan taat adalah wajib atas setiap orang muslim dalam perkara yang ia suka atau benci selama ia tidak disuruh berbuat maksiat. Apabila ia disuruh berbuat maksiat maka tidak wajib lagi ia mendengar dan mentaati.”

 

Imam Bukhari juga meriwayatkan sebuah hadis yang berlangsung disandarkan kepada Sayidina Umar bahawa beliau:

“Sesungguhnya manusia di zaman Rasulullah s.a.w dihukum dengan wahyu tetapi sekarang wahyu telah terputus. Oleh yang demikian kami akan menghukum kamu berdasarkan apa yang zahir (jelas) dari amalan-amalan kamu. Maka sesiapa yang menunjukkan kebaikan kepada kami, kami akan melindunginya dan mendekatinya. Kami tidak berhak mencari rahsia hatinya sedikitpun. Allahlah yang akan menghisab perkara yang berkaitan dengan hatinya. Sesiapa yang melakukan kejahatan kepada kami, kami tidak akan melindunginya dan tidak akan membenarkannya sekalipun ia menyatakan niatnya baik”. (Riwayat Bukhari).

 

Rukun-rukun Baiah:

Bergabung dengan Harakah Islamiah pada hakikatnya bermaksud bergabung secara langsung atau amalan di dalam Islam. Ia merupakan permulaan perjanjian baru dengan Allah dan memberikan baiah untuk beramal dan berjihad pada jalan-Nya.

Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna telah merumuskan tentang rukun-rukun baiah dengan berkata:

“Rukun baiah kita semuanya sepuluh, peliharalah ia dengan sebaik-baiknya”.

1. Faham.

2. Ikhlas.

3. Amal.

4. Jihad.

5. Berkorban.

6. Taat.

7. Tetap Pendirian.

8. Tegas.

9. Persaudaraan.

10. Percaya.

Kemudian Imam Hassan Al-Banna mentafsirkan rukun-rukun di atas satu persatu. Beliau menyatakan:

1. Faham:

Hendaklah saudara meyakini bahawa fikrah kita adalah fikrah Islamiah yang sejati dan hendaklah saudara memahami Islam sebagaimana kami (para pemimpin) memahaminya berdasarkan usul dua puluh (prinsip) yang ditetapkan. Kami ringkaskan prinsip-prinsip tersebut adalah sebagaimana berikut:

1.1- Hendaklah saudara memahami bahawa Islam adalah satu sistem yang lengkap (syamil) mencakupi seluruh bidang kehidupan.

1.2- Hendaklah saudara memahami bahawa Al-Quran dan Sunnah adalah sumber rujukan bagi setiap orang muslim dalam memahami segala hukum-hakam Islam.

1.3- Hendaklah saudara memahami bahawa iman yang benar, ibadat yang sah dan mujahadah merupakan cahaya kemanisan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya kasyaf, mimpi, ilham dan lintasan-lintasan hati tidaklah menjadi dalil hukum Islam (syarak) dan tidak boleh dibuat pegangan kecuali jika ianya bercanggah dengan hukum-hakam Islam dan nas-nas agama.

1.4- Hendaklah saudara memahami bahawa semua jenis tangkal, jampi, mantera, tilikan dan ramalan, mengaku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, nujum atau apa sahaja yang seumpamanya adalah satu kemungkaran yang wajib diperangi kecuali jika jampi-jampi tersebut terdiri dari ayat-ayat Al-Quran dan doa yang ma’thur yang pernah dibuat oleh Rasulullah s.a.w.

1.5- Hendaklah saudara memahami bahawasanya pendapat Imam dan naibnya dalam perkara-perkara yang tidak ada nas yang jelas dan dalam masalah yang boleh ditafsirkan dengan lebih dari satu pentafsiran dan dalam perkara yang melibatkan maslahah mursalah, boleh diamalkan (dipegang) selama ia tidak berlawanan dengan kaedah-kaedah syarak.

1.6- Hendaklah saudara memahami bahawa sesungguhnya perkataan dari seseorang itu boleh diambil dan boleh ditolak kecuali perkataan Rasulullah s.a.w yang maksum.

1.7- Hendaklah saudara memahami bahawa bagi seseorang Islam yang taraf keilmuannya belum sampai ke peringkat mampu meneliti dalil-dalil hukum-hakam Syariat Islam maka hendaklah dia mengikuti salah seorang dari Imam-imam (mujtahid) dalam Islam.

1.8- Hendaklah saudara memahami bahawa perbezaan-perbezaan (pentafsiran dan pegangan) dalam hukum-hakam fekah dalam soal-soal cabang (furu’) tidak harus dijadikan sebab perpecahan dalam agama.

1.9- Hendaklah saudara memahami bahawa perbincangan tentang masalah yang tidak mendatangkan hasil adalah termasuk di dalam erti takalluf (usaha yang memberatkan) yang ditegah oleh agama.

1.10- Hendaklah saudara memahami bahawa mengenali Allah Tabaraka Wa Taala, mentauhidkannya dan menyucikannya (dari segala sifat kekurangan) adalah setinggi-tinggi akidah Islam. Kita beriman dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Sahih tentang sifat-sifat Allah sebagaimana zahir ayat-ayat tanpa takwil dan juga tanpa membekukan nas-nas tersebut.

1.11- Hendaklah saudara memahami bahawa setiap amalan bidaah di dalam agama Allah (Islam), yang tidak ada asal-usulnya mestilah dihapuskan dengan cara yang paling bijak.

1.12- Hendaklah saudara memahami bahawa bidaah Idhafiyyah (yang ditokok-tambah), bidaah tarkiyyah (bidaah yang meninggalkan amalan yang sunnah) serta beribadat dengan cara tertentu di dalam ibadat-ibadat mutlak (khusus) adalah masalah khilafiah dalam fikah di mana setiap golongan mempunyai pendapatnya sendiri. Tidak mengapa jika dibincangkan dengan tujuan memberi kebenaran yang disertakan dengan dalil dan keterangan (bukti).

1.13- Hendaklah saudara memahami bahawa mengasihi orang-orang yang salih, menghormati mereka dan menyebut kebaikan-kebaikan mereka yang kita ketahui adalah satu sikap yang akan membawa kita bertambah dekat dengan Allah s.w.t.

1.14- Hendaklah saudara memahami bahawa menziarahi kubur walau bagaimana sekalipun keadaannya adalah suatu perkara sunnah yang disyariatkan mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

1.15- Hendaklah saudara memahami bahawa berdoa kepada Allah yang diiringi dengan bertawassul kepada makhluknya yang tertentu (orang-orang salih) adalah perkara khilafiah furu’ie tentang cara-cara berdoa. Ia bukanlah satu persoalan akidah.

1.16- Hendaklah saudara memahami bahawa adat-adat kebiasaan manusia yang salah tidak dapat mengubah pengertian hakiki dari lafaz syarak.

1.17- Hendaklah saudara memahami bahawa akidah (yang bersih) adalah asas segala amalan dan amalan hati adalah lebih penting dari tubuh-badan. Mencari kesempurnaan dalam kedua-dua bidang amal ini adalah dituntut oleh syarak sekalipun tuntutan itu berbeza-beza mengikut keadaan.

1.18- Hendaklah saudara memahami bahawa Islam memberi kebebasan kepada akal dan mendorongnya supaya memerhati dan mengamati rahsia-rahsia alam, malah Islam mengangkat darjat dan martabat ilmu dan para ulama (ilmuan) serta mengalu-alukan segala hasil kajian ilmiah yang memberi manfaat.

1.19- Hendaklah saudara memahami bahawa pandangan syarak dan pandangan akal ada kalanya kelihatan tidak seiring tetapi syarak dan akal tidak bercanggah dalam perkara yang qat’ie (telah jelas dengan dalil). Oleh itu hakikat ilmiah yang sah sekali-kali tidak akan bercanggah dengan kaedah syariat yang tetap. Apabila terdapat sesuatu penentangan maka perkara-perkara yang bersifat zanni (atau perkara-perkara yang pendapat akal biasa semata-mata) itu, hendaklah diulas dan ditakwilkan supaya sesuai dengan hakikat qai’ie, tetapi seandainya terdapat pertentangan di antara kedua-dua perkara yang bersifat zanni berlaku maka hendaklah diutamakan pandangan syarak dakal biasa dan pandangan syaraklah yang lebih patut disehinggalah peperkara zanni akal tadi benar-benar dapat dibuktikan kebenarannya. Jika tidak demikian maka gugurlah pandangan akal itu dengan sendirinya.

1.20- Janganlah saudara mengkafirkan seorang muslim yang berikrar dengan dua kalimah syahadat dan beramal dengan tuntutan-tuntutannya serta menunaikan perkara-perkara yang diwajibkan sama ada kerana ia berpegang kepada pendapat tertentu atau melakukan maksiat – kecuali ia sendiri berikrar dengan mengakui kekufuran atau melakukan sesuatu perbuatan yang tidak boleh ditakwilkan lagi kecuali dengan makna kufur.

2. Ikhlas.

Hendaklah seorang saudara muslim itu berniat bahawa segala perkataannya, pekerjaannya dan perjuangan jihadnya adalah kerana Allah dan untuk mendapat keredaan-Nya dengan tidak mengharapkan keuntungan, pangkat kedudukan, kemegahan dan gelaran. Dengan niat yang ikhlas itu saudara akan menjadi seorang tentera (yang setia) kepada fikrah dan akidah bukan tentera yang tamakkan keuntungan dan kepentingan diri.

3. Amal.

Apa yang dimaksudkan dengan amal di sini ialah melakukan Islah (pembaikan) terhadap diri sendiri, membina rumah tangga muslim, membimbing masyarakat, membebaskan tanah air, membetulkan kerajaan sehingga benar-benar bersifat Islam, mengembelingkan kewujudan umat Islam di peringkat antarabangsa, menjadi petunjuk ajaran ke seluruh pelusuk dunia sehingga tidak ada lagi fitnah serta halangan dan agama ini seluruhnya berjalan kerana Allah semata-mata.

4. Jihad.

Jihad yang dimaksudkan di sini ialah kewajipan yang berterusan sejak dahulu hingga ke hari kiamat iaitu kewajipan yang dimaksudkan dalam sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:

“Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak pernah berperang dan berniat untuk berperang bererti beliau mati dalam keadaan jahiliah”.

5. Berkorban.

Berkorban bermakna mengorbankan jiwa-raga, harta-benda, masa, kehidupan dan segala sesuatu untuk tujuan mencapai matlamat.

6. Taat.

Taat bermaksud mematuhi perintah dan melaksanakannya di masa senang mahupun susah sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang dibenci.

7. Tetap Pendirian.

Tetap pendirian yang dimaksudkan ialah setiap orang dari kalangan saudara terus-menerus beramal dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat sekalipun memakan masa yang bertahun-tahun lamanya sehinggalah dia bertemu Allah dalam keadaan beramal dan berjihad. Dengan itu bermakna dia berjaya memperoleh salah satu dari dua kebaikan iaitu mencapai matlamat atau mati syahid.

8. Tegas.

Tegas atau tajarrud yang dimaksudkan ialah saudara membersihkan fahaman atau fikrah yang saudara bawa dari sebarang pengaruh prinsip-prinsip dan individu yang lain dari fikrah saudara kerana fikrah yang saudara dokong ini adalah fikrah yang tinggi lagi lengkap kerana Allah berfirman:

“Celupan Allahlah (yang lebih baik), siapakah yang lebih baik dari celupan Allah”.

(Surah Al-Baqarah, Ayat: 138).

9. Persaudaraan.

Persaudaraan yang dimaksudkan di sini ialah saudara mempertautkan ikatan hati-hati dan ruh-ruh saudara-saudara sekalian dengan ikatan akidah, kerana ikatan akidah itu merupakan ikatan yang paling kukuh dan paling berharga.

Kewajipan dan Tanggungjawab Ukhuwwah (Persaudaraan):

Ukhuwwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan jalinan yang menghubungkan sebahagian dengan sebahagian Umat Islam yang lain. Ia merupakan ikatan rabbani – ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan kepada Allah – yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan jalinan yang mendekatkan mereka kepada Allah s.w.t. Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:

Yang bermaksud:

“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah”. (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Di dalam ajaran Islam persaudaraan adalah satu tonggak yang menjadi tunjang kepada pembinaan sebuah masyarakat Islam yang kukuh dan sendi yang menghubungkan anggota masyarakat.

Hakakah Islamiah sangatlah memerlukan agar ikatan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam ini diperkukuhkan sehingga ia menjadi seolah-olah satu bangunan yang tersusun rapi, satu anggota memperkuat satu anggota yang lain. Ianya seumpama satu jasad yang apabila satu daripada anggota jasad itu merasai sakit, maka seluruh anggota yang lain akan turut menanggung penderitaannya.

Bagi memastikan hak-hak dan kewajipan ukhuwwah ini dilaksanakan dengan sempurna dan berperanan dalam pembangunan jamaah, Islam telah menjelaskan cara-cara bagaimana hak-hak dan kewajipan tersebut dilaksanakan secara amali dengan memberi penekanan bahawa ia adalah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan bukan sekadar ucapan di bibir atau teori semata-mata.

1. Ukhuwwah (yang terjalin di antara seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain) mestilah menjadi hubungan yang membawa mereka kepada ketaatan kepada Allah sebagai membenarkan sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:

Yang bermaksud:

“Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang teman setia yang salih, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (temannya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya”.

Teman setia yang baik seperti inilah yang dimaksudkan oleh Sayidina Umar bin Al-Khattab r.a yang mengatakan:

“Engkau mestilah mencari saudara-saudara yang jujur dan hiduplah di kalangan mereka kerana mereka itu adalah perhiasan di waktu senang dan bekalan di waktu kesusahan”.

2. Di sudut kejiwaan pula, ukhuwwah merupakan satu keperluan kerjasama, turut merasai keperluan-keperluan saudara-saudara yang lain dan berusaha memenuhi keperluan tersebut sebagai menyahut tuntutan sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:

“Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di dalam masjidku ini”. (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).

3. Persaudaraan juga adalah kerjasama di bidang kebendaan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

Yang bermaksud:

“Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya”.

4. Ukhuwwah adalah tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang ringkas. Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

“Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya”. (Hadis riwayat Muslim).

5. Ukhuwwah juga bererti kemesraan, kasih-sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

“Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari”. (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

Yang bermaksud:

“Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)”. (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

“Setiap perkara kebaikan adalah sedekah. Sesungguhnya di antara perkara mulia itu ialah bermanis muka ketika bertemu saudaramu dan menolong memenuhi bejana saudaramu dengan air”. (Hadis riwayat ).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:

“Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerananya kamu saling berkasih-sayang dan akan jauhlah permusuhan”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

6. Ukhuwwah menurut ajaran Islam ialah keghairahan dan setia kerana Rasulullah s.a.w bersabda:

Yang bermaksud:

“Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat”. (Hadis riwayat Tirmizi).

Baginda juga bersabda:

Yang bermaksud:

“Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga”. (Hadis riwayat Muslim).

 

10. Percaya.

Percaya atau thiqah di sini bermaksud kepercayaan seseorang tentera (jundi) yang mendalam terhadap kemampuan dan keikhlasan pimpinannya sehingga menimbulkan rasa kasih, menghargai, menghormati dan memberikan ketaatan yang penuh kepadanya.

 

Kewajipan-kewajipan Seorang Saudara Muslim:

Di dalam risalah At-Taalim Asy-Syahid Hassan Al-Banna telah menetapkan lebih tiga puluh kewajipan bagi seseorang saudara muslim yang menggabungkan dirinya dengan Harakah Islamiah. Dengan kewajipan-kewajipan ini Imam Al-Banna telah merumuskan kewajipan setiap seorang muslim terhadap dirinya, rumah tangganya dan masyarakatnya. Beliau mengatakan:

“Wahai saudara yang jujur! Keyakinan saudara terhadap persetiaan (baiah) ini, menuntut saudara menunaikan kewajipan-kewajipan berikut ini sehingga menjadi batu-batu yang kukuh bagi binaan kita”.

 

  1. Saudara hendaklah mewiridkan (membaca) Al-Quran kira-kira satu juzuk setiap hari dan bersungguh-sungguh melakukannya supaya dapat khatam dalam tempoh tidak lebih dari satu bulan tetapi janganlah dihabiskan dalam tempoh kurang dari tiga hari.

 

 

  1. Saudara hendaklah membaca Al-Quran dengan baik (sebutan dan tajwid), sanggup pula mendengar dan merenungi maksud pengertiannya. Saudara juga hendaklah mempelajari sirah perjalanan hidup Rasulullah s.a.w dan sejarah angkatan salafussoleh yang mampu dilakukan sesuai dengan ruang waktu yang ada pada saudara. Sekurang-kurangnya saudara membaca buku “Hamalatul Islam” sebagai kajian permulaan. Hendaklah saudara memperbanyakkan membaca hadis-hadis Rasulullah s.a.w dan menghafal sekurang-kurangnya empat puluh hadis iaitu hadis 40 susunan Imam Nawawi. Saudara juga hendaklah mempelajari sebuah risalah atau kitab mengenai usul-usul akidah dan sebuah kitab mengenai hukum-hakam fekah.

 

 

  1. Saudara hendaklah segera berjumpa doktor supaya diperiksa kesihatan am saudara. Jika didapati ada apa-apa penyakit saudara hendaklah segera mencari ubatnya. Saudara hendaklah mengambil berat terhadap sebab-sebab kekuatan badan dan pemeliharaannya. Di samping itu saudara hendaklah menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh melemahkan kesihatan.

 

 

  1. Saudara hendaklah menjauhkan diri dari meminum kopi, teh atau minuman menyegarkan seumpamanya secara berlebihan. Janganlah saudara meminumnya kecuali di ketika yang sangat perlu dan janganlah sekali-kali saudara menghisap rokok.

 

 

  1. Saudara hendaklah mengambil berat tentang kebersihan dalam semua perkara, dalam rumah tangga, pakaian, makan-minum, tubuh-badan dan tempat kerja (pejabat) kerana agama ini dibina di atas dasar kebersihan.

 

 

  1. Saudara hendaklah bercakap benar dan jangan sekali-kali berdusta.

 

 

  1. Saudara hendaklah menunaikan dengan tepat segala kata-kata dan janji dan jangan sekali-kali saudara memungkirinya walaupun dalam keadaan paling sulit sekalipun.

 

 

  1. Saudara hendaklah bersifat berani dan tahan memikul bebanan (tanggungjawab), semulia-mulia keberanian talah berani berterus-terang dalam perkara yang benar dan sanggup menyimpan rahsia, berani mengaku kesilapan diri sendiri, sanggup menyedarkan diri sendiri dan mampu mengawal diri ketika marah.

 

 

  1. Saudara hendaklah bersikap serius dengan cara bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara. Kesungguhan sikap ini tidaklah sampai kepada peringkat sehingga menahan saudara dari bergurau-senda dengan cara yang benar dan ketawa dengan senyum.

 

 

  1. Saudara hendaklah bersifat pemalu, halus perasaan dan mudah terasa (peka) kepada sesuatu yang baik ataupun yang buruk, dengan cara menunjukkan kegembiraan kepada sesuatu kebaikan dan menunjukkan kedukacitaan terhadap sesuatu yang buruk. Saudara hendaklah bersikap merendah diri tetapi bukan kerana merasa hina atau bertongkat dagu kepada orang lain. (Jika saudara menuntut sesuatu) saudara hendaklah memintanya kurang dari martabat kerana dengan cara demikian saudara dapat mencapai martabat sebenarnya dengan kebenaran.

 

 

  1. Saudara hendaklah berlaku adil dan benar dalam menjalankan sesuatu hukum dalam segala perkara dan jangan saudara melupakan kebaikan orang lain kerana marah dan janganlah kerana sayang. Budi orang lain hendaklah dikenangkan walaupun ketika bermusuhan. Saudara hendaklah sanggup bercakap benar walaupun ke atas diri sendiri atau ke atas orang yang paling hampir dengan kamu walaupun ucapan itu pahit.

 

  1. Saudara hendaklah benar-benar cergas dan terlatih dalam melakukan kerja-kerja kebajikan am sehingga saudara merasa bahagia dan menyenangkan perasaan apabila saudara dapat memberi khidmat kepada orang lain. Untuk maksud ini saudara hendaklah menziarahi orang-orang yang sakit, membantu orang yang berhajat (memerlukan), meringankan orang yang menanggung bebanan dan melapangkan orang yang ditimpa bencana dan melapangkan orang yang ditimpa bencana walaupun sekadar mengeluarkan kata-kata yang baik dan manis. Kesimpulannya hendaklah saudara segera melakukan kebajikan.

 

 

  1. Saudara hendaklah bersifat belas-kasihan, pemurah dan bertolak-ansur. Dalam perkara ini saudara hendaklah memberi kemaafan dan mengampunkan kesilapan-kesilapan orang lain dan sentiasa bersabar dan bertenang. Bertimbang-rasa bukan terbatas kepada manusia sahaja malah terhadap haiwan sekalipun hendaklah saudara bertimbang-rasa. Saudara hendaklah memelihara pergaulan dan akhlak yang baik dengan orang ramai, memelihara adab-sopan secara Islam, menaruh belas kasihan terhadap yang lebih muda dan menghormati orang-orang yang lebih tua, melapangkan tempat duduk di dalam majlis-majlis perhimpunan, janganlah saudara mengintai-intai, mengumpat-umpat dan menceroboh. Saudara hendaklah meminta izin terlebih dahulu sebelum memasuki ke satu-satu tempat dan ketika hendak mengundurkan diri daripadanya.

 

 

  1. Saudara hendaklah boleh membaca dan menulis dengan baik dan sentiasa banyak mengulang-kaji risalah-risalah Ikhwanul Muslimin seperti akhbar-akhbar, majalah dan seumpamanya yang diterbitkan oleh mereka. Seboleh-bolehnya saudara hendaklah memiliki kutub khanah (perpustakaan) sendiri walaupun kecil. Dengan ini saudara pula hendaklah mendalamkan ilmu pengetahuan dan kepandaian saudara. Jika saudara termasuk dalam golongan yang mempunyai pengkhususan berkenaan urusan-urusan dalam bidang tertentu, saudara hendaklah mempunyai pengalaman berkenaan urusan-urusan keIslaman sekadar yang membolehkan saudara melihat dan menghukumnya supaya selari dengan tuntutan-tuntutan fikrah perjuangan kita.

 

  1. Saudara hendaklah membuat sesuatu pekerjaan ekonomi sekalipun saudara sudah kaya-raya dan hendaklah saudara memilih dan membuat apa jua pekerjaan yang bebas sekalipun kecil. Ceburkanlah diri saudara ke dalam bidang berkenaan walau apa juga kedudukan ilmu pengetahuan yang ada pada saudara.

 

  1. Janganlah saudara mencari-cari kerja di dalam jabatan-jabatan kerajaan malah saudara hendaklah memandang pekerjaan seperti itu sempit pintu rezekinya. Tetapi jangan pula saudara terus menolak apabila datang peluang pekerjaan. Janganlah pula saudara lepaskan pekerjaan tersebut kecuali kalau ia benar-benar bertentangan dengan kewajipan-kewajipan dakwah kita.

 

 

  1. Saudara hendaklah berjaga-jaga supaya dapat menunaikan tugas dan tanggungjawab saudara dengan penuh amanah tentang kelicinan dan kehalusan pekerjaannya, jangan sekali-sekali anda menipu, malah saudara hendaklah menunaikan tugas tersebut tepat dengan mdan janjinya.

 

  1. Saudara hendaklah menuntut hak-hak saudara dengan cara yang baik dan menunaikan hak-hak orang lain dengan sempurnatanpa perlu dituntut dantidak menangguh-nangguhkan.

 

 

  1. Saudara hendaklah menjauhi permainan judi walau apapun jenisnya dan walau apapun tujuannya. Saudara juga hendaklah menjauhi sebarang cara penghasilan yang haram sekalipun memperolehi keuntungan dengan serta merta.

 

  1. Saudara hendaklah menjauhi amalan riba dalam seluruh muamalat malah hendaklah saudara membersihkan diri sama sekali dari sebarang amalan riba.

 

  1. Saudara hendaklah menggunakan harta kekayaan Umat Islam kepada jalan-jalan yang menggalakkan perusahaan dan institusi-institusi ekonomi Islam dan saudara hendaklah berjaga-jaga supaya jangan tercicir walaupun satu sen ke tangan pihak yang bukan Islam walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Janganlah saudara memakai dan memakan kecuali pakaian dan barang makanan yang dikeluarkan oleh negara Islam.

 

  1. Saudara hendaklah menyumbangkan untuk dakwah kita dari harta saudara dan jangan lupa mengeluarkan zakat yang wajib malah hendaklah saudara menguntukkan sedikit daripada harta itu untuk menolong pengemis-pengemis dan orang-orang yang terputus rezeki sekalipun pendapatan saudara sangatlah kecil.

 

  1. Saudara hendaklah menyimpan sebahagian dari wang pendapatan saudara untuk waktu-waktu kecemasan walaupun sedikit dan janganlah sekali-kali saudara terjerumus di dalam amalan-amalan membelanjakan wang dalam perkara-perkara yang tidak mustahak.

 

  1. Saudara hendaklah berusaha sedaya upaya menghidupkan adat-adat yang bercorak Islam sebaliknya mematikan adat-adat asing dalam semua lapangan hidup. Di antara adat tersebut ialah cara-cara memberi hormat, bahasa, sejarah. Masa bercuti, makanan, minuman, cara-cara datang dan pergi, cara berduka, cara bersuka dan sebagainya. Dalam semua kebiasaan-kebiasaan itu saudara hendaklah beramal dengan sunnah Rasulullah s.a.w.  

 

  1. Saudara hendaklah pulaukan mahkamah tempatan dan sebarang proses kehakiman yang bukan Islam, kelab-kelab, akhbar-akhbar, perkumpulan-perkumpulan, sekolah-sekolah dan institusi-institusi yang menentang fikrah Islamiah. Pemulauan tersebut mestilah dilakukan secara bersungguh-sungguh.

 

  1. Saudara hendaklah sentiasa merasai diri saudara berada di bawah pengawasan Allah s.w.t, mengingati hari akhirat dan bersedia untuk ke sana dan hendaklah saudara mempertingkatkan perjalanan hidup sehari-hari satu peringkat ke satu peringkat yang lebih tinggi dalam mendapatkan keredaan Allah dengan hemat dan keazaman yang kuat. Dekatkanlah diri saudara kepada Allah s.w.t dengan cara mengerjakan ibadat-ibadat sunat seperti sembahyang tahajud (di waktu malam), berpuasa sekurang-kurangnya tiga hari setiap bulan, memperbanyakkan zikir di dalam hati dan lidah dan berdoa dengan doa-doa yang ma’thur dalam setiap keadaan.

 

  1. Saudara hendaklah melakukan dengan baik apabila bersuci (iaitu berwuduk dengan cara menyempurnakan segala syarat dan rukunnya) dan hendaklah saudara sentiasa berada di dalam keadaan berwuduk.

 

  1. Saudara hendaklah mengerjakan sembahyang dengan cara yang betul (iaitu menyempurnakan syarat dan rukun-rukunnya) dan menunaikannya pada waktu-waktunya dengan mengutamakan sembahyang berjemaah dan sembahyang di masjid seboleh yang mungkin.

 

  1. Saudara hendaklah berpuasa pada bulan Ramadan dan menunaikan Haji ke Baitullah apabila saudara berkemampuan pergi ke sana dan jika sekiranya saudara belum mampu hendaklah membuat persediaan untuknya mulai sekarang.

 

  1. Saudara hendaklah sentiasa berada di dalam keadaan niat berjihad dan bercita-cita untuk mati syahid serta melakukan persediaan sedaya-upaya untuk berjihad dan mati bersama-sama dengan para syuhada’.

 

  1. Saudara hendaklah sentiasa memperbaharui taubat dan memohon keampunan, menjauhkan diri dari dosa-dosa besar. Saudara hendaklah memperuntukkan masa selama satu jam sebelum tidur untuk menghisab diri saudara tentang kebaikan-kenaikan dan kejahatan-kejahatan yang telah saudara lakukan. Saudara hendaklah menjaga masa kerana masa itu adalah kehidupan. Oleh itu janganlah saudara membazirkan masa itu walaupun sedikit kepada perkara-perkara yang tidak memberi faedah dan hendaklah saudara menjauhkan diri dari perkara-perkara yang syubahat dan samar-samar hukumnya supaya saudara tidak terjatuh ke dalam perkara-perkara yang haram.

 

  1. Saudara hendaklah bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu saudara sehingga mudah saudara mengendalikannys. Saudara mestilah menjaga penglihatan saudara (dari benda-benda atau tempat-tempat yang haram) dan kuasailah desakan-desakan naluri saudara dengan cara mengarahkannya kepada perkara-perkara yang halal lagi baik dan elakkanlah diri dari sesuatu yang haram walau apapun bentuknya.

 

  1. Saudara hendaklah menjauhkan diri sama sekali dari arak, minuman-minuman yang memabukkan dan minuman-minuman yang melemahkan kesihatan badan atau minuman yang seumpamanya.

 

  1. Saudara hendaklah menjauhkan diri dari berdampingan dengan rakan-rakan yang jahat, kawan-kawan yang rosak dan segala tempat berlakunya maksiat dan dosa.

 

  1. Saudara hendaklah memerangi tempat-tempat permainan yang keji apatah lagi menghampirinya malah saudara juga menjauhkan diri dari cara hidup yang bermewah-mewahan dan bersenang-lenang.

 

  1. Saudara hendaklah mengenali anggota-anggota pasukan saudara demi seorang dengan sebenar-benar pengenalan. Di samping itu saudara juga memperkenalkan diri saudara kepada mereka sama seperti saudara mengenali mereka dengan cara menunaikan dengan sempurna hak-hak persaudaraan seperti kasih-sayang, menghargai, memberi pertolongan, mengutamakan diri mereka dan menghadiri majlis-majlis mereka, janganlah saudara ketinggalan dari menghadirinya kecuali keuzuran yang tidak dapat dielakkan. Saudara hendaklah sentiasa membuktikan bahawa saudara benar-benar mengutamakan diri mereka dari diri saudara sendiri.

 

 

  1. Saudara hendaklah melepaskan diri daripada berhubung dengan sebarang badan atau kumpulan yang tidak memberi faedah kepada fikrah perjuangan saudara terutama jika saudara disuruh berbuat demikian dengan kumpulan seperti itu. 
  2. Saudara hendaklah bekerja untuk menyiarkan dakwah saudara di segenap ceruk rantau dan saudara hendaklah melaporkan kepada pucuk pimpinan tentang keadaan suasana yang mengelilingi saudara dan janganlah saudara melakukan sesuatu kerja yang menjejaskan dasar-dasar seruan kita melainkan dengan mendapat keizinan terlebih dahulu (dari pucuk pimpinan). Dalam melakukan kerja sedemikian, saudara hendaklah mempunyai hubungan yang rapat dengan pucuk pimpinan, malah dari sudut jiwa dan amalan saudara hendaklah menganggap diri saudara adalah seorang perajurit yang sentiasa bersiap-sedia di khemahnya, hanya menunggu saat menerima perintah dan tindakan.

Wirid Rabithah:

Saudara bacalah ayat-ayat suci di bawah ini dengan penuh tadabbur dan renungilah maksudnya:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. تُولِجُ اللَّيْلَ فِي النَّهَارِ وَتُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ وَتُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَتُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَيِّ وَتَرْزُقُ مَنْ تَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ.

Yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya.
(Surah Aali Imran, Ayat: 26 – 27).

 

Kemudian saudara hendaklah menghadirkan di dalam ingatan saudara rupa rakan-rakan yang saudara kenali merasakan wujudnya ikatan hubungan kerohanian dengan mereka dan rakan-rakan yang belum saudara kenali. Kemudian berdoalah untuk mereka semua dengan doa ini:

اَللّهُمَّ إِنَّكَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذِهِ الْقُلُوْبَ قَدِ اجْتَمَعَتْ عَلَي مَحَبَّتِكَ، وَالْتَقَتْ عَلَى طَاعَتِكَ، وَتَوَحَّدَتْ عَلَى دَعْوَتِكَ، وَتَعَاهَدَتْ عَلَى نُصْرَةِ شَرِيْعَتِكَ، فَوَثِّقِ اللَّهُمَّ رَابِطَتَهَا، وَأَدِمْ وُدَّهَا، وَاهْدِهَا سُبُلَهَا، وَامْلَأَهَا بِنُوْرِكَ الَّذِيْ لَا يَخْبُوْا، وَاشْرَحْ صُدُوْرَهَا بِفَيْضِ الْإِيْمَانِ بِكَ، وَجَمِيْلِ التَّوَكُّلِ عَلَيْكَ، وَاَحْيِهَا بِمَعْرِفَتِكَ، وَأَمِتْهَا عَلَي الشَّهَادَةِ فِيْ سَبِيْلِكَ إِنَّكَ نِعْمَ الْمَوْلَي وَنِعْمَ النَّصِيْرِ، اَللَّهُمَّ أَمِيْنَ وَصَلِّ اللَّهُمَّ عَلَي سَيِّدَنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَي آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمْ.

Yang bermaksud:

“Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui bahawa hati-hati (orang-orang yang dibayangkan) ini, telah berhimpun di atas dasar kecintaan terhadapmu, bertemu di atas ketaatan kepada-Mu, bersatu lagi memikul beban dakwah-Mu. Hati-hati ini telah mengikat persetiaan untuk menolong meninggikan syariat-Mu. Oleh itu, Ya Allah, Engkau perkukuhkan ikatannya dan Engkau kekalkan kemesraan mawaddah antara mereka. Tunjukkanlah kepada hati-hati ini akan jalan yang sebenar serta penuhkanlah piala hati-hati ini akan jalan yang sebenar serta penuhkanlah piala hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati sanubari ini dengan keimanan dan keindahan tawakal kepada-Mu. Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifat (pengenalan yang sebenarnya) tentang-Mu. (Jika Engkau takdirkan kami mati) maka matikanlah hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.

 

Mata aku telah lali mengadap PC.. dah tibanya masanya untuk mengundur diri. Lagipun aku exam esok.. doakan semoga aku dapat menjawab segala soalan-soalan yang akan keluar esok..

Sebelum kita semua melelapkan mata.. Jom kita berbai’ah dengan Allah dan Rasul, berwala dengan semua arahan Allah dan Rasul serta bara’ terhadap semua yang menyalahi arahan Allah dan Rasul, bersama Jemaah yang telah dinyatakan oleh Allah dan Rasul, membina tanzim untuk melebarkan sayap dakwah islam dimuka bumi ini dan meluaskan networking Kebenaran pada ummah seluruhnya..

 

SALAM BAI’AH UNTUK SEMUA..

Alfaqir wal Haqir Ilallah..

Shamsul Anuar Ahmad..

 

 

~ oleh ANUAR AHMAD di April 30, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: