MASJID TEMPAT PERMAINANKU…

Ketika solat Zohor di Masjid Wilayah Persekutuan K.Lumpur.image188

Masjid Kok Lanas ialah masjid yang sederhana besarnya, hiasannya pun biasa je jika nak dibandingkan dengan masjid Putrajaya, masjid Wilayah Persekutuan, masjid Kristal, masjid KLIA dan masjid-masjid yang cantik-cantik di Malaysia ini. Walaupun begitu, masjid ini sentiasa diimarahkan oleh anak mukimnya. Masjid ini sentiasa ada solat jemaah 5 waktu, berbanding masjid-masjid besar dan cantik tapi solat jemaahnya tak sempurna 5 waktu dan hanya waktu-waktu tertentu sahaja ada jemaah. Masjid Kok Lanas adalah masjid kampungku yang ku sayangi, disinilah tempat aku menunaikan solat berjemaah, solat jumaat, solat hariraya, solat terawih dan macam-macam solat lagilah. Masjid ini juga tempat aku bertemu ramai kawan-kawan yang sama-sama solat berjemaah, di masjid ini jugalah aku banyak menerima banyak ilmu melalui kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah yang disampaikan oleh para-para ustaz, dimasjid ini juga tempat aku bermain-main dengan kawan-kawanku semasa aku kecil-kecil dahulu. Begitu indah kenangan dan nostalgia yang berada didalam kepalaku mengenai masjid Kok Lanas ini. Aku amat berharap masjid ini sentiasa diimarahkan oleh penghuni-penghuninya. Bila aku balik sekali sekala dan pergi ke masjid ini, banyak nostalgia bermain-main dalam fikiranku, semua kawan-kawan yang bersamaku dimasjid ini telah tiada sekarang, kebanyakkannya telah berkerja, sambung study di oversea, ada yang telah pindah entah kemana.

Masjid adalah asas yang penting didalam pembentukan masyarakat Islam, Rasullullah SAW telah membina masjid Nabawi semasa tiba di Madinah, ini menunjukkan betapa pentingnya masjid didalam membentuk masyarakat Islam. Masjid adalah pusat khidmat masyarakat yang penting pada zaman Nabi, masjid juga tempat pertadbiran politik, pertadbiran ekonomi, pusat pertadbiran Negara, pertadbiran tentera dan macam-macam lagilah. Masjid bukan sahaja tempat untuk solat sahaja tapi untuk semuanya. Tapi pada hari ini, masjid dah hilang fungsinya yang sebenar. Masjid sekarang telah habis taringnya kerana banyak halangan dan rintangan dari golongan munafik yang hendak melihat manusia menjauhi masjid, mereka membuat macam-macam tempat hiburan, konsert, pusat membeli belah, rancangan tv dan macam-macam lagi planning yang telah dirancang untuk menjauhi manusia dari masjid. Masjid sekarang hanya dijadikan tempat pameran untuk orang kafir yang datang melihat keindahan masjid. Betapa malangnya zaman ini, zaman yang telah menghina masjid, zaman yang mana masyarakatnya membenci masjid, zaman yang meninggalkan masjid dan zaman yang telah merobohkan masjid. Buktinya, apa yang kita lihat pada hari ini.

Marilah kita membina kembali generas masjid yang telah hilang fungsinya didalam masyarakat pada hari ini. Jom kita bincang mengenai Membina Generasi Masjid di Negara kita.

MEMBINA GENERASI MASJID


PENDAHULUAN

PERSEPSI sesetengah remaja Islam di negara ini terhadap institusi masjid agak terbatas. Pada mereka fungsi masjid hanyalah sebagai tempat ibadat semata-mata. Semua urusan ibadat perlu disempurnakan di masjid sedangkan perancangan dan kegiatan hidup yang lain difikirkan tidak wajar dibereskan di tempat itu.
Kecenderungan pemikiran sedemikian mempunyai implikasi bukan sahaja terhadap masjid sebagai satu institusi unggul dalam Islam, malah dalam menentukan maju mundur ummah. Budaya yang menganggap masjid hanya sebagai tempat menunaikan solat perlu dikikis dengan segera dan para remaja  serta masyarakat perlu ditanam dengan semangat baru bagi mencari erti sebenar pembinaan sebuah masjid. Usaha-usaha juga perlu dijalankan bagi menarik masyarakat Islam terutamanya para remaja  untuk mengunjungi masjid-masjid.

Para remaja perlu memahami bahawa masjid adalah rumah Allah yang suci, yang mempunyai taraf dan kedudukan paling istimewa di sisi Allah S.W.T. dan Rasul-Nya. Masjid sebagai pusat ibadat, pusat pengembangan ilmu dan penyebaran dakwah Islamiah, di samping menjadi pusat kebajikan dan perpaduan umat Islam setempat.

Sesuai dengan kemuliaan dan kebersihannya, masjid adalah tempat paling cocok untuk solat, beri’tikaf, membaca al-Quran, berzikir, bermuhasabah dan sebagainya. Pendek kata kerja mengimarahkan masjid dengan pelbagai bentuk ibadat amatlah dituntut. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T. dalam surah at-Taubah ayat ke-18 yang bermaksud:

“Sesungguhnya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu adalah terdiri daripada orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan Allah. (Dengan adanya sifat-sifat tersebut), maka adalah diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.”

Abu Said al- Khudri mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Apabila kamu melihat seseorang itu rajin ke masjid, maka hendaklah kamu menjadi saksi bahawa dia benar-benar beriman.”

Berdasarkan keterangan yang tersebut di atas tadi, maka jelaslah kepada kita bahawa masjid mempunyai fungsi yang besar sebagai institusi masyarakat Islam setempat yang penting, untuk membangun jiwa dan keperibadian Islam yang baik.

Para remaja wajib mencintai masjid, memakmurkannya dengan cara selalu hadir ke masjid untuk tujuan solat berjemaah dan melakukan i’tikaf, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Di samping itu mengikuti majlis-majlis ilmu dan turut menjayakan apa jua aktiviti yang mendatangkan manfaat dan kebaikan kepada Islam dan umatnya.

FUNGSI MASJID PADA ZAMAN RASULULLAH S.A.W.

Setelah Rasulullah (s.a.w.) berhijrah ke Kota Madinah, baginda telah membina masjid Quba’, yang menjadi masjid pertama pada zaman awal perkembangan agama Islam. Jika diperhatikan walaupun hanya beberapa hari Rasulullah (s.a.w.) berada di Quba’, dalam perjalanan baginda ke Madinah, baginda telah berusaha membina masjid.

Sekiranya masjid itu dibina hanya semata-mata untuk dijadikan tempat sembahyang maka sudah tentu ia tidak memerlukan pembinaan yang segera, tetapi oleh kerana Rasulullah (s.a.w.) melihat masjid memberikan pengertian yang lebih besar maka Rasulullah (s.a.w.) memberi keutamaan kepadanya.

Masjid adalah lambang syiar Islam dan kedaulatannya, ia merupakan pusat yang menghubungkan antara hamba dengan Penciptanya. Pembinaannya menunjukkan masjid mempunyai peranan yang besar dan agung bagi umat Islam dan sebagai pusat perkembangan agama mereka.

Kita lihat setelah baginda Rasulullah (s.a.w.) tiba di Madinah, baginda telah mengambil beberapa langkah yang berkesan untuk mewujudkan perpaduan yang kukuh di kalangan penduduk Islam di Madinah. Antara langkah-langkah segera yang diambil oleh Rasulullah (s.a.w.) ialah mendirikan masjid (yang terkenal dengan nama “Masjid Nabawi”) dan bermula dari sinilah terpancarnya cahaya Islam, pancaran ilmu, keharmonian ihsan dan ketinggian akhlak umat Islam di seluruh pelosok dunia. Di samping itu baginda telah menjadikan masjid sebagai pusat ibadat, pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, nadi gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan keadilan, markas tentera dan pertahanan, pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia.

Kita boleh menyatakan bahawa fungsi masjid ketika itu amat besar dan ketara sekali. Ia melambangkan paduan dalam urusan dunia dan akhirat. Kesempurnaan Islam sebagai ad-Din telah berjaya digambarkan oleh Rasulullah (s.a.w.) melalui peranan dan fungsi masjid ini.

KEADAAN MASJID PADA HARI INI

Secara umum, apabila kita menyebut perkataan masjid, maka terbayanglah di fikiran kita bahawa ianya adalah tempat umat Islam bersembahyang berjemaah dan berjumaat, diadakan kelas-kelas fardhu ain, ceramah dan syarahan agama terutama ketika sempena perayaan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulidur Rasul, Ma’al hijrah dan sebagainya.

Terbayang juga di fikiran kita bahawa kebanyakan masjid seluruh negara ini merupakan bangunan indah tersergam, alat-alat dan kelengkapan pada umumnya mencukupi dan sempurna, ia dihampar permaidani yang indah, dihiasi ukiran ayat-ayat al-Quran dan hadith Rasulullah (s.a.w.) di dalamnya, namun bangunan yang tersergam indah ini serta kemudahan yang wujud itu seolah-olah tidak sempurna, kosong, tidak bersemangat dan kurang berfungsi.

Ternyatalah masjid di negara ini indah tetapi kurang dimanfaatkan. Ia tidak diimarahkan dengan sewajarnya. Ia lebih merupakan lambang kemegahan yang membayangkan status kedudukan agama Islam dari segi tempat, bangunan dan kelengkapan bukan dari segi pengisian dan penghayatan sedangkan kedua-dua aspek ini menjadi matlamat utama pembinaannya. Kejayaan sesebuah masjid bergantung kepada sejauh mana peranan dan fungsinya dijalankan. Demikianlah perbandingan fungsi dan peranan masjid yang wujud pada zaman Rasulullah (s.a.w) dengan masjid  yang wujud pada masa ini. Perbezaan yang terdapat antara kedua-duanya memerlukan kita berfikir dan bertindak untuk mengimarahkan semula masjid-masjid berdasarkan tuntutan Islam serta bertepatan pula dengan peranan dan fungsi masjid yang sebenar.

KELEBIHAN MASJID

Islam sangat menggalakkan pembinaan masjid dan mengimarahkannya, Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang membina sesebuah masjid kerana menuntut keredhaan Allah S.W.T., Allah akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga”.

Allah telah menjadikan masjid tempat yang mulia di sisi-Nya, ianya juga terkenal dengan nama “Baitul Allah”.

Dalam hal ini baginda Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud:

“Tempat yang paling dibenci oleh Allah di sesebuah negeri itu ialah pasarnya manakala tempat yang paling disukai oleh Allah di sesebuah negeri itu ialah masjid-masjidnya”.

Di dalam hadith yang lain, dalam memperlihatkan kelebihan masjid Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda:

“Apabila kamu melihat seseorang lelaki yang berulang-alik ke masjid maka saksikanlah baginya dengan keimanan”.

Selain daripada itu, Rasulullah (s.a.w.) juga menegaskan tentang kelebihan masjid kepada umat Islam terutama sekali kepada golongan pemuda, iaitu antara manusia yang mendapat perlindungan Allah pada hari Qiamat ialah pemuda yang hatinya sentiasa ingat kepada masjid.

Antara kelebihan masjid, Rasulullah (s.a.w) memberi jaminan kepada orang yang sentiasa sembahyang berjemaah di dalamnya. Sabda baginda yang bermaksud:

“Seorang Muslim yang sentiasa pergi ke masjid untuk sembahyang dan mengingati Allah, Allah amat bergembira dengan kedatangannya sebagaimana ahli keluarga amat gembira dengan kedatangan keluarga yang lain”.

Sabda baginda lagi,

“Sesiapa yang pergi ke masjid, Allah akan menyediakan untuknya hidangan di dalam Syurga, setiap kali ia pergi dan balik”.

Hadith di atas menerangkan bahawa orang yang mendapat kebaikan daripada masjid ialah mereka yang melakukan amalan soleh dan taqwa. Orang-orang yang sedemikian itulah juga yang layak dan berhak untuk mendapatkan ganjaran baik daripada Allah terhadap amalan-amalan soleh yang mereka lakukan, kerana Allah telah menyediakan kelebihan pada masjid-masjid.

PERANAN REMAJA KE ARAH PEMBINAAN GENERASI ISLAM

Peranan remaja merupakan tonggak utama kemajuan dan kekuatan sesebuah negara. Kita dapati dalam sesebuah masyarakat yang maju dan suasana persekitaran yang baik adalah lantaran wujudnya remaja yang berpotensi, optimistik dan baik akhlaknya. Apabila masyarakat itu baik, maka secara tidak langsung negara turut maju dan aman. Namun yang menjadi masalah kita hari ini ialah masih wujud para remaja yang tidak tahu apakah sebenarnya peranan diri mereka sama ada untuk diri mereka sendiri, keluarga, masyarakat ataupun negara.

Sejarah telah membuktikan bahawa golongan pemuda merupakan golongan yang paling berperanan di dalam perkembangan dakwah Islam. Rasulullah (s.a.w) sendiri sewaktu menerima wahyu yang pertama berusia 40 tahun. Sementara Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar masing-masing berumur 37 dan 27 tahun sewaktu menerima Islam. Islam sangat mengambil berat tentang remaja. Di dalam al-Quran banyak terdapat ayat-ayat yang mengisahkan tentang peranan dan perjuangan remaja. Antaranya ialah menceritakan tentang kisah beberapa orang remaja yang lari ke gua kerana hendak menyelamatkan aqidah mereka dari kekejaman seorang raja.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“(Ingat peristiwa) tatkala serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berikanlah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.

(Al-Kahfi: 10)

Allah juga menyebutkan tentang wasiat Luqman kepada anaknya supaya tidak menyekutukan Allah, menyedarkan bahawa Allah S.W.T. Maha Mengetahui segala-galanya, mendirikan sembahyang, tidak merasa angkuh dan sentiasa bersederhana dalam tingkah laku.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Wahai anak kesayanganku, dirikan sembahyang, suruhlah berbuat kebaikan dan larang daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”.

(Luqman:17)

Dalam sebuah hadith Rasulullah (s.a.w) bersabda yang bermaksud:

“Tujuh golongan manusia yang mendapat perlindungan Arasy daripada Allah di akhirat kelak, yang mana pada hari itu tidak ada sebarang lindungan selain daripada lindungan tersebut. Antara golongan yang mendapat lindungan tersebut ialah pemuda yang sepanjang umurnya sentiasa tertumpu kepada masjid”.

(Riwayat As-Syeikhan)

Hadith tersebut menekankan tentang sikap remaja yang sentiasa merujukkan segala permasalahan hidup yang dihadapinya. Permasalahan bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga dengan masyarakat dan negara.
Remaja yang menjadikan masjid sebagai sumber rujukan sudah pasti akan memperlihatkan watak yang lebih jelas dalam setiap tindak-tanduknya. Ia akan menjadikan dirinya model serta sebagai perantara masjid dengan masyarakat. Apabila ini terjadi maka remaja akan menjadi rujukan pula kepada masyarakat. Demikianlah fungsi remaja yang sebenarnya seperti yang dikehendaki oleh Islam.
Di dalam sebuah hadith yang lain Rasulullah (s.a.w) berabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah sangat-sangat kagum terhadap pemuda (remaja) yang tidak didapati pada dirinya keruntuhan moral dan akhlak”.

(Riwayat Ahmad dan Abu Ya’la)

Pada zaman Rasulullah (s.a.w) didapati remaja Islam begitu gigih dan beriman. Golongan merekalah yang mencatatkan sejarah yang agung ke arah mengembangkan dakwah Islam. Remaja-remaja Islam pada zaman itu merupakan pembawa panji-panji Islam yang sentiasa tersebar dan berkibar dalam satu kawasan geografi yang luas. Keluasannya meliputi empayar Rom dan Parsi. Kekuatan yang ada pada remaja Islam pada masa itu ditunjangi oleh mereka seperti Abdullah bin Mas’ud, Abd.Rahman bin Auf, Said bin Zaid dan ramai lagi. Memang tidak dinafikan ketabahan dan ketulenan jiwa mereka sentiasa direstui oleh Allah S.W.T. sama ada di bawah pimpinan Rasulullah (s.a.w) mahupun sahabat-sahabat baginda yang menjadi khalifah kemudiannya.

Sejarah Islam telah membuktikan bagaimana peranan dua remaja yang mengharumkan nama Islam iaitu Saidina Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid yang memainkan peranan dalam perkembangan Islam. Saidina Ali sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah semasa Rasulullah dikepung oleh pemuda-pemuda Qurish sedangkan ia tahu nyawanya terancam. Manakala Usamah bin Zaid dalam usia remaja beliau telah menerima amanah yang besar daripada Abu Bakar As-Sidiq untuk memimpin satu bala tentera ke medan jihad sebagai pengganti ayahnya.

Demikianlah pengiktirafan Islam terhadap peranan golongan remaja yang menunjukkan contoh perjuangan Islam yang dapat menyayangi golongan yang lebih tua kepada mereka.

Peranan remaja menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara. Remaja yang baik akan mewujudkan negara yang maju dan seimbang dalam semua bidang rohani dan jasmani. Sebaliknya remaja yang tidak baik atau yang tidak mempunyai kesedaran adalah merugikan, malah melemahkan masyarakat dan negara.

Pembentukan sesebuah negara yang baik dan maju haruslah bermula dari pembentukan individu yang baik terlebih dahulu, kemudian disusuli pula dengan pembentukan keluarga yang baik, kemudian dari keluarga yang baik ini akan mewujudkan sebuah masyarakat yang baik. Seterusnya melalui masyarakat yang baik akan tertegaklah sebuah negara yang baik dan maju. Ini bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh akal, negara yang sejahtera dan mendapat keampunan daripada Allah.

FENOMENA REMAJA PADA HARI INI

Secara umum minat golongan remaja untuk menghayati dan mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian mereka adalah berbeza-beza berdasarkan perbezaan latar belakang, taraf intelektual dan pengaruh persekitaran masing-masing. Dengan demikian didapati di sesetengah tempat, masjid penuh dengan golongan ini, manakala di sesetengah tempat lain tidak pula.

Satu perkara yang tidak wajar dilupakan bahawa kesan kebangkitan Islam pada dekad 70an banyak memberi pengaruh kepada kecenderungan masyarakat, termasuk golongan remaja, untuk memenuhi masjid-masjid yang sebelumnya menjadi kunjungan sebahagian kecil orang-orang dewasa. Petanda positif ini pula sentiasa dipupuk oleh pihak-pihak yang komited dengan penghayatan Islam seperti pertubuhan-pertubuhan sosial, badan-badan bukan Kerajaan lebih-lebih lagi agensi-agensi Kerajaan yang terlibat secara khusus berkenaan Islam. Keadaan ini semakin lancar dan teratur apabila Kerajaan memperkenalkan Dasar Penerapan nilai-nilai Islam pada tahun 1983.

Sungguhpun begitu masih terdapat kekosongan dalam ruang lingkup kehidupan golongan remaja ini untuk diisikan atau dipertingkatkan ‘nilai-nilai masjid’ supaya paradigma pemuda dan remaja ini dapat berada pada tahap yang tinggi dan dihormati. Perancangan dan usaha yang rapi sangat perlu bagi memenangi persaingan ke atas pengaruh negatif yang sentiasa mencari peluang untuk merosakkan golongan ini. Harus diingat bahawa kehidupan dunia masakini yang semakin maju dan kompleks, sememangnya memberi pengaruh yang besar dalam sosialisasi kehidupan setiap remaja. Apa yang dibimbangi ialah naluri kejiwaan remaja yang sentiasa cenderung kearah keseronokan akan lebih parah apabila jiwa-jiwa mereka tidak mampu menangkis segala macam ancaman budaya barat yang sentiasa menggoda serta runtunan dan hambatan nafsu ammarah yang setiap detik dan ketika meronta-ronta dan merungut-rungut mengajak menyimpang dari haluan mengamalkan nilai-nilai masjid. Dengan demikian kehidupan golongan remaja perlu dipenuhi dengan peningkatan nilai-nilai unggul dan murni. Sekiranya kekosongan ini tidak diisi dengan nilai-nilai tersebut, nilai-nilai negatif pasti mudah mengambil tempat kekosongan yang wujud itu.

PERMASALAHAN REMAJA

Mutaakhir ini seluruh masyarakat dikejutkan dengan rentetan peristiwa dan masalah yang melanda golongan remaja. Gejala mungkar di kalangan mereka ditunjukkan dengan lingkaran cerita yang sangat memalukan dan dengan pendedahan variable yang memeranjatkan. Dalam satu kajian (1994) tentang perilaku membuang masa di kalangan remaja oleh Kementerian Belia Dan Sukan dengan kerjasama enam buah universiti tempatan, didapati sebanyak 28 peratus atau 1,640 daripada 5860 remaja yang disoal selidik telah mengaku terbabit dalam kegiatan seks bebas, 40 peratus terbabit pernah menonton video lucah , 25 peratus mengaku meminum minuman keras, 14 peratus menagih dadah dan 71 peratus menghisap rokok. Kajian ini mendedahkan betapa amalan seks luar nikah yang sangat terkutuk itu dianggap sebagai perkara biasa. Lebih malang lagi ialah 83 peratus daripada remaja yang suka melepak adalah Melayu dan beragama Islam. (Berita Harian 1 Jun, 1994).

Penglibatan golongan pemuda dalam kegiatan-kegiatan negatif seperti penyalahgunaan dadah, alkoholisme, seks bebas, malas, berseronok berlebih-lebihan dan lain-lain seperti yang telah disebutkan bukan sahaja boleh merendahkan martabat diri sendiri tetapi boleh memudaratkan kesihatan dan membawa maut. Islam sangat melarang keras setiap tindakan salah laku yang membawa kemusnahan. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri ke dalam bahaya kebinasaan…”

(Al-Baqarah: 195)

Kesan yang lebih buruk dari tindakan yang kurang sihat ialah meruntuhkan masyarakat serta negara yang kesemua ini merupakan kemungkaran yang akan mendapat kemurkaan serta pembalasan daripada Allah S.W.T. Firman Allah yang bermaksud:

“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

(Ar-Rum: 41)

FAKTOR-FAKTOR PENGHALANG MENDAMPINGI MASJID

a. Faktor Ibubapa

Remaja hari ini merupakan aset kepimpinan yang amat penting buat masa hadapan. Sikap dan pembawaan yang ditunjukkan oleh mereka adalah gambaran sikap dan pembawaan yang akan mencorakkan kepemimpinan  generasi akan datang. Oleh sebab itu, untuk melahirkan corak kepimpinan yang sewajarnya  sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah S.W.T. dan Rasulullah (s.a.w.), maka para remaja yang merupakan pelapis kepimpinan itu harus dibentuk semenjak kecil lagi. Malah bagi sesetengah ulama, mereka harus dididik sejak dari dalam kandungan lagi. Maka orang yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas serta peranan ini sudah tentulah para ibubapa di samping juga anggota masyarakat sebagai agen pembantu.

Rasulullah (s.a.w.) telah menyatakan dengan jelas tentang  tanggungjawab ini dalam sabdanya yang bermaksud:

“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua-dua ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

(Riwayat al-Bukhari)

Dalam soal mendidik anak-anak semenjak kecil ini, perkara pertama yang perlu ditekankan oleh para ibubapa ialah aspek keimanan. Anak-anak perlu disebatikan dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah S.W.T. Tuhan Sekalian Alam, Dia yang telah menciptakan alam ini, Tuhan Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu dan kepada-Nya tempat kembali yang kekal. Apabila kepercayaan-kepercayaan begini telah sebati dalam jiwa anak-anak, akan mudahlah untuk menyalurkan unsur-unsur positif yang lain kepada mereka.

Aspek kedua ialah  ibadat. Anak-anak perlu diajar dan ditanam rasa tangungjawab tentang kewajipan melaksanakan ibadat kepada Allah S.W.T. Tuhan yang telah menjadikannya di dunia ini. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Ajarilah anak-anak kamu menunaikan sembahyang semasa ia berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika enggan) semasa berumur sepuluh tahun”.

Konsep ibadat harus dijelaskan kepada anak-anak bahawa ia bukan tergantung kepada sembahyang, puasa dan ibadat-ibadat khusus sahaja. Mereka perlu faham bahawa pekerjaan harian yang dilakukan juga merupakan ibadat jika dilakukan dengan ikhlas kerana Allah dan untuk kebajikan.

Aspek ketiga pula yang perlu diberi perhatian ialah pendidikan akhlak. Perlu diingatkan bahawa dalam membentuk akhlak anak-anak, contoh dan teladan yang baik mesti ditunjukkan oleh ibubapa sebagai pendidik. Ini kerana model pertama dan utama dalam hidup seseorang anak itu adalah ibubapanya dan anggota keluarga di dalam rumahnya. Suasana rumahtangga perlu dihias dengan kemurnian akhlak Islam yang suci murni itu kerana anak-anak yang lahir dan terbimbing dalam lingkungan orientasi Islam sebegini akan terus membesar menjadi generasi muda yang beriman dan menjadi tonggak kekuatan ummah pada masa akan datang.

Perlu juga diingat bahawa dalam membina generasi muda yang berakhlak dalam konteks hari ini, para ibubapa dan pendidik terpaksa berlawan dengan berbagai-bagai halangan dan pengaruh luar yang negatif. Oleh itu, bimbingan dan pengawasan daripada ibubapa hendaklah sentiasa diberi perhatian agar anak-anak tidak terleka dan hanyut dengan pengaruh-pengaruh buruk yang terdapat dalam masyarakat hari ini. Mereka perlu mendapat kefahaman bahawa tidak semua nilai yang terdapat di dalam masyarakat boleh diterima. Anak-anak mesti diajar bagaimana membezakan nilai baik dan nilai buruk, bersedia menerima kebaikan dan berupaya menolak keburukan.

b. Faktor Remaja

Golongan remaja yang telah terjebak dalam kancah gejala mungkar ini sudah tentu semakin menjauhi masjid yang merupakan simbol keharmonian penghayatan Islam bagi seseorang Muslim. Peralihan secara drastik tentu menghadapi kesukaran dan memerlukan masa yang agak selesa. Masyarakat juga perlu prihatin dan mempunyai fikrah terbuka dalam menjinakkan golongan pemuda yang tersasul seperti ini ketika mereka mula mendekati masjid. Sebarang prasangka hendaklah dielakkan kerana masjid sewajarnya terbuka kepada siapa sahaja yang ingin bernaung di bawah bumbungnya.

Realiti dan suasana yang ada di sekeliling masyarakat, sukar untuk menarik remaja datang berjemaah ke masjid. Suasana masyarakat yang mementingkan diri masing-masing dan tidak ada perasaan ukhwah Islamiah, menyebabkan golongan remaja menjauhkan diri dari masyarakat, apatah lagi untuk datang ke masjid.

Memandangkan rancangan di TV, kebetulan di antara waktu Magrib hingga waktu Isya’, menyebabkan anak-anak lebih suka memerap di hadapan TV tanpa berminat untuk melakukan kerja-kerja lain yang lebih berfaedah. Untuk mengatasi masalah tersebut ibubapa sewajarnya mengawal dan menyediakan jadual yang khusus untuk anak-anak mereka. Begitu juga ibubapa seharusnya melatih membawa anak-anak bersama  ke masjid dalam waktu-waktu tersebut. Dengan ini secara tidak langsung dapat         menghalang anak-anak daripada duduk menghabiskan masa di depan TV.

Bagi pihak lain pula, pelbagai kegiatan sukan  di padang  hingga waktu Maghrib menyebabkan tidak ada peluang untuk mereka ke masjid bagi sama-sama menunaikan sembahyang berjemaah. Sepatutnya sebarang kegiatan  sukan perlu dihadkan waktunya, supaya tidak menjejaskan aktiviti-aktiviti lain.

Tabiat suka mengajak anak isteri  dan kawan-kawan sebaya mengunjungi supermarket di waktu menjelang senja hendaklah dielakkan kerana perbuatan seperti ini akan  menyebabkan peluang untuk ke masjid terlepas begitu sahaja.

Antara faktor lain  yang menghalang remaja ke masjid ialah tiadanya kawalan terhadap  mereka untuk mengunjungi pasar-pasar malam menjelang Maghrib. Ketika bilal sedang melaungkan azan mengajak orang ramai menunaikan sembahyang, waktu itulah  para penjual pasar malam sibuk melayan dan melaungkan suaranya menarik minat pengunjung dan pelanggan. Malahan pelanggan pula riuh rendah tawar menawar dengan penjual, tanpa menghiraukan alunan azan yang berkumandang di udara, menandakan masuk waktu Mahgrib. Bagi ibubapa yang  prihatin mereka  sepatutnya memikirkan waktu  yang sesuai untuk  membenarkan anak-anak mengunjungi pasar-pasar malam. Begitu juga golongan peniaga hendaklah mempunyai kesedaran untuk menghormati waktu sembahyang umpamanya dengan menutup  gerai semasa azan Maghrib atau Isya’ atau sekurang-kurangnya mereka tidak melayan  pembeli pada masa-masa tersebut.

Salah anggapan terhadap fungsi masjid hanya untuk ibadat khusus sahaja seperti sembahyang, berwirid dan sebagainya adalah antara punca remaja tidak datang ke masjid. Di samping itu, pihak masjid sendiri juga tidak mempelbagaikan kegiatan  yang sepatutnya diadakan untuk menarik minat golongan remaja datang ke masjid. Tidak ada ruangan yang sesuai bagi tempat menjalankan pelbagai aktiviti seperti perpustakaan, kelab komputer, permainan sukan (sepak takraw, badminton dan sebagainya) dan lain-lain lagi. Sikap ahli Jawatankuasa Masjid sendiri yang memandang serong dan kurang bergaul rapat dengan golongan remaja, menyebabkan mereka semakin jauh dengan masjid. Ahli Jawatankuasa Masjid asyik bersama dengan golongan seangkatan dengan mereka sahaja, seolah-olah masjid itu untuk golongan mereka sahaja.

Program-program yang boleh membantu masyarakat setempat mengejar pembangunan dan kemajuan yang berlaku di sekeliling mereka didapati kurang diberi perhatian oleh pihak masjid. Kalau adapun hanya terbatas kepada bidang pengurusan mayat (tanpa yang berkait dengan pengurusan sebelum seseorang menjadi mayat). Seharusnya diadakan program seperti kursus-kursus di bidang pertanian, perniagaan dan kemahiran, juga kelas-kelas tuisyen untuk membantu anak-anak dalam bidang pelajaran. Jika kursus-kursus dan kelas-kelas tuisyen seperti itu turut diadakan oleh pihak pengurusan masjid, maka penerimaan masyarakat terhadap masjid lebih terbuka dan lebih jelas lagi.

Terdapat juga di kalangan pihak pengurusan masjid dan ahli keluarga mereka yang mempunyai akhlak yang tidak membayangkan pihak yang menjaga masjid dan tidak disenangi oleh masyarakat. Selalunya akhlak isteri, anak-anak dan cucu mereka menjadi perbandingan di kalangan orang ramai. Masyarakat tentulah sukar menerima panduan dan nasihat yang baik daripada imam-imam atau pengerusi masjid sekiranya masyarakat mengetahui keluarga kepada imam-imam atau pengerusi masjid ini juga tidak mematuhi nasihat dan tegurannya sendiri.

Ada juga ibubapa sendiri yang kurang menggalakkan dan mengajak anak-anak ke masjid, malah ada yang tidak berminat ke masjid untuk menunaikan sembahyang berjemaah. Pemimpin masyarakat dan orang yang berpengaruh boleh memainkan peranan penting dalam perkara ini. Mereka perlu memberi contoh    yang baik dengan melibatkan diri dalam aktiviti masjid, supaya menjadi ikutan dan teladan kepada orang ramai.

KAEDAH DAN PROGRAM UNTUK MENARIK REMAJA
KE MASJID

Sesungguhnya usaha-usaha untuk menambat hati para remaja bagi menjinakkan mereka ke arah budaya masjid, memerlukan kerahan  serta pengembelingan tenaga daripada semua pihak. Sikap mereka-reka pelbagai tohmahan ke atas remaja wajar dikikis daripada kita. Kita wajar mengambil sikap mendekatkan diri dengan tutur kata  yang lemah lembut dan berhikmah.

Sebagai golongan tua atau penjaga kepada mereka, kita wajar mempamerkan sifat-sifat yang terpuji di hadapan anak-anak sebagai tunas-tunas awal yang akan berkembang seterusnya turut mempengaruhi mereka. Peranan ibubapa, masyarakat, pihak berkuasa khususnya ahli-ahli Jawatankuasa Masjid amat besar dalam menentukan hala tuju dan menjinakkan jiwa remaja ke arah masjid. Bermacam kaedah dan program boleh dirancang untuk mencapai hasrat murni tersebut.

Ekspedisi

Dengan menaiki kereta, bas atau keretapi, pihak ahli Jawatankuasa Masjid mengaturkan program untuk para remaja umpamanya dari Masjid Seremban ke Masjid Kangar. Sekiranya berkereta atau menaiki bas boleh diatur maka pelbagai acara dapat diadakan apabila singgah di satu-satu masjid yang telah ditentukan seperti sembahyang berjemaah, mencantik kawasan masjid dan majlis-majlis ilmu.

Pertandingan Pidato

Jiwa orang-orang muda terarah kepada perlumbaan atau bersaing antara rakan-rakan, oleh itu pelbagai acara berbentuk pertandingan boleh dianjurkan oleh pihak masjid seperti berpidato, berbahas, melukis, mengarang dan lain-lain lagi. Kita amat yakin, khususnya bagi masjid kariah, program-program yang berbentuk pertandingan lebih berkesan dari segi hubungan kekeluargaan serta  kekampungan. Ini kerana saiz penduduk yang kecil di mana setiap orang boleh mengenali antara satu dengan yang lain dengan lebih rapat.

Tadika

Kanak-kanak yang masih kecil amat mudah dihala tuju dan lentur mengikut kehendak ibubapa. Di dalam hal ini, mengadakan kelas-kelas Taski, Taska atau apa sahaja nama program untuk anak-anak kita yang diadakan di kawasan masjid sungguh bermanfaat dalam usaha menjinakkan para remaja ke masjid.

Asrama

Orang-orang musafir atau orang yang pertama kali sampai ke suatu tempat sering menghadapi masalah mencari tempat tinggal yang murah, selesa dan mempunyai segala kemudahan. Di dalam hubungan ini, membina hostel atau asrama-asrama di kawasan masjid boleh mengisi kehendak-kehendak para musafir khususnya para remaja.
Sekaligus boleh mengawal untuk mengurangkan krisis-krisis moral yang tidak kunjung padam. Usaha ini lebih jelas lagi jika para pekerja kilang atau sesiapa sahaja yang masih bujang tinggal di hostel atau asrama yang dimaksudkan di atas.

Bank, Klinik Dan Perpustakaan Awam

Tumpuan pemerhatian para remaja khasnya dan masyarakat amnya apabila melangkah keluar daripada rumah ialah menuju ke tempat-tempat yang biasa di hati mereka umpamanya bank, klinik dan perpustakaan awam. Mewujudkan pusat-pusat tumpuan sedemikian di kawasan masjid, sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, adalah langkah-langkah yang akan menjinakkan hati mereka ke masjid.

Pusat Riadah

Mengadakan gimnasium, gelanggang sepaktakraw, badminton, tenis, pingpong, menunggang kuda dan apa sahaja untuk menarik kehadiran para remaja ke masjid. Bagi menjayakan hasrat ini maka masjid mesti didirikan di dalam persekitaran yang luas.

Hari Masjid

Tidak keterlaluan jika kita mengadakan suatu hari dalam setahun yang dinamakan Hari Masjid. Semua masyarakat yang berhampiran datang ke masjid dengan menyertai pelbagai acara yang meliputi untuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa mulai pagi hingga ke malam.

PENUTUP

Sesungguhnya banyak lagi kaedah dan program boleh dilaksanakan oleh ahli Jawatankuasa Masjid untuk menyuburkan jiwa remaja ke arah budaya masjid. Di dalam pada itu, para imam, bilal, siak serta seluruh ahli Jawatankuasa Masjid wajar mempertingkatkan ilmu, bukan ilmu agama sahaja malah ilmu pengurusan, kewangan dan pentadbiran. Mereka juga perlu mencari masa untuk berdampingan bergaul dengan para remaja dari masa ke semasa.

Pihak berkuasa hendaklah sediakan peluang-peluang latihan untuk mempertingkatkan kemahiran dan ilmu para Ahli Jawatankuasa Masjid. Tidak ketinggalan ahli masyarakat terus memberi kerjasama dan menghargai usaha-usaha murni yang dilakukan oleh  pihak masjid. Para ibubapa pula janganlah putus asa mendorong anak-anak menyokong kaedah-kaedah atau program-program yang telah, sedang dan akan dijalankan oleh pihak masjid.

Kesemua hal yang telah diterangkan adalah untuk membina usaha ke arah membentuk para remaja tertarik jiwa raga memakmurkan masjid. Juga memasjidkan kehidupan remaja keseluruhannya agar terbina sebuah masyarakat dan negara yang kukuh dan padu. Apa yang penting, semua program-program yang dirancang mesti melibatkan para remaja secara langsung.

ETIKA DI MASJID

Berdo`a di saat pergi ke masjid. Berdasarkan hadits Ibnu Abbas Radhiallaahu anhu beliau menyebutkan: Adalah Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Sallam apabila ia keluar (rumah) pergi shalat (di masjid) berdo`a :

“Ya Allah, jadikanlah cahaya di dalam hatiku, dan cahaya pada lisanku, dan jadikanlah cahaya pada pendengaranku dan cahaya pada penglihatanku, dan jadikanlah cahaya dari belakangku, dan cahaya dari depanku, dan jadikanlah cahaya dari atasku dan cahaya dari bawahku. Ya Allah, anugerahilah aku cahaya”. (Muttafaq’alaih).

Berjalan menuju masjid untuk shalat dengan tenang dan khidmat. Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Sallam telah bersabda: “Apabila shalat telah diiqamatkan, maka janganlah kamu datang menujunya dengan berlari, tetapi datanglah kepadanya dengan berjalan dan memperhatikan ketenangan. Maka apa (bagian shalat) yang kamu dapati ikutilah dan yang tertinggal sempurnakanlah. (Muttafaq’alaih).

Berdo`a disaat masuk dan keluar masjid. Disunatkan bagi orang yang masuk masjid mendahulukan kaki kanan, kemudian bershalawat kepada Nabi Shallallaahu alaihi wa Sallam lalu mengucapkan:

“(Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmat-Mu)”

Dan bila keluar mendahulukan kaki kiri, lalu bershalawat kepada Nabi Shallallaahu alaihi wa Sallam kemudian membaca do`a:

“(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon bagian dari karunia-Mu)”. (HR. Muslim).

Disunnatkan melakukan shalat sunnah tahiyatul masjid bila telah masuk masjid. Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Sallam bersabda: “Apabila seorang di antara kamu masuk masjid hendaklah shalat dua raka`at sebelum duduk”. (Muttafaq alaih).

Dilarang berjual-beli dan mengumumkan barang hilang di dalam masjid. Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Sallam bersabda: “Apabila kamu melihat orang yang menjual atau membeli sesuatu di dalam masjid, maka doakanlah “Semoga Allah tidak memberi keuntungan bagimu”. Dan apabila kamu melihat orang yang mengumumkan barang hilang, maka do`akanlah “Semoga Allah tidak mengembalikan barangmu yang hilang”. (HR. At-Turmudzi dan dishahihkan oleh Al-Albani).

Dilarang masuk ke masjid bagi orang makan bawang putih, bawang merah atau orang yang badannya berbau tidak sedap. Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Sallam bersabda: “Barangsiapa yang memakan bawang putih, bawang merah atau bawang daun, maka jangan sekali-kali mendekat ke masjid kami ini, karena malaikat merasa terganggu dari apa yang dengan-nya manusia terganggu”. (HR. Muslim). Dan termasuk juga rokok dan bau lain yang tidak sedap yang keluar dari badan atau pakaian.

Dilarang keluar dari masjid sesudah adzan. Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Sallam bersabda: “Apabila tukang adzan telah adzan, maka jangan ada seorangpun yang keluar sebelum shalat”. (HR. Al-Baihaqi dan dishahihkan oleh Al-Albani).

Tidak lewat di depan orang yang sedang shalat, dan disunnatkan bagi orang yang sholat menaroh batas di depannya. Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Sallam bersabda: “Kalau sekiranya orang yang lewat di depan orang yang sedang sholat itu mengetahui dosa perbuatannya, niscaya ia berdiri dari jarak empat puluh itu lebih baik baginya daripada lewat di depannya”. (Muttafaq alaih).

Tidak menjadikan masjid sebagai jalan. Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Sallam bersabda: “Janganlah kamu menjadikan masjid sebagai jalan, kecuali (sebagai tempat) untuk berzikir dan shalat”. (HR. Ath-Thabrani, dinilai hasan oleh Al-Albani).

Tidak menyaringkan suara di dalam masjid dan tidak mengganggu orang-orang yang sedang shalat. Termasuk perbuatan mengganggu orang shalat adalah membiarkan Handphone anda dalam keadaan aktif di saat shalat.

Hendaknya wanita tidak memakai farfum atau berhias bila akan pergi ke masjid. Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Sallam bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu (kaum wanita) ingin shalat di masjid, maka janganlah menyentuh farfum”. (HR. Muslim).

Orang yang junub, wanita haid atau nifas tidak boleh masuk masjid. Allah berfirman: “(Dan jangan pula menghampiri masjid), sedang kamu dalam keadaan junub, kecuali sekedar berlalu saja, hingga kamu mandi”. (an-Nisa: 43).

`Aisyah Radhiallaahu anha meriwayatkan bahwa Rasulullah Shallallaahu alaihi wa Sallam telah bersabda kepadanya: “Ambilkan buat saya kain alas dari masjid”. Aisyah menjawab: Sesungguhnya aku haid? Nabi bersabda: “Sesungguhnya haidmu bukan di tanganmu”. (HR. Muslim).

Masjid Tempat Terbaik Didik Anak

ANAK adalah anugerah yang amat berharga daripada Allah kepada ibu bapa. Mereka adalah faktor termeterainya hubungan kasih mesra yang lebih intim di antara ibu dan bapa. Sebab itu Allah menjelaskan di dalam banyak ayat menerusi al-Quran yang menggambarkan kegembiraan ibu bapa apabila menimang cahaya mata.

Tanggungjawab pasangan selepas dikurniakan anak ialah memastikan mereka mendapat ‘pentarbiyahan’ dan pendidikan serta kasih sayang yang secukupnya. Mereka perlu memastikan anak dibesarkan melalui teknik pendidikan cara Islam yang sempurna supaya dia tidak menjadi ‘fitnah’ kepada ibu bapa seperti dalam firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya hartamu dan anakmu hanyalah cubaan (bagimu) dan di sisi Allah pahala yang besar” (Surah At Taghaabun – Ayat 15).

Sikap tidak mengambil berat terhadap usaha ‘mentarbiyah’ anak akan menyebabkan ibu bapa turut mendapat saham di atas segala tindak-tanduk anak mereka. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya ialah malaikat yang kasar, keras yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan” (Surah At Tahrim – Ayat-6). Kewajipan menjaga anak adalah jelas dan ibu bapa yang tidak menjelaskan hukum halal haram kepada anak akan dihukum oleh Allah.

Ada banyak hadis dan atsar daripada Nabi Muhammad SAW dan sahabat serta ahli tabi’in yang menjelaskan teknik mendidik anak. Antaranya, sabda Rasullulah: “Didiklah anak kamu bersolat bila mereka berumur tujuh tahun dan rotanlah mereka jika tidak bersolat bila sudah berumur 10 tahun.” (Hadis >riwayat Ahmad, Abu Daud dll, sanadnya Hasan seperti dalam Misykatul Mosabih).

Prof Dr Muhamad Uqlah di dalam bukunya ‘Pendidikan anak dalam Islam’ menjelaskan bahawa masjid adalah sebaik-baik tempat untuk mendidik anak. Menurut ulama, anak yang diajar pergi ke masjid dibesarkan dengan rasa cinta kepada masjid. Semoga mereka tergolong daripada kalangan insan yang diletakkan di bawah naungan Allah bersama enam jenis manusia seperti yang disebut di dalam satu hadis sahih. Ibu bapa soleh berharap anak mereka mendekati masjid supaya mereka cintakan ibadat solat dan saudara Islam serta sentiasa berada di rumah Allah.

Ada beberapa hadis khusus yang menyebut mengenai kanak-kanak dan masjid sebagai satu ajaran yang berkehendakkan kesejahteraan dan kebaikan umatnya dari dunia hingga akhirat. Beberapa hadis menghuraikan garis panduan dalam perkara ini, termasuk:

1) Hadis riwayat Ahmad, Hakim dan Nasa’ei: Nabi Muhammad tidak bangkit daripada sujudnya ketika mengimamkan solat di masjid apabila baginda ditunggang oleh cucunya. Sahabat menyangka bahawa baginda telah wafat ketika melakukan sujud itu;

2) Hadis riwayat Ahmad dengan sanad yang sahih: Rasullullah bersabda apabila ditanya mengapa baginda mempercepatkan solatnya? Baginda menjawab, “Aku terdengar tangisan seorang bayi. Aku rasa ibunya sedang bersolat dengan kita. Jadi aku mempercepatkan solat itu supaya ibunya dapat memenuhi keperluan anak itu”, dan;

3) Hadis riwayat oleh Bukhari dan Muslim: Nabi Muhammad mendukung dan meletakkan cucu baginda yang bernama Umamah Abi Al-Ash di dalam solat berjemaah bersama sahabat. Mengenai satu hadis yang bermaksud: “Jauhilah anak kamu dan orang gila dari masjid”, ulama hadis seperti Ibnul Jauzi, Al Munziri, Al Busairi, AlHaitami dan Al Hafiz Ibnu Hajjar Al Asqalani bersepakat mengatakan bahawa hadis berkenaan adalah hadis dhaif yang tidak boleh dijadikan hujah. Manakala Abdul Haq Al Isybili mengatakan hadis berkenaan ‘moudhu’.

Perkara ini dibincangkan dengan panjang lebar oleh As Shaukani di dalam >’Al Moqosid Al Hasanah’. Nasirudin Al Albani menjelaskan di dalam bukunya bertajuk ‘Sifat Solatin Nabi dan Al Ajwibah An Nafiah’ iaitu menjauhkan anak dari masjid dengan alasan menjaga kesuciannya adalah bidaah. Ini bertentangan dengan sunah Nabi yang mana baginda amat mengasihi dan menyayangi anak malahan kita mengetahui bagaimana baginda bermain atau bermesra dengan mereka ketika di masjid dalam hadis lain.

Dari sini jelas kepada kita bahawa larangan membawa anak ke masjid adalah pendapat yang lemah, malah sesuatu yang bathil dan bertentangan dengan ‘Hikmah Tasyri’ yang inginkan kita supaya melatih anak pergi ke masjid untuk bersolat dan mendapat ilmu daripada penceramah selain daripada memperoleh kawan yang baik.

Harus bagi kanak-kanak untuk berada di dalam saf, tidak kira di saf pertama, kedua atau sebagainya. Tidak menjadi satu kesalahan seandainya kita meletakkan mereka dengan golongan dewasa sekalipun mereka belum berkhatan. Perkara ini adalah pendapat yang mu’tabar dalam Mazhab Syafi’iyah seperti yang dijelaskan oleh Prof Dr Wabbah Az Zuhaili di dalam Al Fiqh Al Islami Wa Adillatuhu (jilid 1 halaman 576). Menurutnya, najis yang ada pada kemaluan kanak-kanak di dalam keadaan tidak berkhatan adalah najis yang tidak kelihatan yang berlainan daripada tahi, darah dan najis lain yang kelihatan.

Sebagai dalil, Nabi Muhamad telah meletakkan Abdullah Abbas di sebelahnya di dalam solat berjemaah dan baginda tidak pernah menempelak, menghalau dan menengking anak yang sudah sedia berada di dalam saf, seperti yang kerap berlaku di sesetengah masjid di negara ini. Lebih menyedihkan lagi ialah sesetengah jemaah (orang dewasa) mencadangkan supaya kanak-kanak ditempatkan di dalam satu saf berlainan. Apa yang pasti ialah Rasulullah sendiri menggalakkan anak mereka berada bersama ibu bapa atau penjaga supaya mereka tidak mengganggu solat.

Perkara itu disebutkan dengan jelas oleh Ulama’ Hadis seperti Al Manawi di dalam Faidhil Qadir dan Az Zailaghi di dalam Nasbur Rayah (jilid 2 >halaman 491). Justeru, pendapat yang mengatakan solat menjadi batal jika disebabkan kehadiran anak yang belum berkhatan di dalam saf adalah pendapat yang keterlaluan malah bathil (La Asla Lahu) seperti yang diperjelaskan oleh ulama hadis dan ramai ulama fiqh daripada kalangan Fugaha terkenal. Pendapat yang mengatakan solat batal disebabkan oleh perkara itu seperti yang dikatakan oleh ulama daripada kalangan Hanafiyah dalam “raddul muhtar” tertolak kerana bertentangan dengan hadis sahih.

Kita perlu mencerna satu kefahaman yang lebih jelas dalam konteks pengertian berdasarkan al-Quran dan hadis. Jangan kita berterusan mengikut hawa nafsu dan keangkuhan dalam mempertahankan pendapat yang kita ikuti selama ini. Sudah sampai masanya kita menerima pendapat berdasarkan dalil. Dalam ‘Ilmu Tasyri’ iaitu Al Imam As Syafie pernah menyebut “Kalau sahih hadis itu maka itulah mazhabku. Kalau ada pendapatku yang bertentangan dengan al-Quran dan As Sunnah yang sahih, buanglah pendapatku itu. Mungkin ada yang tidak kuketahui”.

Sifat rendah diri yang pada seorang ilmuan agung seperti Al Imam As Syafie yang sanggup menerima kenyataan dan mengakui kesilapan yang dilakukannya wajar dicontohi. Renungi firman Allah bermaksud: “Katakanlah Apakah di antara sekutumu ada yang menunjukkan kebenaran? Katakanlah: Allah yang menunjukkan kebenaran.” Maka, apakah orang yang menunjukkan kebenaran lebih berhak diikuti atau orang yang tidak dapat memberi petunjuk kecuali (bila) diberi petunjuk? Mengapa kamu (berbuat >demikian?) Bagaimanakah kamu mengambil keputusan” (Surah Yunus – Ayat >35).

Masalah umat Islam hari ini ialah kegagalan mereka menuruti Islam walaupun sudah diberi penjelasan dan penerangan mengenainya secara jelas. Ketidakprihatinan terhadap segala perkara kebenaran lantaran tidak mahu hilang kedudukan adalah satu sikap buruk yang harus dikikis. Pendapat seorang yang bertaraf guru agama, ulama atau seorang imam boleh diterima pakai tetapi untuk menerima pakai secara menyeluruh sehingga membelakangkan hadis atau menganggap bahawa pendapat mereka sama dengan hadis, maka ia amat bertentangan dengan garis panduan yang sudah dibuat oleh ulama usul.

Selepas faham mengenai tuntutan melatih anak ke arah kebaikan yang mana antaranya membawa mereka ke masjid, kita perlu mengambil berat soal berikut, iaitu:

1) Didik anak menghormati masjid sebagai tempat beribadat. Tidak boleh bising, membawa najis dan kekotoran;

2) Letakkan mereka di dalam saf (berselang-seli) bersama orang dewasa supaya kita dapat mengawasi mereka daripada menimbulkan masalah;

3) Menegur anak dengan baik dan jujur jika mereka melakukan kesilapan. Kejadian seorang Arab Badwi kencing di dalam masjid yang mana Rasulullah tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya menunjukkan betapa baginda tidak melakukan sesuatu perkara mengikut nafsu. Apa yang lebih penting dan patut dijadikan ikhtibar di dalam perkara ini ialah Rasulullah tidak bertindak secara terburu-buru, malah menggunakan diplomasi menangani masaalah itu;

4) Bina keyakinan diri anak dengan melatih mereka supaya bersama orang dewasa di dalam saf. Ini dapat menarik minat mereka untuk bersama-sama ketika membuat pelbagai kegiatan di masjid;

5) Sediakan infrastruktur yang bersesuaian dengan saiz mereka seperti tempat berwuduk yang selesa;

6) Sediakan perpustakaan supaya ia dapat menarik minat mereka membaca buku berkaitan dengan unsur Islam;

7) Adakan program seperti kem motivasi, qiamulail, sukan dan kegiatan berfaedah supaya dapat menarik minat mereka datang ke masjid.

8) Memberi mereka tugas ringan supaya mereka dapat melatih diri ke arah tanggungjawab dan komitmen seperti mengemas sejadah, membasuh pinggan mangkuk, menyapu sampah dan tugas lain yang ringan, bersesuaian dengan konsep yang ingin diterapkan.

Jika nilai murni dapat diterapkan ke dalam diri anak ketika mereka berada di masjid, secara tidak langsung mereka juga menjadi penyeri dan pengimarah rumah Allah. Pengisian nilai murni di kalangan anak ketika mereka berada di masjid adalah satu proses permulaan untuk mengekang keutuhan dan perpaduan ummah di negara ini.

Semoga kita meneruskan perjuangan untuk mengembalikan semula fungsi sebenar masjid bagi membina generasi masjid yang betul-betul berkualiti. Setakat ni jelah celoteh aku untuk kali ini, aku akan terus berceloteh sehinggalah aku dah tak mampu untuk berceloteh. Pe pun, semoga celoteh ini memberi kepadaku dan kita semua makna sebenar mengenai fungsi masjid. Disinilah tempat gemilangnya Islam didunia ini, sehinggalah mampu menguasai 1/3 dunia, betapa hebatnya Masjid pada umat Islam.

SALAM MASJID DARIKU

Alfaqir wal Haqir ILALLAH,

SHAMSUL ANUAR AHMAD

~ oleh ANUAR AHMAD di Mei 4, 2009.

2 Respons to “MASJID TEMPAT PERMAINANKU…”

  1. Assalamualaikum, saudara sekarang ini sedang buat P.H.D ke?saya bersyukur kepada Allah Taala dan bangga dengan saudara,kerana mempunyai suatu matlamat yang murni dan jelas untuk agama yang suci ini. serta kebolehan yang yang luar biasa yang dianugerahi oleh Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.marilah sama-sama kita berusaha untuk mencapai kemanisan dalam perjuangan iaitu Mardhotillah.
    Wallohua’lam.

  2. asalamualaikum syeikh, apa kabar ana jumpa dengan anta masa kursus pengurusan fatwa ari tu,kita minum sama-sama dengan us zul …mubarak alaik

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: