MAHASISWA IMPIAN ISLAM 18

10. Cabaran Adat dan Tradisi

 

Adat dan tradisi masyarakat diantara satu elemen yang menjadi cabaran untuk melahirkan mahasiswa yang diharap-harapkan oleh Islam. Didalam Islam, adat atau uruf memang diiktiraf jika tidak menyalahi syarak dan nas yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul. Didalam masyarakat melayu hari ini memang banyak adat dan tradisi yang menyalahi syariat Islam. telah menjadi tanggungjawab pada mahasiswa Islam untuk mengubah dan membaiki adat dan tradisi melayu yang menyalahi syarak ini dari berleluasa, dan kebijaksanaan didalam menyampaikan dakwah ini amat penting bagi mahasiswa dek kerana tradisi melayu ini telah menjadi darh daging didalam kehidupan masyarakat melayu.

 

Masyarakat telah mengiktiraf mahasiswa sebagai orang yang berpendidikan dan berpelajaran, pengiktirafan ini telah menjadi satu wasilah yang baik untuk mahasiswa menyebarkan dakwahnya kepada masyarakat, kerana masyarakat telah meletakkan 20% kepercayaan kepada mahasiswa dan 80% pula terletak diatas kebijaksanaan mahasiswa didalam menyebarkan dakwah kepada masyarakat. Mahasiswa perlu mengetahui latar belakang masyarakat yang berhadapan dengannya serta mampu menghayati kehidupan mereka. Gunakan bahasa yang sesuai bila berbicara dengan mereka dan jangan terlalu menunjuk pandai bila bersama dengan mereka.

 

Adat ialah peraturan yang lazim daguna pakai semenjak dahulukala hingga zaman berzaman, ia juga adalah satu sistem yang sudah menjadi kebiasaan, diamalkan oleh sesuatu masyarakat manusia: ia juga merupakan hokum hakam dan perlembagaan sebagai pegangan atau panduan hidup masyarakat itu. Pantang larang dan suruh arah yang tradisional juga dipanggil adat.[1]

 

DALAM kepesatan masyarakat menuju ke arah negara maju, masih wujud kekeliruan antara tuntutan agama dan adat yang menjadi pegangan kuat orang Melayu. Bahkan, ada pepatah mengatakan biar mati anak, jangan mati adat. Ini menggambarkan betapa dalam sesuatu situasi adat mendahului kepentingan lain dalam hidup.

Amat menjengkelkan apabila ada lapisan masyarakat menjadikan adat sebagai perkara wajib hingga tuntutan agama diabaikan. Perkara ini dapat dilihat terutama dalam majlis yang membabitkan perkahwinan, menyambut kelahiran cahaya mata dan kematian.

“Sebenarnya, masyarakat perlu faham bahawa Islam tidak pernah menolak adat selagi ia tidak bertentangan dengan syarak. Dalam hal ini, saya tidak menyalahkan masyarakat kerana wujudnya kekeliruan antara memahami adat dan tuntutan agama,” kata Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik), Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Rugayah Tibek.

Beliau memberi contoh majlis menyambut kelahiran cahaya mata baru dalam sesebuah keluarga. Dalam Islam, bayi yang baru lahir perlu diazan dan ditahmidkan. Kemudian, ibu bapa akan memilih nama yang baik dan seterusnya melakukan akikah. Semua ini penting sebagai tanda kesyukuran kerana mendapat anak.

Namun, yang agak dikesali adalah tindakan sesetengah masyarakat yang menyambut kelahiran anak dengan bermacam-macam perkara hingga menjadi khurafat seperti meletakkan pisau di bawah bantal, kononnya untuk mengelakkan daripada gangguan hantu dan syaitan.

“Sama juga dengan majlis mencukur kepala. Sepatutnya rambut dicukur dengan tujuan membersihkan kepala bayi tersebut tetapi kita hanya cukur sedikit sahaja. Rambut yang habis dicukur perlu ditimbang dengan nilai emas untuk disedekahkan kepada fakir miskin.

“Cuma Islam tidak memberatkan untuk timbangan emas kerana yang penting ialah membersihkan kepala bayi.” jelas Rugayah.

Disunatkan

Pada majlis perkahwinan pula, yang menjadi tuntutan agama ialah akad nikah dan kenduri kahwin. Perkahwinan yang dilangsungkan hendaklah diisytiharkan dengan mengadakan kenduri seperti sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud, Buatlah kenduri walau dengan seekor kambing. (Riwayat Bukhari)

Dalam Islam, meminang adalah disunatkan tetapi ia bukan satu adat. Agama turut menggalakkan pemberian hadiah, misalnya pemberian hantaran kepada keluarga pengantin, tetapi biarlah ia bersederhana untuk mengeratkan hubungan silaturahim. Kalau ia dilakukan secara berlebih-lebihan seperti mana pada hari ini, itu semua adalah adat semata-mata dan bukannya tuntutan agama.

Begitu juga dengan majlis perkahwinan yang terlalu meriah hingga mengundang kepada pembaziran. Perkara ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Di samping itu, ia turut diiringi dengan majlis persandingan di mana pengantin perempuan berhias secara berlebih-lebihan dan membuka aurat.

“Islam menggalakkan kenduri untuk menghebahkan perkahwinan kepada umum. Adalah lebih elok kalau pasangan melayan tetamu dengan dihiasi pakaian yang sedikit berbeza dan menunjukkan dirinya baru berkahwin. Tetapi dalam masyarakat kita terlalu banyak adat hingga matlamat sebenar tidak tercapai,” kata beliau.

Rugayah turut menyentuh mengenai adat menepung tawar pasangan pengantin semasa majlis persandingan. Dipercayai adat ini berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu dahulu kala yang hendak belayar. Ketika itu diadakan upacara menurunkan perahu atau kapal. Upacara dilakukan dengan perahu itu dipulihkan dengan jampi serapah dan mentera menggunakan tepung tawar dan sebagainya.

Membebankan

“Seperti yang saya nyatakan, masyarakat kita sebenarnya tidak jelas apakah adat yang mereka buat dan tujuannya. Dalam adat menepung tawar, kita perlu lihat pada tujuannya terlebih dahulu. Kalau berhasrat untuk menolak bala, maka Islam tidak membenarkan. Sekiranya ia dilakukan dengan tujuan untuk meraikan pengantin, ini tidak bertentangan dengan syarak,” tambahnya.

Selain itu, beberapa adat yang wujud di sesetengah negeri seperti adat mandi bagi pasangan pengantin juga tidak manis dilakukan kerana ia menampakkan aurat antara lelaki dan perempuan.

Adat ‘tol’ seperti di Johor juga dilihat membebankan pihak lelaki yang sudah banyak mengeluarkan perbelanjaan. Bagaimanapun, adat ini tidaklah sampai ke peringkat haram kerana mereka melakukan sekadar untuk berseronok.

Antara adat yang bertentangan dengan syarak ialah lenggang perut. Adat melenggang perut kebanyakannya lebih difahami masyarakat Melayu di selatan Semenanjung manakala di utara Semenanjung, ia lebih dikenali dengan panggilan kirim perut.

Ia dilakukan ke atas wanita yang genap hamil tujuh bulan bertujuan meletakkan kedudukan bayi di tempat yang sepatutnya dalam perut ibu iaitu bahagian kepala di pintu rahim. Ini penting bagi memudahkan si ibu bersalin dan bayi tidak kelemasan di dalam perut.

Kelengkapan yang diperlukan ialah tujuh helai kain berlainan warna, segantang beras, sebiji kelapa, beberapa urat benang dan lilin, sebatang damar, sedikit minyak kelapa atau minyak urut, satu tepak sirih yang lengkap dengan isinya dan pengeras wang sebanyak RM1.25 di dalam tepak sirih.

Biasanya pada hari melenggang perut akan diadakan kenduri kecil-kecilan yang akan dihadiri oleh orang tua-tua dan kaum keluarga yang rapat. Pada masa kenduri itu berlangsung, si ibu yang akan melenggang perut akan dipakaikan dengan pakaian baru dan cantik.

“Adat ini wujud kerana azam kita agar bayi dapat dilahirkan dengan selamat. Hakikatnya, kita perlu memohon dan berdoa kepada Allah s.w.t. supaya dimudahkan bersalin dan bukannya melalui upacara tersebut.

“Oleh kerana adat ini diwarisi sejak turun-temurun, maka masyarakat hari ini masih lagi mengamalkannya,” ujar Rugayah yang berpendapat perlu ada usaha digerakkan bagi menjelaskan kekeliruan antara adat dan agama.

Masyarakat Melayu juga mempunyai kepercayaan tertentu apabila membabitkan soal kematian. Misalnya, mengadakan majlis tahlil dalam tempoh tertentu hingga membebankan keluarga si mati.

Apabila masyarakat semakin keliru dan tidak tahu membezakan antara adat dan agama, ia akan menyebabkan umat Islam keciciran tanggungjawab terhadap agama. Dalam kehidupan sesetengah individu, dari segi psikologi mereka sentiasa mengharapkan ada kuasa lain dalam diri mereka.

“Saya ingin tegaskan bahawa selagi adat tidak bertentangan dengan agama, maka Islam membenarkan. Jangan sampai ia memudaratkan seperti mana yang kita lihat pada hari ini iaitu perbelanjaan perkahwinan yang tinggi menyebabkan ramai pasangan muda menangguhkan perkahwinan mereka dan akhirnya berlaku maksiat,” tegas beliau.[2]

 

Diantara Adat dan Ibadat Dihari Raya

 

Umat Islam sekarang walaupun dalam era kebangkitan Islam lebih memberikan keutamaan kepada sambutan Aidil Fitri berbanding dengan ketibaan bulan Ramadhan yang mewajibkan ibadah puasa. Malah sebelum Ramadhan menjelang tiba, persiapan hari raya sudah terlebih dahulu diatur.

Walaupun dalam kegawatan ekonomi ketika ini, tiga atau empat bulan sebelumnya, persiapan pakaian untuk keluarga dan anak-anak sudah difikirkan dan sejumlah wang juga diperuntukkan untuk tujuan tersebut. Jika persiapan dibuat di saat akhir, berbagai kesulitan akan timbul dan harga pakaian sudah melambung.

Tabiat umat Islam ketika menghadapi hari raya ini sudah difahami oleh golongan peniaga. Maka tidak hairanlah kenapa promosi jualan dan iklan besar-besaran untuk perayaan Aidil Fitri diadakan lebih awal lagi iaitu sebelum menjelang Ramadhan. Mereka akan meraih keuntungan besar dan lumayan hasil dari sikap dan tabiat kaum muslimin yang ‘aneh’ dalam menghadapi hari raya saban tahun.

Kekeliruan terhadap Aidil Fitri di kalangan umat Islam menyebabkan hari ibadah sudah bertukar menjadi tradisi, hampir menyamai tradisi kaum lain yang menyambut hari raya mereka. Biasanya, penganut agama lain mengadakan pesta hari raya, bersukaria dengan berbagai acara hiburan dan pesta makan minum dan majlis tari menari.

Keadaan yang sama akan ditemui sewaktu majlis sambutan Aidil Fitri di kalangan umat Islam walaupun boleh juga dibanggakan kehadiran kaum muslimin untuk menunaikan solat Aidil Fitri raya itu. Mereka turut bertakbir dan mengumandangkannya di masjid-masjid dan surau-surau serata pelosok. Malah ada yang menitiskan air mata mendengar alunan takbir hari raya yang begitu menyayukan.

Malangnya air mata yang mengalir itu bukan lahir dari keinsafan. Ia hanya disebabkan alunan takbir yang sesekali didengar itu mempengaruhi perasaan dan mencuit emosi. Tidak dinafikan ada manusia ada yang perasaannya mudah tersentuh dengan kesedihan irama lagu, tetapi bersikap tidak peduli apa yang terkandung di dalam lafaz takbir itu seperti juga orang yang menghafal ‘Asma ul-Husna’ kerana didorong oleh lagunya yang amat menarik, sementara sifat-sifat Allah yang terkandung dalam lafaz itu tidak dihiraukan.

Tidak ramai yang berusaha menghayati lafaz-lafaz dalam takbir dan tahmid hari raya itu. Walaupun diulang-ulang setiap kali tibanya hari raya, namun tidak banyak yang mengambil tahu maksud dan pengertian lafaz yang diucapkan. Sedangkan antara maksudnya ialah:

“Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan yang menyengutukan Allah.

“Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa yang benar janji-Nya, yang memuliakan tentera-tenteraNya (tentera Muslimin) yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaan-Nya.”

“Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar Allah Yang Maha Besar dan untuk Allah-lah segala puji-pujian.”

Andainya mereka dapat menginsafi maksud ucapan takbir dan tahmid itu, tidak mungkin persiapan hari raya itu dilakukan begitu rupa, berbelanja besar untuk persiapan yang tidak perlu sehingga ke tahap membazir. Allah yang sedang dipuji sangat membenci perbuatan membazir.

Jika benar seperti pengakuannya bahawa dia menyembah Allah yang Esa dan yang Benar segala janji-janjiNya, mengapa pula mereka menjadi hamba kepada tuhan-tuhan ciptaan manusia? Mereka sebenarnya tidak bersedia membantu agama Allah untuk mendaulatkannya di muka bumi ini, walaupun lidah mereka mengaku untuk ikhlas terhadap agama Allah itu.

Jika benar mereka sedar akan laungan sanjungan terhadap Allah yang telah menghancurkan tentera Ahzab (tentera bersekutu kuffar) di zaman Rasulullah sehingga tentera Islam mencapai kejayaan, tetapi kini mengapa tentera bersekutu yang diketuai oleh golongan kuffar diundang dan diberi kepercayaan untuk menyelesaikan pertikaian umat Islam?

Jika demikian keadaannya, sesungguhnya ucapan takbir dan tahmid hari raya tidak lagi dihayati menurut sewajarnya, tetapi ia hanya sekadar senandung irama sayu di pagi raya, yang meruntun hati lantas terbit rasa pilu dan sedih semata-mata kerana suasana dan iramanya. Sedang maksud lafaz sebenarnya terus dilupakan.

Betapa Allah (SWT) menciptakan Aidil Fitri suatu ibadah dapat diukur dengan pengharaman puasa pada hari tersebut. Walaupun puasa itu adalah suatu ibadah, tetapi kerana agungnya Aidil Fitri itu maka Allah (SWT) melarang ibadah puasa dilakukan pada hari tersebut. Ini sebagai anugerah terhadap hambaNya yang telah sanggup berlapar dan dahaga juga menahan kemahuan seksnya di siang hari puasa sepanjang bulan Ramadhan.

Bagaimanapun larangan berpuasa itu tidak boleh ditafsirkan sebagai isyarat untuk berpesta makanan, mengadakan segala macam jamuan dengan beranika juadah sehingga melampaui batas-batas kesederhanaan yang dituntut oleh Islam dalam semua keadaan.

Apabila meninjau budaya berhari raya di kalangan masyarakat Islam di kalangan masyarakat Islam di rantau Nusantara kebelakangan ini, ia memperlihatkan ibadah Aidil Fitri itu semakin tidak nyata. Ia sudah bercampur-baur dengan segala resam hidup masyarakat setempat dan juga budaya import.

 

Jenis-jenis Adat

 

  •  
    1. Adat nan Kawi ialah adat yang kukuh, yang kuat dianaut sebagai pegangan hidup, adat yang terpusaka zaman berzaman iaitu adat yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan, adapt yang dipindah-pindah tak layu, dicabut tak mati. Adat nan kawi ialah adat yang sebenar-benar adat, adat yang bersendi pada syarak. Adat ini disebut: adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabbullah, syarak mengata adat memakai, apabila berdiri syarak, maka gugurlah adat.
    2. Adat yang teradat ialah amalan tradisi yang dihayati oleh nenek moyang, misalnya cara nak buat rumah, tanggungjawab terhadap keluarga, ibubapa dan anak2, yang mengenai patang larang. 
    3. Adat yang diadatkan ialah yang disusun dengan muafakat untuk kesejahteraan masyarakat dan menjadi cara/stail hidup seharian, termasuk peraturan negeri, adat orang berkeluarga, berjiran, bermasyarakat. Ia juga boleh berubah-ubah mengikut zaman dan keperluan masyarakat.
    4. Adat istiadat ialah adat yang berupacara, iaitu adat yang dilakukan dengan upacara, yang tersusun kedudukannya dan teratur dahulu kemudiannya, misalnya yang dilakukan bagi adat semenda (perkahwinan) dan lain-lain upacara peralihan.

 

Adat Perkahwinan

–          Bersading

–          Adat Beraksi (Guna bomoh)

–          Memberi Hadiah

–          Jamuan yang berlebihan (Berhutang)

–          Bunga telur

–          Berinai ( Berinai curi, berinai kecil n berinai besar)

–          Adat mandi-mandi

–          Adat melangkah bendul

–          Makan beradat

–          Adat menempah bidan

–          Lenggang perut

–          Adat bersalin

–          Adat membelah mulu bayi (tahnik)

–          Adat menamai bayi

–          Adat cukur rambut bayi

–          Adat turun tanah

–          Adat bertindik dan bersunat

 

Adat Kematian

–          menyusupi dibawah keranda si mati 7x untuk menghilangkan rindu pada si mati

–          basuh muka menggunakan air lebihan mandi mayat ( elak sawan/badi mayat)

–          mengambil tali yang mengikat kain kapan si mayat untuk disimpan

–          menabur bunga dan menjirus air di kuburan

 

Adat-adat lain

–          malam tujuh likur

–          mandi safar

–          dilarang makan tanpa pakai songkok ( mati bini )

–          dilarang duduk diatas batal

–          sembah busut, tunggul kayu, pohon besar n puja pantai

–          anak dara menyanyi didapur

–          dilarang lalu dibawah ampaian kain

–          pantang ambik nasi diatas dapur

–          pantang jahit baju pada hari jumaat [3]

 


[1] . Muhammad Ariff Ahmad,1993. Bicara Tentang Adat dan Tradisi. Singapura-Pustaka Nasional. M/k 1.

[2] . Zuraidah Zainon, Utusan Malaysia 25 Julai 2006.

[3] . Muhammad Ariff Ahmad,1993. Bicara Tentang Adat dan Tradisi. Singapura-Pustaka Nasional

~ oleh ANUAR AHMAD di Julai 10, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: