MAHASISWA IMPIAN ISLAM 23

7. HARGA DIRI

 

n  Menyedari kelemahan dan kekurangan diri sendiri disamping kelebihan serta keunikannya.

n  Tidak perlu menyembah dan memuja orang lain untuk mendapatkan sesuatu kerana ‘persamaan’ dan harga diriyang ada padanya menghalangnya daripada berbuat hina dan rendah diri seperti itu.

 

Kalau mengikut kajian psikologi Barat, kekuatan seseorang individu itu terletak pada harga dirinya (self-esteem): kalau tinggi harga dirinya, maka individu itu akan berasa yakin dengan dirinya, dan dengan itu dia akan dapat menjalani hidup secara positif. Tapi bila harga dirinya rendah, maka terbitlah “penyakit-penyakit” minda seperti mudah marah, mudah berasa rendah diri, mudah tersinggung, dan sebagainya.

 

Seorang Muslim yang mempunyai harga diri yang tinggi mampu mengawal dirinya dalam hampir segala hal. Ini bersesuaian dengan hadis Nabi s.a.w., bahawa kekuatan diri seseorang Muslim tidak diukur daripada kebolehannya menumbangkan musuh di medan perang, tapi sebaliknya samada dia mampu mengawal diri sewaktu marah.

 

Bagaimanapun, pendapat peribadi saya ialah masyarakat Melayu Muslim di negara ini secara amnya tidak menyokong perkembangan harga diri yang tinggi dari peringkat kanak-kanak. Lihat cara orang Melayu mendidik anak-anak, contohnya:

 

– Anak-anak Melayu tidak digalakkan mencuba sesuatu yang baru: kanak-kanak belajar melalui eksplorasi dan penemuan (exploration and discovery), tapi bila saja mereka nak buat sesuatu yang baru, ibubapa cepat naik marah;

 

– Anak-anak Melayu tidak diberi sokongan moral sewaktu berjaya: malah, kadang-kadang apa saja yang mereka lakukan seolah-olah tidak cukup untuk ibubapa mereka;

 

– Anak-anak Melayu tidak diasuh berdiri mengikut kadar sendiri: perangai ibubapa yang suka compare anak-anak mereka dengan kanak-kanak lain yang “lebih berjaya” sebenarnya sangat merosakkan harga diri anak-anak;

 

– Anak-anak Melayu dididik supaya “tahu tempat masing-masing”: mereka diasuh dari kecil supaya jangan suka menunjuk-nunjuk, sedangkan ada beza di antara perangai mengada-ada dengan keseronokan (excitement) mencuba atau berkongsi sesuatu yang baru mereka temui.

 

 

 

8. PERCAYA DIRI SENDIRI

 

n  Tidak pernah rasa rendah diri dengan orang lain, yakin setiap orang ada kelebihan dan kekurangan yang berbeza.

n  Menerima kelebihan dan kekurangan diri sendiri adalah dasar untuk menumbuhkan sikap percaya kepada diri sendiri

 

9. Keyakinan diri

Perkara yang kita perlu yakini ialah kita berupaya untuk berjihad. Kita perlu tanya diri kita sendiri: Siapakah kita  sebenarnya? Persoalan siapakah diri kita sebenarnya memberi kesan yang cukup besar dalam membentuk sikap dan peranan yang kita mainkan. Sekiranya kita merasai bahawa kita bukanlah orang penting dan tidak ada sumbangan penting yang dapat kita berikan, maka itulah kita. Kalau kita merasai kita tidak layak untuk mengajak orang lain kepada Islam, maka itulah kita. Sedangkan pada hakikatnya, disisi Allah, setiap diri mempunyai tanggungjawab yang sama sebagai khalifah Allah di muka bumi. Inilah yang menjadikan setiap diri sebagai orang penting. Kita penting sebab Allah telah memberikan amanah kepada setiap diri sebagai khalifah. Di akhirat nanti kita akan disoal, sejauh manakah kita telah laksanakan tugas penting ini. Apakah yang akan kita jawab di hadapan Allah nanti?

Oleh demikian, kita perlu membina keyakinan diri yang lebih besar terhadap diri kita sendiri. Setiap kita ialah murabbi, pemimpin, pendakwah, ahli sukan, ahli politik, ahli masyarakat, ahli perniagaan dan lain-lain. Kita adalah murabbi – sekurang-kurangnya kepada diri kita sendiri, isteri, anak-anak, kawan-kawan dan mereka yang dekat dengan kita. Begitu juga dengan sifat-sifat lain. Persoalannya ialah kita memang merasai tidak mampu sekarang ini. Kita tidak mampu untuk mendidik dan mendakwah. Apa lagi utnuk menjadi ahli politik dan ahli perniagaan kerana kita melihat apa yang kita ada pada masa ini, sedangkan Allah telah memberikan kita potensi yang dapat dibina untuk melahirkan apa sahaja sifat yang kita ingini. Allah tidak akan memberikan tanggungjawab sekiranya kita tidak mampu untuk melaksanakannya. Tanggungjawab kita ialah membina kemampuan dengan potensi dan persediaan jiwa yang besar yang telah Allah anugerahkan. Ini memerlukan masa yang panjang dan usaha yang berterusan. Inilah yang selalu kita lupa. Kita tidak menentukan sasaran dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

Ambil sahaja contoh yang mudah iaitu untuk menjadi ahli sukan. Bagi kita, menjadi seorang ahli sukan bukanlah menjadi pelari 100 meter yang mampu bersaing dengan Linford Cristie. Apa yang kita ingin ialah kesihatan dan kekuatan tubuh badan yang menjadikan kita cergas, mempunyai stamina yang banyak dan tahan lasak. Malangnya, kita mahu natijah ini berlaku dalam masa seminggu atau dua minggu sahaja. Kita lupa bahawa sedikit latihan tetapi yang berterusan, akan menghasilkan natijah yang besar. Biasanya, kita akan berlatih dengan semangat yang berkobar-kobar, berlari begitu jauh, tetapi hanya untuk seminggu dua. Selepas itu kita berhenti kerana tidak nampak hasilnya. Sepatutnya apa yang perlu kita lakukan ialah menanamkan kesedaran yang mendalam bahawa kita memerlukan kekuatan tubuh badan. Dengan kesedaran ini, kita mulakan latihan yang paling mudah seperti berlari 100 meter dengan cara yang paling perlahan. Tetapi setiap hari kita tambah jarak ini sehinggalah setahun, dua tahun dan seterusnya sehingga Allah memberikan kekuatan tubuh badan yang kita hajatkan.

Begitu juga dalam aspek lain seperti hafalan al-Quran, ibadat sunat, menambahkan ilmu umum, ilmu syara’ dan lain-lain lagi. Kita sering tertipu dengan semangat yang berkobar-kobar tetapi padam dalam tempoh yang singkat. Oleh itu marilah kita bayangkan bahawa kita menjadi manusia yang baru yang mempunyai kemampuan yang jauh lebih besar. Bukankah Rasulullah SAW merupakan seorang ahli ibadat, murrabbi, pendakwah, ilmuan, ahli perniagaan, panglima perang, ahli politik, ahli ekonomi, ahli kemasyarakatan yang prihatin terhadap orang tua dan miskin, juga suami yang penyayang, bapa yang dihormati dan dikasihi ahli keluarga. Apa yang perlu kita fahami ialah perubahan tahap yang lebih baik lahir daripada kesedaran yang mendalam dan usaha yang berterusan setiap hari walaupun kelihatan kecil. Marilah kita tanamkan tekad untuk membina diri kita untuk jangka masa lima, 10 atau 15 tahun akan datang. Insya Allah kita akan dianugerahi kehidupan yang lebih baik di sisi Allah. Dengan itu mudah-mudahan kita akan mempunyai keyakinan diri yang tinggi sebagai persiapan jihad.

10. Usaha yang berterusan

Bagaimanakah kita dapat mengekalkan tahap kesungguhan yang tinggi dalam usaha jihad yang kita laksanakan? Mengikut ahli psikologi, kecemerlangan kita bekerja dengan penuh kesungguhan bergantung pada fokus dalam fikiran kita dan cara  kita menggunakan tubuh badan. Fokus dalam pemikiran ini perlu kepada usaha yang berterusan. Umpamanya kita memberikan fokus terhadap pembinaan peribadi muslim yang beriman, berakhlak dan berjihad. Inilah yang kita fikirkan, bayangkan dan inginkan setiap hari. Kita perlu mencari jalan supaya perkara ini sentiasa diperingatkan kepada kita, bukan seminggu sekali atau sebulan sekali, tetapi setiap hari. Mungkin kita catatkan perkara ini dalam diari, poster atau dalam bentuk-bentuk lain. Apa yang lebih penting ialah kita diperingatkan setiap hari terhadap fokus tersebut. Jadi, fokus kita yang pertama ialah untuk menjadi muslim, mukmin yang berkualiti, sehingga berguna kepada maysarakat. Kemudian, fokus kita ialah membentuk sebuah masyarakat Islam yang berkualiti sehingga berguna kepada ummah Islam seluruhnya.

Selain fokus dalam pemikirannya, kita perlu mempunyai tubuh badan yang sihat, segar dan bertenaga. Cara kita menggunakan tubuh badan akan mempengaruhi jiwa kita. Umpamanya, jika kita duduk di atas kerusi dengan keadaan yang lemah, tidak bermaya, badan membongkok, bernafas dengan perlahan dan pendek, jiwa kita turut menjadi lemah dan kita tidak bersemangat untuk melakukan sesuatu. Sebaliknya, jika kita duduk dengan penuh bertenaga, dalam keadaan bersedia, badan tegak, menarik nafas dengan panjang sehingga penuh paru-paru kita, jiwa kita akan lebih bersemangat untuk menyiapkan tugas yang ada di hadapan kita. Ini bermakna kita perlu kepada tubuh badan yang benar-benar sihat, cergas dan bertenaga. Sekali lagi, kita mempunyai satu sasaran yang perlu kepada usaha yang berterusan dan mengambil masa yang panjang.

Dengan wawasan yang jelas dan keyakinan diri yang tinggi, mudah-mudahan kita dapat melaksanakan sunnah Rasulullah SAW yang terbesar iaitu jihad untuk merealisasikan Islam dalam kehidupan individu, keluarga dan masyarakat manusia hari ini.

11. Strategi

Satu perkara penting yang perlu kita sedari ialah meletakkan Islam dalam  suasana yang berubah. Pada hakikatnya, sistem Islam memang tidak berubah pada zaman mana sekalipun. Namun, proses untuk menegakkan sistem Islam memerlukan strategi dan operasi yang sesuai dengan tempat dan suasana yang ada. Sebagai contoh, Rasulullah SAW memulakan seruan umum dengan memanggil kaumnya dari puncak Bukit Safa. Puncak Bukit Safa merupakan tempat yang strategik di Makkah pada masa itu kerana puncak tersebut memang digunakan sebagai tempat untuk mengumumkan sebarang berita penting dan segera seperti kedatangan musuh. Ini adalah contoh bagaimana Rasulullah SAW menggunakan strategi yang ada dan sesuai pada masa itu untuk mengumpul dan menyampaikan ajarannya. Oleh demikian, kita juga perlu banyak mengkaji, mengumpul maklumat, berfikir dan bertindak dengan cara yang lebih baik dari semasa ke semasa. Hal ini penting kerana persoalan strategi adalah persoalan yang sentiasa berubah. Sekiranya kita tidak mahu berfikir dan hanya berpuas hati dengan apa yang ada sudah pasti jihad kita tidak akan berkesan dan tidak membantu kemenangan Islam.

Sebenarnya, langkah dalam jihad Rasulullah SAW dan sahabatnya adalah penuh dengan strategi dan teknik yang berkesan. Semua strategi, taktik dan teknik tersebut memerlukan tenaga serta pemikiran yang banyak dan berterusan. Dalam banyak peperangan, sahabat akan bertanya sama ada sesuatu keputusan Rasulullah SAW itu merupakan wahyu daripada Allah ataupun pendapatnya sendiri. Sekiranya bukan wahyu, maka sahabat akan berbincang untuk mencari jalan atau keputusan yang lebih baik. Sebagai contoh, Peperangan Khandak membuktikan Rasulullah SAW menerima pendapat yang kreatif daripada sahabatnya. Menggali parit yang dicadangkan oleh Salman daripada Parsi adalah suatu strategi peperangan yang baru dan asing bagi bangsa Arab. Namun demikian, pendapat yang baru ini  diterima dan ternyata dapat membantu kemenangan Islam di samping bantuan dan izin Allah.

Untuk menghasilkan strategi yang berkesan pun perlu kepada ilmu. Kita perlu tingkatkan taraf ilmu, strategi dan taraf pemikiran kita. Tidak mungkin kita dapat memikirkan strategi yang baik hanya dengan taraf ilmu dan pemikiran yang lama sahaja. Kita perlu menukar kaedah kita berfikir supaya lebih positif, kreatif dan mempunyai fokus yang jelas. Hasil pemikiran yang berkualiti hanya lahir daripada corak dan daya pemikiran yang berkualiti juga. Selain itu, usaha ini juga memerlukan banyak latihan. Ini bermakna lebih banyak kita berfikir dan membuat keputusan strategi, maka kita akan lebih matang dalam soal ini

~ oleh ANUAR AHMAD di Julai 10, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: