MAHASISWA IMPIAN ISLAM 4

2. Iman Yang yang Sempurna

 

 

Antara ciri-ciri orang mukmin itu: mudah diajak bergaul, lemah lembut tutur katanya dan halus budi bahasanya, menimbulkan keimanan kepada jiran tetangganya dan ketenteraman kepada masyarakat sekelilingnya.

 

Orang mukmin yang sejati ialah mukmin yang tidak menghiraukan kepenatan dirinya demi untuk kesenangan orang lain kerana seorang mukmin terhadap mukmin yang lain mempunyai pertalian persaudaraan; haram baginya menumpahkan darah saudaranya, marampas hartanya apatah lagi untuk menodai maruahny. Seorang mukmin juga sentiasa dihiasi dengan budi pekerti yang baik. Tiada berkhianat, tidak berbahasa yang kesat dan tidak lokek untuk memberi nasihat.

 

Orang mukmin itu diibaratkan seperti lebah; ianya tidak mencari makanan kecuali dari jenis yang baik, tidak keluar kecuali ke tempat yang baik dan di mana dia hinggap dia tidak merosakkan.

 

Orang mukmin mempunyai teraju yang dikendalikan oleh iman agar tidak mudah terbabas atau terpesong mengikut kemahuan hawa nafsu , dan tidak akan menyeleweng menurut keinginan syahwat. Imannya itulah yang akan menjadi penghalang dirinya daripada terjerumus ke dalam lembah maksiat yang mencelakakannya. Ini kerana segala tindakannya didasarkan kerana Allah, apa yang dibuatnya kerana Allah, apa yang ditinggalkannya kerana Allah, sayangnya kerana Allah dan marahnya kerana Allah. Cinta dan bencinya kepada sesuatu juga kerana Allah.

 

Orang mukmin itu kalau sekiranya kitab Qur’an yang menjadi pedomannya, taqwa menjadi rakannya, jujur menjadi menterinya dan sifat malu menjadi rajanya, pasti rahmat Allah akan menunggu di belakangnya.

 

Orang mukmin melihat dosanya seperti gunung diatas kepalanya, dia takut akan menghempap dirinya. Lantaran itu orang mukmin tidak akan menjadi pembohong, tidak akan menjadi pengumpat dan tidak akan mahu menjadi orang yang suka mencaci. Firman Allah di dalam surah al-Anfal:

 

Ertinya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah hati mereka penuh ketakutan, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya (keterangan Allah) nescaya bertambahlah keimanan mereka dan kepada Tuhan mereka berserah, mereka tetap mengerjakan sembahyang (pada waktunya) dan membelanjakan (pada perkara kebajikan) sebahagian daripada rezki yang Kami (Allah) kurniakan kepada mereka. Itulah orang-orang mukmin sejati, mereka itu mendapat (kehormatan) di sisi Tuhan mereka, dan mendapat keampunan serta rezki yang berharga.” 

 

Orang mukmin juga ialah orang yang rajin bekerja dan tekun berusaha untuk melepaskan dirinya daripada kesempitan hidup. Dia tidak rela menjadi beban orang lain, yang ditanggung makan minumnya tanpa ada sesuatu khidmat yang dilakukannya. Mereka juga ikhlas dalam amalannya dan usaha yang diamalkannya itulah bakal menjadi bekalan pada hari tuanya.

 

Orang mukmin itu ialah orang benar keimanan. Tidak sedikit pun keimanannya itu dinodai oleh keraguan atau syak wasangka.

 

Orang mukmin yang jujur, beristiqamah, laksana malaikat mekerbin di sisi Allah, dan orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai Allah daripada orang mukmin yang dhaif lagi lemah.

 

Hendaklah kita sekalian menjadi orang-orang yang kuat, iaitu kuat imannya, kuat dalam segi keperluan hidupnya, kuat dalam berusaha dan beramal, serta menjadi orang-orang yang kuat di dalam persatuan dan perpaduan, seterusnya hendaklah kita sekalian menjadi orang-orang yang kuat menegakkan agama, jangan ada perasaan rendah dan jangan ada perasaan susah, sesungguhnya kita lebih unggul sekiranya kita benar-benar beriman.[1]

 

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Hujurat ayat 15:

“Orang-orang yang sebenarnya beriman itu hanyalah mereka yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian itu tidak pernah ragu-ragu dan mereka berjuang pada jalan Allah dengan harta dan diri mereka, itulah orang-orang yang benar.”

 

 

99 Langkah Menuju Keimanan

 

  1. Bersyukur apabila mendapat nikmat
  2. Sabar apabila mendapat kesulitan/kesusahan
  3. Tawakal apabila mempunyai rencana/program
  4. Ikhlas dalam segala amal perbuatan
  5. Jangan membiarkan hati  dalam kesedihan
  6. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan
  7. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan
  8. Jangan irihati dengan kekayaan orang lain
  9. Jangan hasad dan iri atas kejayaan orang
  10. Jangan sombong kalau memperolehi kejayaan
  11. Jangan tamak kepada harta
  12. Jangan terlalu ego akan sesuatu kedudukan
  13. Jangan hancur kerana kezaliman
  14. Jangan goyah kerana fitnah
  15. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri
  16. Jangan campuri harta dengan harta yang haram
  17. Jangan sakiti ayah dan ibu
  18. Jangan usir orang yang meminta-minta
  19. Jangan sakiti anak yatim
  20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar
  21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil
  22. Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid)
  23. Lakukan solat dengan ikhlas dan khusyuk
  24. Lakukan solat fardhu di awal waktu, berjamaah di masjid
  25. Biasakan solat malam
  26. Perbanyak dzikir dan do’a kepada Allah
  27. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat
  28. Sayangi dan hormati fakir miskin
  29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah
  30. Jangan marah berlebih-lebihan
  31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan
  32. Bersatulah karena Allah dan berpisahlah kerana Allah
  33. Berlatihlah menumpukan (concentrate) fikiran
  34. Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf  apabila ada sesuatu sebab   tidak dapat dipenuhi
  35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan
  36. Jangan percaya ramalan manusia
  37. Jangan terlampau takut miskin
  38. Hormatilah setiap orang
  39. Jangan terlampau takut kepada manusia
  40. Jangan sombong, takabur dan degil
  41. Berlakulah adil dalam segala urusan
  42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah
  43. Bersihkan rumah dari patung-patung berhala
  44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran
  45. Eratkan hubuangan silaturrahim
  46. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam
  47. Berkata-kata pada perkara yang perlu
  48. Beristeri/bersuami kalau sudah siap segala-galanya
  49. Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu
  50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur
  51. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit batin
  52. Sediakan waktu untuk makan bersama keluarga
  53. Makanlah secukupnya tidak kekurangan dan tidak berlebihan
  54. Hormatilah guru dan ulama
  55. Sering-sering berselawat kepada nabi saw
  56. Cintai keluarga nabi saw
  57. Jangan terlalu banyak hutang
  58. Jangan terlampau mudah berjanji
  59. Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara
  60. Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat seperti (membebel) yang tidak berguna
  61. Bergaullah dengan orang-orang soleh
  62. Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar
  63. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu
  64. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita
  65. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan lagi
  66. Jangan membenci seseorang karena fahaman dan pendiriannya
  67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita
  68. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan pilihan
  69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapat kesulitan
  70. Jangan melukai hati orang lain
  71. Jangan membiasakan berkata dusta
  72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapatkan kerugian
  73. Jagalah amanah dengan penuh tanggung jawab
  74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan
  75. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita
  76. Jangan membuka aib orang lain
  77. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang yang lebih berprestasi dari kita
  78. Ambilah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana
  79. Sediakan waktu untuk merenung/muhasabah apa-apa yang sudah dilakukan
  80. Jangan sedih karena miskin dan jangan sombong karena kaya
  81. Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara
  82. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain
  83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara
  84. Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa
  85. Hargai prestasi dan pemberian orang
  86. Jangan habiskan waktu untuk sekadar hiburan dan kesenangan
  87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan
  88. Sediakan waktu untuk berolah-raga yang sesuai dengan norma-norma agama dan keadaan diri kita
  89. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan fizikal atau mental kita menjadi terganggu
  90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana
  91. Pandai-pandailah untuk melupakan kesalahan orang dan pandai-pandailah untuk melupakan jasa kita
  92. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata sesuatu yang dapat  menyebabkan orang lain terhina
  93. Jangan cepat percaya kepada kekurangan/keburukan teman kita sebelum dipastikan kebenarannya
  94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban
  95. Sambutlah huluran tangan setiap orang dengan penuh keakraban dan keramahan dan tidak berlebihan
  96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri
  97. Waspadalah akan setiap ujian, cobaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari kenyataan kehidupan
  98. Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan kerosakan                      
  99. Jangan berjaya di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan orang.

 


[1] . Majlis Ugama Islam Singapura, Khutbah Jumaat pada 26 Januari 2001 / 1 Zulkaedah 1421.

~ oleh ANUAR AHMAD di Julai 10, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: