MAHASISWA IMPIAN ISLAM 9

7. Memelihara dan Memperelokkan Segala Ibadat Kepada Allah.

Mahasiswa impian Islam ialah mahasiswa yang memelihara dan memperelokkan ibadatnya kepada Allah SWT. Ibadat kepada Allah bukan hanya melepaskan tanggungjawab sebagai seorang hamba kepada Rabbnya, namun ia lebih dari itu. Menjadi kewajipan kepada semua manusia untuk beribadat kepada Allah setiap masa. Dan disebabkan ibadatlah Allah menjadikan Jin dan Manusia dimuka bumi ini. Ibadat adalah matlamat utama sebagai seorang hamba dilahirkan dimuka bumi ini. Didalam Islam, ibadat terbahagi kepada 2 bahagian, ibadat khusus dan ibadat umum. Tak kiralah ibadat umum atau khusus, yang pastinya kita mesti memelihara dan membaikkan segala ibadat kita kepada Allah. [1]

 

Menurut Ibnu Taimiah: ibadat merangkumi segala yang disukai oleh Allah swt sama ada dengan perkataan atau perkataan atau perbuatan yang berbentuk lahiriah dan batiniah.[2]

 

Pengertian Ibadah

 

Berasal dari perkataan Arab yang membawa maksud merendah diri, tunduk, patuh, taat, menghina diri dan memperhambakan diri kepada yang lain.

 

Menurut istilah syarak: taat, patuh dan merendahkan diri sepenuhnya kepada Allah swt – mengikut peraturan dan suruhan Allah sebagaimana ditetapkan di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Kepatuhan ini hendaklah dilakukan secara berterusan setiap masa hingga ke akhir hayat. Ia merangkumi makna ketundukan dan kecintaan kepada Allah swt.

 

Asas-asas ibadah

 

1. Ketundukan – menurut, mengikut dan mendekatkan diri dengan segala perintah yang disyariatkan Allah. Ketundukan ini berasaskan kepada perasaan sedar terhadap keesaan Allah dan kekuasaanNya ai atas segala sesuatu dibandingkan dengan kedaifan dan kekerdilan diri sendiri.

 

2. Kecintaan – kepatuhan ini hendaklah juga lahir dari rasa cinta kepada Allah. Ia berdasarkan kesedaran manusia terhadap limpah kurnia Allah, nikmat-nikmat dan rahmatNya. Kesedaran ini juga lahir daripada rasa kagum terhadap kemuliaan dan kesempurnaan Allah.

 

“Katakanlah: Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”  Ali Imran : 31

 

“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah.” Al-Baqarah : 165

 

 

Ciri-ciri ibadah[3]

 

1. Perhubungan manusia dengan Tuhan adalah secara terus – tidak memerlukan perantaraan sebagaimana ajaran Kristian. Allah sahaja hukum, tempat mengadu dan meminta ampun.

 

2. Peribadatan tidak terkongkong di tempat-tempat tertentu.

 

3. Ruang ibadah di dalam Islam sangat luas – meliputi setiap aktiviti kehidupan manusia. Setiap apa yang dilakukan adalah ibadah sekiranya cukup syarat.

 

Syarat-syarat ibadah

 

1. Amalan yang dilakukan hendaklah diakui Islam dan bersesuaian dengan hukum syarak.

 

2. Amalan hendaklah dikerjakan dengan niat yang baik – bagi memelihara kehormatan diri, menyenangkan keluarga, memanfaatkan ummat dan mamakmurkan bumi Allah.

 

3. Amalan hendaklah dibuat dengan seeloknya.

 

“Bahawa Allah suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya.” Al-hadith.

 

4. Ketika melakukan kerja hendaklah sentiasa mengikut hukum-hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak khianat, tidak menipu dan tidak menindas atau merampas hak orang lain.

 

5. Dalam mengerjakan sesuatu ibadah, tidak lalai dari ibadah yang wajib.

 

 

Peranan ibadah yang khusus

 

Ibadah yang khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji adalah untuk mempersiapkan individu menghadapi ibadah yang umum yang mesti dilakukan di sepanjang kehidupan.

 

Solat mengingatkan kita lima kali sehari bahawa sesungguhnya kita adalah hamba Allah dan hanya kepadaNya tempat pengabdian kita untuk mengeratkan hubungan kita dengan Allah.

 

Puasa menimbulkan perasaan taqwa kepada Allah sehinggakan kita tidak membatalkannya walaupun bersendirian.

 

Zakat mengingatkan kita bahawa harta yang kita perolehi adalah amanah dari Allah. Di dalam harta kita ada hak-hak orang lain yang mesti ditunaikan.

 

Haji menimbulkan perasaan cinta dan kasih kepada Allah di dalam hati dan kesediaan untuk berkorban keranaNya.

 

 

Matlamat dan tujuan ibadah[4]

 

Kenapakah kita beribadah menyembah Allah SWT? Kenapakah Allah mewajibkan kita beribadah dan mentaatiNya? Adakah sebarang faedah diperolehiNya daripada perasaan khusyuk dan ikhlas kita yang patuh kepada perintah dan meninggalkan laranganNya? Kiranya ada manfaat maka apakah hakikatnya manfaat itu? Adakah sasaranya semata-mata perintah Allah yang kita mesti melaksanakannya?

 

“Aku tidak berhajatkan rezeki sedikitpun dari mereka itu dan aku tidak menghendaki mereka memberi Aku makan.”  Adz-Dzaariyaat : 57

 

“Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”  Faathir : 15

 

“Barangsiapa yang mengerjakan amal yang soleh maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri.”  Fussilat :46

 

“Dan barangsiapa yang mensucikan diri mereka, sesungguhnya ia mensucikan diri untuk kebaikan diri sendiri.”  Faathir : 18

 

“Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya untuk dirinya sendiri.”  Al-Ankabut : 6  

 

 

Tujuh Keuntungan Pelihara Ibadat

 

Seorang yang kuat beribadah pastinya optimis dalam hidupnya.Dia optimis bahawa Allah SWT akan menolong dan menentukan hala tuju hidupnya.

               

Semua yang ada di alam ini berada dalam kekuasaan Allah SWT.ketika melihat fenomena alam,kita akan mengingati Allah SWT. Puncak ilmu adalah mengenal Allah SWT(makrifatullah)

               

Kita dikatakan berjaya dalam berjaya dalam belajar apabila melaluinya kita semakin mengenal Allah SWT.Jadi tidak ada gunanya kita bersekolah tinggi,berpengetahuan luas,mendapat ijazah tinggi jika semua itu tidak menjadikan semakin mengenal Allah SWT.

                Mengenal Allah SWT adalah aset terbesar.Ia akan menjadikan kita berakhlak mulia.Betapa tidak,dengan mengenal Allah SWT kita akan merasa sering dilihat,didengar dan diperhatikan.

                Itulah kenikmatan hidup sebenarnya.Apabila berlaku demikian,hidup kita akan lebih terarah,tenang,ringan dan bahagia.

Sebaliknya jika kita tidak mengenal Allah SWT,hidup kita akan sengsara,terjerumus dalam lembah maksiat dan tidak tenang dalam hidup.

 

Antara kelebihan orang yang kuat beribadah ialah :

{  Hidup sentiasa di jalan yang benar.

{  Memiliki kekuatan menghadapi cabaran hidup,kekuatan itu lahir daripada iman yang terpelihara.

{  Allah SWT mengurniakan ketenangan dalam hidup.Tenang itu mahal harganya,ketenangan tidak boleh dicuri dan dibeli.Apapun yang kita miliki tidak akan pernah kita nikmati jika kita selalu resah gelisah.

{  Seorang yang kuat beribadah akan selalu optimis.Dia optimis kerana Allah SWT akan menolong dan menentukan hidupnya.

{  Seseorang yang kuat beribadah memiliki kekuatan utk menguruskan hidupnya.Setiap kali melakukan maksiat,Allah SWT akan memberikan peringatan supaya ia tidak terjerumus.seseorang yang kuat beribadat akan memiliki kemampuan untuk bertaubat.

{  Selalu ada bimbingan dan pertolongan dari Allah SWT.

{  Memiliki kekuatan ruhiyah,tidak menghairankan kata2nya penuh hikmah,penuh bertenaga,berwibawa dan setiap keputusan yang diambilnya selalu tepat.

 

Pengertian dan perlaksanaan ibadah amat luas sekali, ia merangkumi setiap tutur kata kita, setiap tindak tanduk kita, bahkan setiap apa yang kita lintaskan ke dalam hati dan fikiran kita, semuanya dinamakan beribadah kepada Allah, selagi kesemuanya itu dilaksanakan kerana Allah S.W.T.

 

Dari itu, Ibadah dalam Islam, tidak hanya terlaksana apabila kita berada di masjid sahaja, ibadah di dalam Islam bukan hanya berbentuk solat, puasa, zakat, menunaikan haji dan sebagainya.Bahkan, hidup kita ini seluruhnya adalah ibadah kepada Allah dan sesungguhnya untuk itu kita diciptakan.

 

Tetapi untuk menjadikan kehidupan kita ini ibadah, kita perlu memastikan bahawa ibadah ritual yang kita lakukan membuahkan nilai-nilai murni. Nilai-nilai yang membawa manfaat untuk diri dan masyarakat.

 

Sebagai contoh, solat Rasulullah S.A.W. Baginda di dalam solat amat khusuk dan tertib tetapi dalam masa yang sama Baginda juga amat perihatin akan jemaah yang mengikuti Baginda. Bahkan Baginda mempercepatkan solat baginda apabila terdengar tagisan anak kecil kerana takut memberatkan ibunya. Lihatlah bagaimana nilai rahmat yang terpancar dari ibadah yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah S.A.W.

Maka apakah dia nilai-nilai yang perlu kita perhatikan dalam ibadah seharian kita? Apakah dia nilai-nilai yang perlu ada dalam diri kita sebagai orang yang beribadah?

 

Pertama: Dalam melaksanakan ibadah, Islam mengajar kita untuk mengambil kira keperluan orang ramai, atau keperluan jemaah lebih dari keperluan kita sendiri.

 

Kita ambil contoh ibadah solat, Islam amat menganjurkan umatnya melakuka solat secara berjemaah. Ini bukan sahaja untuk mendapat pahala yang berganda tetapi ada tujuan yang tersirat di dalamnya. Kerana melalui solat berjemaah silaturahim antara manusia akan terjalin. Bahkan solat berjemaah mengajar kita kepentingan mengambil berat akan keperluan orang lain.

 

Kedua, dalam melaksanakan apa jua bentuk ibadah, kita perlu membuat pertimbangan yang bijak. Kita perlu memilih ibadah yang terpenting dari yang penting.  Umpamanya ibadah fardhu dari ibadah sunat, ibadah yang manfaatnya untuk masyarakat dari ibadah yang manfaatnya hanya untuk diri sendiri.

 

Sebagai contoh dalam kehidupan, jika kita berhutang sejumlah wang dari seseorang, hendaklah segera membayar hutang kita dahulu, barulah kita menghulurkan sedekah dalam hal-hal yang lain.

 

Kalau kita sudah pergi haji dan umrah beberapa kali adalah lebih utama dengan wang yang ada, kita membantu pembangunan institusi-institusi Islam yang memerlukan dana.

 

Ketiga Ibadah yang kita lakukan hendaklah menjadikan  kita seorang yang mencintai ilmu pengetahuan. Kerana ibadah tidak akan membuahkan hasil jika tidak didasari dengan ilmu pengetahuan.

 

Bahkan Allah S.W.T. meninggikan martabat orang yang beriman lagi berilmu dengan beberapa darjat. Sepertimana Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Mujaadilah ayat 11:

 

Yang bermaksud:  “Wahai orang-orang yang beriman apabila dikatakan kepadamu: Berlapang-lapanglah dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan melapangkan (tempat) untukmu. Dan apabila dikatakan: Berdirilah kamu, maka berdirilah nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi Ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

 

Sekarang ini, ramai yang suka mengikuti majlis-majlis zikir. Ia adalah satu amal ibadah yang digalakkan akan tetapi dalam masa yang sama ikutilah majlis-majlis ilmu yang disediakan di masjid-masjid.Kerana dengan ilmu pengetahuan sahajalah penghayatan terhadap zikir dan amal ibadah yang dilakukan akan lebih mendalam dan lebih bermakna.[5]

 


[1].  Shamsul Anuar Ahmad. Pembentangan Kertas Kerja Ibadat Solat di Masjid Kampung Dendang Kota Bharu Kelantan. Pada hari jumaat tahun 2006. ( tarikh tepat tidak dinyatakan)

[2] . Al-Ubudiyyah, Ibnu Taimiyah.

 

[3] . Ibadah di dalam Islam; Dr. Yusuf Qardhawi.

[4] . Artikel yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal

[5] MUIS, Khutbah Jumaat pada 12 Januari 2007.

~ oleh ANUAR AHMAD di Julai 10, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: