Peranan Wanita Palestin dalam Intifada

Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Intifada Masjidil Aqsa, adalah kebangkitan masyarakat Palestin menentang kezaliman dan kejahatan rejim Zionis. Dalam intifada, pelbagai lapisan masyarakat negara itu turut menyertainya dengan tujuan untuk mendapatkan hak mereka, termasuk para wanita Muslimahnya. Peranan wanita Palestin dalam perjuangan menentang Zionisme ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Untuk mengetahui lebih banyak tentang aktiviti perjuangan wanita Islam Palestin, kita terpaksa menyelusur kembali sejarah bermulanya gerakan Zionis dalam menduduki negeri Palestin. Untuk pertama kalinya pada tahun 1921, wanita Palestin memadukan langkah mereka dengan menubuhkan persatuan wanita Palestin untuk menghadapi gerakan Zionisme dan rejim imperialis Britain yang menjadi penyokongnya.

Sejak detik itu, dengan pembentukan badan menghimpun dan menyalur bantuan bagi para pejuang Palestin, wanita Palestin turut berganding bahu dan menyemarakkan perjuangan jihad. Salah satunya ialah dalam era kebangkitan bersenjata yang dipimpin oleh Izzuddin Qassam pada tahun 1930 hingga 1935. Pada ketika itu, wanita memainkan peranan penting dalam usaha mendorong kaum lelaki untuk berjihad dan meneruskan perjuangan mereka.

Pada tahun 1936, wanita Palestin turut berjuang secara langsung menentang askar-askar bersenjata rejim Zionis. Mereka berjuang untuk mendapatkan hak-hak mereka sebagai bangsa Palestin yang merdeka. Fatimah Ghazalah, seorang wanita Palestin tampil sebagai wanita pertama yang syahid pada tahun itu. Selanjutnya, ramai wanita Palestin yang menjadi korban dalam siri pembunuhan orang awam. Mereka juga turut memikul tanggungjawab untuk merawat mangsa yang cedera dan menjaga keluarga dan anak-anak yatim.

Selepas pembentukan PLO pada tahun 1964, wanita Palestin meneruskan aktiviti mereka sebagai anggota aktif dalam organisasi ini dan berjuang menentang rejim Zionis secara langsung atau membantu para pejuang Palestin dan menyelenggarakan bantuan, khusus bagi wanita dalam PLO. Bagaimanapun, dalam gerakan intifada rakyat Palestin, wanita masuk ke gelanggang perjuangan dengan kemampuan yang lebih kukuh.

Pada tahun 1987, ketika intifada pertama meletus di bumi Palestin, dunia ´membuka mata´ terhadap peranan aktif wanita Palestin dalam perjuangan menentang rejim pendudukan Zionis. Wanita berjalan seiring dengan suami dan anak-anak mereka dan turut serta dalam medan perjuangan menentang tentera rejim Zionis. Penyertaan wanita dalam intifada semakin memperkuatkan gelora perjuangan ini kerana dengan kehadiran mereka di medan tempur, motivasi perjuangan semakin meningkat.

Selepas beberapa tahun terhenti, dari September 2000, sekali lagi kebangkitan rakyat Palestin yang tidak bersenjata menentang rejim Israel kembali bergelora. Kebangkitan ini dikenali dengan nama Intifada Masjidil Aqsa. Intifada Masjidil Aqsa meletus ketika semua ´janji damai´ yang diikrarkan oleh sebahagian para pemimpin Palestin ternyata gagal dan rejim Zionis tidak mempedulikan hak-hak rakyat Palestin.

Dengan cara ini kebangkitan rakyat Palestin semakin meluas jika dibandingkan dengan masa lalu. Mereka bangkit untuk memperoleh kembali hak-hak mereka yang sah, dan sekali lagi wanita Palestin memainkan peranan penting.

Wanita Palestin dalam Intifada Masjidil Aqsa melakukan pelbagai aktiviti politik, sosial, ekonomi bahkan dalam bidang ketenteraan. Mereka tidak sahaja berjuang di samping kaum lelaki Palestin di jalan-jalan dan lorong-lorong negara itu, bahkan juga terlibat dalam gerakan syahid. Ketika ini seramai 10 orang wanita Palestin tercatat sebagai peneraju gerakan syahid. Begitu juga, berdasarkan kepada statistik, ramai wanita Palestin kini terkurung di dalam penjara-penjara rejim Zionis yang sebahagian besarnya merupakan tahanan sementara. Penahanan sementara ini berlanjutan sehingga 10 tahun.

Petugas rejim Zionis tidak membezakan antara tahanan lelaki dengan tahanan wanita melakukan penyeksaan terhadap para tahanan. Bagaimanapun, penyeksaan tersebut tidak mampu menghalang kaum wanita Palestin bagi melakukan tugas berbahaya itu demi membebaskan bumi Palestin, khususnya Al-Quds Al-Sharif.

Salah satu daripada tugas yang dipikul oleh para wanita Palestin ialah membawa senjata untuk para mujahidin. Wanita Palestin sama seperti wanita di seluruh dunia, memiliki perasaan halus dan sensitif. Bagaimanapun, hal itu sama sekali tidak menghalangi mereka untuk mendorong anak-anak dan suami mereka agar berjuang demi memperolehi hak-hak mereka.

Dalam sebuah filem yang ditayangkan beberapa bulan yang lalu melalui pelbagai stesen televisyen, semua menyaksikan ketika ibu Muhammad Farhad, seorang syahid Palestin mengucapkan selamat berpisah kepada puteranya dan mendorongnya untuk melakukan tindakan mati syahid. Langkah-langkah wanita Palestin dalam usaha mengumpul dana para mujahidin dan penyediaan makanan, tempat perlindungan dan merawat mereka yang cedera, menunjukkan bahawa mereka turut memainkan peranan penting di medan perjuangan.

Dalam hal ini, wanita Palestin tidak juga melupakan keluarga syuhada intifada. Dengan ´ikatan persaudaraan´ yang sukar ditemukan bandingannya, para wanita pejuang itu berusaha memenuhi keperluan material dan spiritual mereka.

Mereka melaksanakan tugas mulia itu dengan senang hati meski menanggung kesukaran dan menempuh bahaya yang bukan sedikit. Begitu juga ketika rejim Zionis menutup sekolah-sekolah Palestin, wanita Palestin yang berpendidikan tinggi tampil ke medan perjuangan dengan mendirikan kelas-kelas pendidikan darurat di masjid-masjid dan tidak membiarkan kanak-kanak Palestin tersisih daripada usaha mencari ilmu.

Seorang wanita Palestin yang sudah bergelar ibu menyebutkan bahawa terjalinnya persatuan yang kukuh antara anggota keluarga merupakan antara hasil daripada intifada. Dia mengatakan: “Intifada memberikan kesan positif dalam hubungan keluarga. Hubungan yang intim semakin meningkat dan semua orang semakin menyedari tanggungjawab mereka.”

Hari ini, wanita Palestin memikul tanggungjawab yang besar dan menjadi penentu nasib bangsa dan negaranya. Mereka sedar bahawa dalam menghadapi kekejaman rejim Zionis yang disokong penuh oleh Amerika Syarikat, hanya kesatuan (solidariti) dan usaha semua lapisan masyarakat Palestin termasuk wanitalah yang mampu membawa intifada kepada kemenangan yang ditandai dengan kembalinya hak-hak mereka yang selama ini telah terampas.

~ oleh ANUAR AHMAD di November 4, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: