Wanita Mulakan Langkah Pertama

Oleh NURBALQIS HAYATI AHMAD NAJIH

Jika seorang wanita berkata kepada seorang lelaki, “Sudikah awak mengahwini saya..?” Apakah pandangan kita? Mungkin apa yang terlintas di hati kita ialah, “Ya Allah, tak malunya wanita ini..” Situasi seperti ini boleh dianggap sebagai satu fenomena yang biasa dalam masyarakat kita terutama masyarakat Melayu kerana sejak zaman dahulu kala bahawa perempuan tidak dibenarkan memulakan langkah pertama dalam perhubungan, seterusnya ke alam perkahwinan kerana perkara ini dianggap memalu dan menjatuhkan martabat seorang wanita.

Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan, apabila pihak wanita yang memulakan langkah pertama untuk merisik, masyarakat kita lazimnya akan memandang serong dan menyebarkan tanggapan yang kurang baik. Malah seakan-akan menjadi satu kemestian bahawa hanya pihak lelaki sahaja yang berhak untuk merisik dan meminang.

Perkara seperti ini tanpa disedari menjadi punca kenapa wanita berkahwin lambat atau lebih hebat dipanggil ´andartu´ dan ´andalusia´. Dan kerana anggapan seperti ini menyebabkan ramai di kalangan wanita yang terpaksa duduk di rumah sambil menunggu pinangan sahaja daripada mereka lebih berusaha untuk mencari jodoh. Asalkan tidak menyalahi syariat Islam, apa salahnya kalau wanita juga berusaha untuk memikat lelaki.

Di dalam Islam, amalan merisik dan meminang bukan hanya dilakukan oleh pihak lelaki. Malah di dalam al-Quran turut dinyatakan kisah seorang ayah yang menawarkan anaknya kepada Nabi Musa untuk dikahwini. Kisah ini disebut dalam surah Al-Qashash, ayat 27. Seorang ulama masa kini, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, semasa mentafsirkan ayat ini juga turut membawakan contoh-contoh lain di dalam sejarah Islam yang menunjukkan wakil pihak wanita mengemukakan tawaran untuk dijodohkan dengan mana-mana lelaki. Contohnya, Saidina Umar yang menawarkan anaknya Hafsah untuk dijodohkan dengan Abu Bakar dan Usman. Malah seandainya wanita itu sendiri menghantar pinangan sekalipun, ia tidak patut dipandang serong kerana Ummul Mukminin Khadijah juga meminang Rasulullah s.a.w. (sumber internet)

Perangkaan Banci Penduduk dan Perumahan 2000 menunjukkan pada 1981 sehingga 1990, 43.2 peratus golongan muda iaitu 20 hingga 34 tahun belum berkahwin. Pada 1991 sehingga 2000 pula, 48.1 peratus golongan muda belum berkahwin dengan 68.5 peratus daripadanya adalah wanita. Perangkaan itu turut menunjukkan umur minimum perkahwinan pada 1980 ialah 26.2 tahun bagi lelaki dan 23.5 tahun bagi wanita. Pada tahun 1991, lelaki (28.2 tahun) dan wanita (24.7 tahun). Pada tahun 2000 pula, lelaki (28.6 tahun) dan bagi wanita pula (25 tahun). (majalah Milenia Muslim)

Terdapat beberapa faktor yang menjuruskan kepada masalah ´andartu´ atau ´andalusia´ ini; antaranya ialah janji manis daripada pasangan untuk berkahwin yang kemudiannya berakhir dengan tragedi penipuan, penderaan, perkosaan serta sikap lelaki yang suka berfoya-foya, menyebabkan wanita sukar untuk menerima lelaki lain dalam hidup mereka.

Faktor lain ialah revolusi pendidikan, peluang pekerjaan kepada wanita yang terbuka luas, tanggungjawab untuk menyara ahli keluarga, ada juga sesetengah wanita yang memilih kriteria yang terlalu ideal untuk calon suami, mementingkan kerjaya dan menganggap perkahwinan satu kongkongan, terpengaruh dengan kisah kegagalan perkahwinan yang sering disiarkan dalam media-media dan penderaan dalam rumah tangga merupakan suatu trauma kepada wanita.

Tanggapan buruk masyarakat terhadap wanita yang berkahwin lambat, ´andartu´ dan ´andalusia´ perlu diubah kerana masa kini ramai wanita yang berstatus bujang walaupun umur sudah menjangkau usia lewat 30-an sudah berjaya dalam hidup dan mampu menandingi keupayaan dan kebolehan lelaki dalam sesuatu perkara.

Masyarakat seharusnya melihat daripada sudut yang lebih positif kerana golongan ini memberi sumbangan yang banyak dari sudut ekonomi kerana ramai diantara mereka telah berjaya dalam kerjaya, mampu mengumpul harta dan wang simpanan yang banyak jika dibandingkan dengan rakan yang sebaya mereka, hal ini secara tidak langsung ini mampu menyumbang kepada kepesatan ekonomi melalui bidang-bidang yang mereka ceburi.

Dari sudut sosial, sumbangan mereka amat besar terhadap keluarga kerana membantu meringankan beban keluarga dengan menghantar wang kepada ibu bapa dan belanja untuk membiayai pelajaran adik-adik malah mereka ini lebih prihatin terhadap masalah keluarga dan memberikan sepenuh perhatian terhadap kebajikan keluarga dan masyarakat sekeliling sekali gus memperbaiki taraf sosial keluarga mereka.

Oleh sebab itu, masyarakat perlu mengubah cara pemikiran yang menganggap wanita tidak boleh memulakan langkah pertama untuk mencari pasangan kerana perkara ini dapat membantu mereka daripada mendapat gelaran andartu dan andalusia. Bagi wanita yang ingin memulakan langkah pertama mestilah berani menerima risiko dan perlu bersedia dengan cabaran yang akan ditempuhi dalam proses mencari pasangan.

Tetapi mestilah berpandukan cara yang betul, tidak bercanggah dengan agama dan yang paling mustahak tidak dipandang serong atau dianggap sebagai perempuan murahan. Apa yang penting sindrom ´malu´ untuk memulakan langkah pertama, akhirnya menyebabkan wanita menempuh satu corak hidup yang memungkinkan mereka terpaksa memilih samada untuk terus bergelar ´andartu´ dan ´andalusia´ ataupun menjawat status sebagai isteri muda.

Walau siapa pun yang memulakan langkah dahulu, yang pasti jodoh pertemuan ditentukan Allah.

~ oleh ANUAR AHMAD di November 4, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: