ASAS-ASAS KHIDMAT SOSIAL DARI PERSPEKTIF AL-SUNNAH

Khidmat sosial dapat ditakrifkan sebagai suatu usaha yang bertujuan untuk menghulurkan pertolongan kepada masyarakat dalam pelbagai lapangan. Tulisan yang ringkas ini akan menyoroti beberapa asas khidmat sosial yang telah digariskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sunnahnya.

Rasulullah s.a.w. menyebutkan khidmat kepada masyarakat itu sebagai salah satu cabang iman.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ

 

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: Iman itu mempunyai tujuh puluh lebih atau enam puluh lebih cabang. Yang paling utama ucapan La Ilah Illa Allah, yang paling rendah menghilangkan gangguan dari jalanan dan malu itu salah satu cabang iman. (Muslim)

Menghilangkan gangguan dari jalanan itu adalah berpunca dan didorong oleh iman. Seseorang yang beriman tidak akan berdiam diri apabila melihat sesuatu yang membawa kemudaratan kepada masyarakat. Tindakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kesungguhan untuk melihat kebaikan tersebar dalam lingkungan sosialnya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَيْنَمَا رَجُلٌ يَمْشِي بِطَرِيقٍ وَجَدَ غُصْنَ شَوْكٍ عَلَى الطَّرِيقِ فَأَخَّرَهُ فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَغَفَرَ لَهُ

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ketika seorang lelaki sedang berjalan di sebuah jalan dia telah mendapati dahan berduri di atas jalan itu lalu dia mengalihkannya maka Allah s.w.t. menghargai usahanya dan mengampunkannya. (Malik, al-Bukhari, Muslim)

Membataskan pentafsiran gangguan itu kepada duri di jalanan sahaja adalah tidak tepat. Gangguan kepada pengguna jalan boleh mempunyai pelbagai pengertian dan ianya bukan setakat duri di jalan.

Keumuman pentafsiran ini berdasarkan kepada hadis:

عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنهما، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: المسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده، والمهاجر من هجر ما نهى الله عنه.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amar daripada Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seorang muslim sejati ialah orang-orang Islam lain aman daripada gangguan ucapan dan perbuatannya, orang yang benar-benar berhijrah ialah dia yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah s.w.t. (al-Bukhari)

Seorang muslim akan sentiasa memastikan dirinya itu dapat memberikan kebaikan kepada orang lain dan mengelakkan orang lain daripada terkena kemudaratan.

 

عَنْ دُرَّةَ بِنْتِ أَبِي لَهَبٍ قَالَتْ قَامَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ فَقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُ النَّاسِ أَقْرَؤُهُمْ وَأَتْقَاهُمْ وَآمَرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَأَنْهَاهُمْ عَنْ الْمُنْكَرِ وَأَوْصَلُهُمْ لِلرَّحِمِ

Diriwayatkan daripada Durrah binti Abi Lahab katanya, seorang lelaki telah berdiri ke arah Rasulullah s.a.w. yang sedang berada di atas mimbar lalu bertanya: ‘Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling baik? Rasulullah s.a.w. menjawab: ” Orang yang paling baik ialah orang yang paling alim, paling bertaqwa, paling menyuruh dengan kebaikan dan paling kuat menghalang kemungkaran serta paling banyak menghubungkan tali persaudaraan. (Ahmad)

عن أبي موسى رضي الله عنه قال: قالوا: (يا رسول الله، أي الإسلام أفضل؟ قال: (من سلم المسلمون من لسانه ويده).

Diriwayatkan daripada Abu Musa katanya, para sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Apakah (amalan) Islam yang paling utama? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Orang yang menjadikan orang lain aman daripada gangguan ucapan dan perbuatannya. (al-Bukhari)

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَتْ شَجَرَةٌ فِي طَرِيقِ النَّاسِ تُؤْذِي النَّاسَ فَأَتَاهَا رَجُلٌ فَعَزَلَهَا عَنْ طَرِيقِ النَّاسِ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقَدْ رَأَيْتُهُ يَتَقَلَّبُ فِي ظِلِّهَا فِي الْجَنَّةِ

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya ada sebatang pokok di jalan yang mengganggu orang ramai, lalu seorang lelaki tampil dan mencabutnya dari jalan orang ramai. Kata Anas, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya saya melihatnya bersuka ria di bawah teduhannya (pokok itu) didalam syurga. (Ahmad)

Khidmat sosial juga dikaitkan dengan sedekah. Dari perspektif al-Sunnah, konsep sedekah itu amat luas kerana ia mengandungi makna memberikan manfaat kepada orang lain dan menjauhkan kemudaratan daripada mereka, tanpa mengira apa jua bentuk pertolongan itu.

Merawat orang yang sakit, melawat orang sakit, mendirikan hospital, mempelajari ilmu perubatan. Ini juga disebutkan sebagai hak dan tanggungjawab seorang muslim terhadap muslim yang lain. Rasulullah s.a.w. bersabda:

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ خَمْسٌ رَدُّ السَّلَامِ وَعِيَادَةُ الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعُ الْجَنَائِزِ وَإِجَابَةُ الدَّعْوَةِ وَتَشْمِيتُ الْعَاطِسِ

Hak seorang muslim di atas muslim yang lain lima perkara, menjawab salam, melawat orang sakit, mengiringi jenazah, menerima jemputan dan mendoakan orang yang bersin. (al-Bukhari)

 

Sebab diberikan penekanan ziarah orang sakit ialah untuk memberikan semangat dan kelegaan serta simpati. Selain itu, ia juga akan menyebarkan kasih sayang, kemesraan dan menguatkan ikatan sosial dan tali persaudaraan di samping meraih pahala dan ganjaran dari Allah s.w.t.

Dan perkara ini ditekankan lagi dalam bentuk perintah dan suruhan.

عَنْ أَبِي مُوسَى عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فُكُّوا الْعَانِيَ وَأَجِيبُوا الدَّاعِيَ وَعُودُوا الْمَرِيضَ

Daripada Abu Musa daripada Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bebaskan (tebuskanlah) orang yang ditawan, terimalah jemputan yang mengajak dan ziarahilah orang sakit (al-Bukhari)

Menyampaikan ilmu

Dalam sebuah masyarakat, ilmu mempunyai nilai yang terpenting bagi mewujudkan suasana dan persekitaran yang komited dengan adab dan disiplin. Tanpa ilmu, masyarakat akan tersasar daripada mencapai keimanan yang mantap dan amalan yang soleh.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَفْضَلُ الصَّدَقَةِ أَنْ يَتَعَلَّمَ الْمَرْءُ الْمُسْلِمُ عِلْمًا ثُمَّ يُعَلِّمَهُ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik sedekah ialah seseorang muslim itu mempelajari satu ilmu kemudian mengajarkannya kepada saudaranya yang muslim.( Ibn Majah)

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menyatakan sedeqah bukan hanya terbatas kepada harta sahaja tetapi merangkumi usaha untuk menyebarluaskan ilmu. Tegasnya, pengertian sedeqah meliputi setiap tindakan yang memberikan faedah dan manafaat kepada orang lain. Ilmu itu dikatakan bermanfaat apabila dapat digunakan dan diterapkan untuk kebaikan masyarakat dari aspek duniawi dan ukhrawi.

 

Memberi makan atau mengadakan jamuan

عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنهما: أن رجلا سأل النبي صلى الله عليه وسلم: أي الإسلام خير؟ قال: (تطعم الطعام، وتقرأ السلام على من عرفت ومن لم تعرف).

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amar bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Manakah Islam yang paling baik? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Anda memberi makan, menyampaikan salam kepada orang yang dikenali atau tidak”(al-Bukhari)

Hadis ini menegaskan bahawa menyediakan makanan kepada mereka yang amat berhajat adalah ciri keislaman yang paling unggul kerana ia membawa kepada hidup bekerjasama dan saling mengambil berat.

Mengiringi jenazah

عن أبي هريرة: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: (من اتبع جنازة مسلم، إيمانا واحتسابا، وكان معه حتى يصلى عليها ويفرغ من دفنها، فإنه يرجع من الأجر بقيراطين، كل قيراط مثل أحد، ومن صلى عليها ثم رجع قبل أن تدفن، فإنه يرجع بقيراط).

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mengiringi jenzah seorang muslim dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, dan dia berada bersamanya sehingga bersembahyang ke atasnya dan selesai mengkebumikannya, maka dia pulang dengan ganjaran pahala sebanyak dua qirat, setiap qirat itu menyamai gunung Uhud. Sesiapa yang bersembahyang ke atas jenazah kemudian pulang sebelum dikebumikan maka dia pulang dengan mendapat satu qirat sahaja. (al-Bukhari)

Membersihkan masjid

Khidmat masyarakat dapat dilakukan dengan menjaga kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan umum supaya mereka yang mengunjunginya merasa selesa dan tenteram. Dalam sesebuah masyarakat tentu sekali, masjid merupakan tempat yang terpenting sebagai penggerak kepada aktiviti kemasyarakatan. Oleh itu, bersama menjaga kebersihannya merupakan tuntutan yang besar.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَجُلًا أَسْوَدَ أَوْ امْرَأَةً سَوْدَاءَ كَانَ يَقُمُّ الْمَسْجِدَ فَمَاتَ فَسَأَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْهُ فَقَالُوا مَاتَ قَالَ أَفَلَا كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي بِهِ دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ أَوْ قَالَ قَبْرِهَا فَأَتَى قَبْرَهَا فَصَلَّى عَلَيْهَا

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa seorang lelaki atau perempuan yang hitam sering menyapu masjid dan meninggal dunia. Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang halnya. Para sahabat menjawab: “Mengapa tidak kamu memberitahu aku tentangnya, tunjukkanlah kepada aku kuburnya, kemudian Rasulullah s.a.w. pergi ke kuburnya dan bersembahyang di atasnya’. (al-Bukhari)

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عُرِضَتْ عَلَيَّ أُجُورُ أُمَّتِي حَتَّى الْقَذَاةُ يُخْرِجُهَا الرَّجُلُ مِنْ الْمَسْجِدِ وَعُرِضَتْ عَلَيَّ ذُنُوبُ أُمَّتِي فَلَمْ أَرَ ذَنْبًا أَعْظَمَ مِنْ سُورَةٍ مِنْ الْقُرْآنِ أَوْ آيَةٍ أُوتِيَهَا رَجُلٌ ثُمَّ نَسِيَهَا

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dibentangkan kepada saya pahala-pahala umatku sehingga sampah yang dikeluarkan daripada masjid dan dibentangkan kepadaku dosa-dosa umatku dan saya tidak melihat dosa yang lebih besar daripada satu surah atau ayat al-Qur`an yang diberikan kepada seseorang lalu dia melupakannya”.

(Abu Daud)

 

Sembahyang berjemaah

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْصَرَ رَجُلًا يُصَلِّي وَحْدَهُ فَقَالَ أَلَا رَجُلٌ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki bersembahyang berseorangan seraya bersabda: “Adakah seorang yang dapat bersedekah kepada orang ini dengan bersembahyang bersamanya”. (Abu Daud)

Hadis ini juga menegaskan pentingnya sembahyang berjemaah sebagai pelengkap kepada tolong menolong terutamanya dari segi mendapat pahala dan ganjaran di akhirat. Difahami juga bahawa, seorang yang bersembahyang berjemaah janganlah semata-mata mahu mendapatkan pahala melalui saudaranya tanpa memikirkan hal kehidupan saudaranya yang lain. Adalah tidak wajar, jika seseorang itu mengharapkan pahala sembahyang berjemaah 27 kali ganda daripada saudaranya tetapi dalam masa yang sama tidak mengendahkan keadaan kehidupan saudaranya itu. Bagaimana mungkin pahala akhirat diperolehi dengan mensia-siakan kehidupan orang yang susah.

Memberi hutang

Termasuk dalam pengertian khidmat sosial yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. ialah memberikan hutang kepada mereka yang amat memerlukan.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُقْرِضُ مُسْلِمًا قَرْضًا مَرَّتَيْنِ إِلَّا كَانَ كَصَدَقَتِهَا مَرَّةً

 

Daripada Ibn Mas’ud bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak seorang muslim yang memberi hutang kepada seorang muslim yang lain dua kali melainkan seperti dia bersedeqah kepadanya sekali. (Ibn Majah, Ibn Hibban)

Hadis ini menjelaskan kelebihan menolong orang yang memerlukan wang dengan cara memberi hutang dan ia termasuk dalam khidmat sosial yang amat diperlukan. Hidup ini bagaikan putaran roda, hari ini mungkin kita senang, esok mungkin susah. Jika dalam keadaan senang kita tidak menolong orang lain maka siapa yang akan menolong kita ketika kita menghadapi kesempitan.

~ oleh ANUAR AHMAD di November 5, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: