Perkahwinan: Serasi Atau Saling Melengkapi?

Oleh ZALILA ISA

ALLAH s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki ) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya. Dan menjadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan…” (Ar-Rum: 21)

Perkahwinan merupakan suatu konsep perhubungan antara lelaki dan perempuan yang mempunyai tujuan-tujuan tertentu. Perkahwinan dikatakan mampu mengelakkan seseorang daripada melakukan perbuatan maksiat, khususnya zina kerana tuntutan syahwat dapat disalurkan melalui cara yang halal.

Perkahwinan juga menjanjikan ketenteraman dan kedamaian jiwa serta perasaan. Hidup sebagai suami isteri dalam sebuah rumah tangga yang aman bahagia dapat memberi kedamaian pada jiwa kerana sentiasa mendapat berkat daripada Allah s.w.t.

Selain itu, perkahwinan bakal melahirkan manusia yang bertanggungjawab dalam menjalankan amanah Allah yang mesti ditunaikan oleh seorang wanita dan juga lelaki.

Perkahwinan dari aspek agama Islam amat luas dan lengkap. Ia mencakupi hal yang berkaitan ibadah dan sunnah. Selain melaksanakan tuntutan fitrah manusia, pasangan yang berkahwin juga akan menjalani hidup yang lebih teratur dan beradab dengan adanya konsep perkahwinan.

Namun, sejauh mana konsep perkahwinan difahami oleh pasangan suami isteri kalaupun bukan dari aspek tuntutan agama.

Dalam tempoh lima tahun antara 1999 hingga 2004 kadar perceraian pasangan Islam nyata jauh lebih tinggi dari bukan Islam di negara ini. Mengikut statistik yang disebut oleh Ketua Wanita MCA Datuk Dr Ng Yen Yen seramai 69,000 pasangan Islam bercerai dalam tempoh itu manakala bukan Islam sebanyak 13,000 kes.

Pada tahun 2005 sahaja seramai 16,500 pasangan Islam yang bercerai berbanding dengan penceraian di kalangan pasangan bukan Islam yang mencatat sejumlah 3,000 pasangan yang bercerai.

Jumlah yang disebutkan di atas menuntut setiap pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga, memahami konsep perkahwinan, pengisian dan hal-hal lain yang membolehkan perkahwinan itu kekal selamanya.

Mengapa pasangan Islam paling ramai berhadapan dengan situasi pernceraian? Persoalan ini menuntut jawapan yang sudah pasti berkait rapat dengan tanggungjawab dan fitrah perkahwinan itu sendiri yang terkandung di dalam al-Quran.

Sudah pasti juga jawapan yang diberi ialah memahami konsep perkahwinan dalam Islam yang mendamba tanggungjawab kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri. Tanggungjawab yang dimainkan harus disulami dengan keimanan dan ketakwaan serta yang paling utama keredhaan daripada Allah s.w.t.

Ada pasangan yang berkahwin mendakwa mereka mahu hidup bersama kerana antara mereka mempunyai persefahaman, kesamaan dan keserasian yang tinggi. Mereka yakin, dengan ‘kebersamaan’ itu, mereka akan dapat melayari bahtera perkahwinan dengan baik. Namun, perceraian berlaku juga.

Satu konsep yang dilupakan oleh kebanyakan pasangan sama ada Islam atau bukan Islam ialah perkahwinan merupakan satu keadaan saling melengkapi dan saling perlu memerlukan antara suami dan isteri.

Jika tidak, Allah s.w.t tidak akan menjadikan Siti Hawa daripada tulang rusuk Nabi Adam a.s sendiri untuk memenuhi rasa kesunyian dan keseorangannya di dalam syurga.Wanita sebagai pasangan kepada lelaki dikatakan tercipta dari tulang rusuk sebelah kiri, dekat di hati agar ia dicintai dan terletak dekat tangan, rasionalnya agar ia dilindungi. Wanita tercipta bukan daripada bahagian ubun-ubun, rasionalnya agar ia tidak menjadi tinggi (hati). Dia juga tidak tercipta dari tulang tumit kaki, agar tidak diinjak-injak (harga dirinya).

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Berilah wasiat yang baik kepada perempuan, sesungguhnya mereka dijadikan daripada tulang-tulang rusuk, dan sesungguhnya yang bengkok daripada tulang rusuk itu ialah bahagian atasnya. Jika engkau meluruskannya pasti engkau memecahkannya (mematahkannya), jika engkau biarkan, ia akan terus bengkok. Oleh itu berilah wasiat yang baik kepada perempuan.” (Riwayat Bukhari)

Mengikut sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

” Wanita seperti tulang rusuk, jika engkau luruskan dengan kekerasan ia akan patah, dan jika engkau berseronok dengannya tanpa memperbaikinya, maka engkau berseronok dalam keadaan ia sentiasa bengkok.”

Dalam anatomi tulang rusuk atau iga (Latin: ‘costae’) adalah tulang panjang yang melengkung dan membentuk rongga rusuk.) Tulang rusuk melindungi dada (Latin: ‘thorax’), paru-paru, jantung, hati dan organ dalam lainnya di rongga dada.

Melalui penerangan itu, jelas menunjukkan antara lelaki dan wanita, suami dan isteri mempunyai peranan masing-masing yang saling melengkapi dan bukannya memfokus kepada keserasian semata dalam perkahwinan.

Suami isteri ibarat pakaian kepada yang lain, saling melengkapi dan menutup kelemahan di antara satu sama lain, mencari kekuatan di dalam diri masing-masing dan menyalakannya ke arah positif. Segala kekurangan dan kelemahan pasangan merupakan kekuatan bersama apabila diambil secara postif dan membina.

Kerana tidak memahami konsep perkahwinan yang saling melengkapi ini jugalah, seringkali penceraian yang berlaku antara pasangan akan disusuli dengan kata-kata ‘tiada keserasian’ atau ‘tiada kesefahaman’ lagi.

Konsep saling melengkapi amat mudah. Seumpama menambah garam ke dalam lauk yang tawar, menambah gula ke dalam air yang tawar. Begitu juga dengan suami isteri. Saling menerima kelemahan masing-masing. Melengkapi kelemahan itu dengan kekuatan yang ada pada diri kita. Setiap manusia tidak sempurna.

Oleh hal yang demikian itulah konsep perkahwinan diadakan untuk menyempurnakan kehidupan seseorang manusia. Perbuatan memandang kelemahan pasangan sebagai sesuatu yang menyusahkan boleh membawa kepada ketidakpuasan hati seterusnya berlaku penceraian.

Oleh sebab itu, setiap pasangan suami isteri harus membetulkan niat perkahwinan mereka, seterusnya menanam dalam diri bahawa perkahwinan bukan suatu medium yang hanya bertujuan untuk memberi bahagia semata, tetapi juga perkahwinan menjadi titik tolak untuk kita mempelajari sesuatu serta melengkapkan lagi hidup seseorang di dunia. Renung kata-kata ini:

Tidak perlu mencari teman secantik Balqis,
Jika diri tidak seindah Sulaiman,
Mengapa mengharap teman setampan Yusuf,
Jika kasih tidak setulus Zulaikha,
Tidak perlu diri menjadi seteguh Ibrahim,
Jika tidak sekuat Sarah,
Mengapa didamba teman hidup seistimewa Khadijah,
Jika diri tidak sesempurna Rasulullah s.a.w.

~ oleh ANUAR AHMAD di November 5, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: