Suri Rumah Berkumis!

Oleh NOORZIHAN MOHAMED YIN

SUAMI lumrahnya berperanan sebagai ketua rumah tangga dan pencari rezeki bagi membina keluarga. Peranan itu sudah dipikul boleh dikatakan sejak azali lagi. Budaya yang dikendong juga memandang peranan sang suami sebegitu. Jika diterbalikkan peranan itu kepada sang isteri, sangatlah janggal bagi telinga dan budaya negara ini, sepertimana janggalnya kedengaran kenyataan yang dibuat Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Ibrahim Abu Shah mengenai kemungkinan fenomena ini berlaku suatu masa nanti.

Tidak dapat disangkal, fenomena ini telah lama diterima di negara-negara Barat dan sedang berkembang pesat di hemisfera lainnya. Seramai 189,000 lelaki daripada hampir 61 juta jumlah penduduk di United Kingdom mengambil keputusan menjadi suri rumah.

Di Seoul, Korea Selatan, seperti laporan akhbar Berita Harian edisi Selasa (23 Oktober 2007) bahawa jumlah suami yang memilih untuk menjadi ‘suri rumah’ meningkat 40 peratus sejak tiga tahun lalu.

Pejabat Perangkaan negara tersebut mendedahkan jumlah suami yang memilih untuk tinggal di rumah bertambah kepada 151,000 pada 2006, berbanding 106,000 pada 2003.

Kejanggalan ini dinyatakan boleh berlaku oleh pelbagai punca. Punca utama adalah apabila semakin ramai kaum wanita memiliki kerjaya yang menawarkan pendapatan yang tinggi yang sebelum ini didominasi oleh kaum lelaki.

Di Malaysia, senario ‘kekurangan’ pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan diseluruh institusi pengajian tingginya dengan nisbah 40:60 itu menjadi kerisauan pelbagai pihak ditakuti fenomena tersebut ‘berjangkit’ di negara ini pula.

Jika dilihat dari sudut akal yang terbatas ini, adalah tidak menjadi masalah sekiranya sama ada pihak suami menjadi suri rumah asalkan masing-masing mempersetujui dan selesa akannya. Melihatkan kepada punca utama tadi, wanita (isteri) yang berkerjaya dan memiliki pendapatan yang lebih tinggi berbanding lelaki (suami) lebih mampu menanggung perbelanjaan.

Malah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sendiri melihat fenomena ini adalah suatu fenomena yang sihat kerana ia berupaya mewujudkan perkongsian dan tanggungjawab dalam membesarkan anak serta menguruskan rumah tangga. Menurutnya lagi, apa yang penting di dalam sesebuah perkahwinan adalah rasa hormat-menghormati sesama pasangan (Utusan, 23 Ogos 2007).

Selain itu, sebagai suatu langkah proaktif mempersiapkan diri dalam ‘menghadapi’ fenomena ini, kemahiran keibubapaan akan dijadikan satu kursus di kolej komuniti di seluruh negara mengambil contoh sepertimana yang telah dijalankan oleh negara-negara seperti United Kingdom dan Jepun.

Kementerian Pengajian Tinggi yang mencadangkan kursus tersebut berpendapat bahawa kemahiran keibubapaan ini penting bagi generasi muda dalam mempersiapkan diri menjadi ibu bapa yang baik kelak.

Langkah yang diambil ini merupakan suatu langkah yang terpuji. Islam juga tidak menganggap fenomena ini salah jika suami menguruskan rumah tangga. Namun peranan ini perlulah bersifat sementara berpadanan dengan tanggunjawab hakiki suami sebagai ketua keluarga dan pencari nafkah keluarga.

Tanggungjawab isteri pula adalah menjaga maruah suaminya, mencari keredaan Allah dan suami serta menguruskan keluarga. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Bagi seorang wanita untuk menunaikan solat di tempat tidurnya adalah lebih baik dari menunaikannya di biliknya, dan menunaikannya di biliknya lebih baik dari menunaikannya di rumahnya, dan menunaikannya di rumahnya lebih baik dari menunaikannya di masjid,” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad).

Islam meletakkan tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak di atas bahu seorang lelaki tanpa syarat sama ada tahap pendidikannya tinggi ataupun rendah berbanding isteri. Itu yang termaktub di dalam al-Quran dan hadis.

Seorang lelaki bergelar suami wajib menyediakan rumah kediaman, pakaian dan makan minum keluarga selain wajib mengajar anak isterinya dengan hukum-hukum agama. Jika tidak mampu mengajar sendiri suami wajib menanggung pembiayaannya.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Kewajipan seorang suami terhadap isterinya ialah suami harus memberi makanan kepadanya jika ia berpakaian dan tidak boleh memukul mukanya dan tidak boleh memperolok-olokkan dia dan juga tidak boleh meninggalkannya kecuali dalam tempat tidur (ketika isterinya membangkang).”

Islam itu indah dan keindahannya itu adalah bersesuaian dan berkekalan sepanjang zaman. Justeru kejanggalan dan kecanggungan fenomena suami suri rumah ini seharusnya dikaji dan diperhalusi disetiap sudut dan sisinya berdasarkan ketetapan agama bukannya berdasarkan tuntutan zaman.

Pengadaptasian fenomena tersebut ke negara ini dikhuatiri akan hanya membawa perubahan besar terhadap struktur ekonomi dan masyarakat serta mengubah keseimbangan institusi perkahwinan itu sendiri.

~ oleh ANUAR AHMAD di November 5, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: