Televisyen dan kekeluargaan

Oleh ZALILA ISA

Kita masih dalam perjalanan merealisasikan hasrat kerajaan membentuk Pelan Integriti Nasional (PIN) sebagai persediaan menjadi negara maju yang bukan saja membangun dari segi fizikal dan ekonominya, tetapi juga akhlak dan sahsiah individu dalam masyarakat hari ini serta masa depan.

Cabaran merealisasikan hasrat itu turut terkandung dalam dasar Wawasan 2020, dan ia bermula dengan pemantapan institusi keluarga hari ini bagi mendepani situasi itu kira-kira 11 tahun lagi dan harapan ianya berpanjangan sehingga bila-bila.

Pengukuhan itu penting berikutan pemerhatian yang berlaku di negara Barat, mereka mundur dari segi akhlak dan moral individu dan mewujudkan pelbagai masalah sosial meskipun maju dalam ekonomi.

Namun, hakikat keruntuhan nilai sosial dan institusi keluarga ini bukan sahaja melanda di negara Barat, malah telah menular dan membarah di negara kita sendiri.

Usah lihat ‘kuman seberang laut’ yang telah lama kita tahu sedang bertungkus-lumus memperbaiki sistem sosial masyarakat dan institusi kekeluargaan mereka dengan apa cara sekalipun.

Lihat sahaja ‘gajah di hadapan mata’ kita yang turut sama terkena tempias keruntuhan nilai sosial ini.

Bercakap mengenai institusi keluarga, pelbagai perkara akan saling berkait dengan isu ini.

Antaranya peranan ibu bapa, peranan ahli keluarga, masyarakat sekeliling, pihak dan agensi terlibat dan terutama sekali pemimpin masyarakat yang membuat dan meluluskan sesuatu dasar yang berkaitan dengan modal insan ini.

Televisyen dan keluarga

Umum mengetahui bahawa peranan media elektronik amat penting pada zaman ini. Televisyen, radio, internet dan sebagainya menjadi medium yang terutama untuk masyarakat hari ini memperoleh maklumat terkini, berita semasa tempatan dan antarabangsa, bahan-bahan ilmu dan sebagainya.

Televisyen menjadi barang keperluan setiap isi rumah yang berperanan sebagai pemberitahu, pencerita, penghibur dan juga menjadi pendidik kepada orang yang menontonnya. Ini kerana, melalui televisyen, kita boleh memperoleh banyak maklumat ilmiah atau tidak, hiburan untuk menghapus tekanan di tempat kerja, dan ‘guru’ yang mengajar erti kesilapan dan kebenaran melalui drama-drama dan segala rancangan yang dipertontonkan.

Kempen ‘tidak menonton televisyen selama seminggu’, anjuran Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) yang bertujuan mempererat silaturahim dalam keluarga tidak mendapat sambutan malahan kritikan dari pelbagai lapisan masyarakat.

Kempen itu dikatakan tidak berkesan kerana televisyen bukanlah penyebab yang kuat terjadinya jurang antara ahli keluarga.

FOMCA dikatakan melancarkan kempen tersebut untuk menggalakkan ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa bersama-sama dan menjalankan aktiviti bermanfaat bersama-sama.

Kempen ‘tidak menonton televisyen selama seminggu’ itu juga dilihat menjadi salah satu kempen yang boleh memberi kesan kepada sistem kekeluargaan berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh Pusat Informasi Pemakanan Asia (AFIC) yang menunjukkan 30 peratus kanak-kanak di negara ini menghidapi masalah obesiti kerana menghabiskan masa lapan jam sehari menonton televisyen dan bermain komputer.

Di samping itu, individu yang banyak menonton televisyen juga akan mewujudkan sikap suka menyendiri, dan tidak banyak melakukan aktiviti fizikal.

Benar, menonton televisyen terlalu lama boleh mengundang pelbagai kesan yang negatif kepada individu seperti yang diketengahkan oleh kajian tersebut. Namun, dalam era globalisasi dan teknologi yang semakin berkembang, tidak menonton televisyen adalah satu usul yang tidak begitu berkesan dalam usaha mengeratkan silaturahim dalam keluarga.

Televisyen dan ikatan kekeluargaan.

Televisyen boleh menjadi medium terbaik untuk mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga dengan syarat tertentu. Antaranya, ibu bapa harus memantau jadual menonton televisyen di rumah. Berapa jam harus dihadkan serta program televisyen apa yang harus ditonton atau dihindar.

Selain itu, dalam usaha mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga, sebaiknya sesebuah program televisyen itu di tonton bersama serta mempunyai aktiviti atau proses pembelajaran iaitu mengambil tahu, menghayati dan mengamalkan.

Di sini sudah pasti proses soal jawab antara anak dengan ibu bapa akan berlaku.

Komunikasi yang berlaku ini merupakan satu cara paling berkesan untuk ibu bapa mendekati dan mengenali potensi serta tingkah laku anak-anak.

Dengan komunikasi ini juga memberitahu kepada anak-anak bahawa ibu-bapa merupakan orang yang boleh diharapkan untuk mereka belajar dan mengetahui sesuatu hal yang baharu.

Selain itu, persekitaran semasa menonton televisyen juga perlu diambil kira seperti makanan dan minuman yang dihidangkan serta kedudukan televisyen di dalam rumah. Hal ini turut berkait rapat dengan faktor ‘perasaan’ (mood) yang bakal mempengaruhi tingkah laku seseorang serta melibatkan hal kesihatan.

Contohnya, kedudukan cahaya yang boleh merosakkan mata dan cara duduk atau berbaring semasa menonton yang boleh mempengaruhi kesihatan tulang belakang.

Walaupun begitu, televisyen bukanlah satu-satunya cara yang terbaik dalam usaha memupuk kemesraan ahli keluarga. Banyak cara yang boleh dilaksanakan demi kesejahteraan ahli keluarga seperti;

1. Memperbanyak komunikasi dalam rumah. Contohnya semasa minum petang, mengemas rumah dan bersantai hujung minggu.

2. Sentiasa peka dengan perubahan dalam keluarga sama ada baik atau buruk.

3. Sentiasa memperbaiki hubungan kekeluargaan

4. Ibu bapa memainkan peranan bukan sekadar sebagai penjaga kepada anak-anak, malah lebih daripada itu. Ibu bapa yang bertanggungjawab akan bersedia menjadi guru, rakan, pemimpin dan pelindung terbaik buat ahli keluarganya.

5. Bagi keluarga yang beragama Islam, solat berjemaah adalah cara terunggul dalam mendekatkan hati setiap ahli keluarga.

Mengeratkan silaturahim sesama keluarga memerlukan usaha banyak pihak. Paling penting peranan ibu bapa itu sendiri dalam membentuk keluarga yang harmoni dan punya keutuhan silaturahim. Didikan awal kepada anak-anak tentang peri pentingnya pengukuhan silaturahim harus diberikan agar setiap ahli keluarga tidak berasa sendiri-sendiri.

Jadi di sini, kempen ‘tidak menonton televisyen selama seminggu’ seharusnya, bukan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim sesama keluarga tetapi untuk hal yang lain iaitu, untuk mengelak obesiti dan penyakit-penyakit lain yang disenaraikan oleh para doktor seperti penyakit diabetes, tekanan darah tinggi dan kardiovaskular.

~ oleh ANUAR AHMAD di November 5, 2010.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: